6 Mac 2024, 17:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – “Selamat maju jaya kepada semua peserta yang terlibat dengan peperiksaan The Federation of Royal Colleges of Physicians of the United Kingdom (MRCPUK) dan taraf rawatan untuk pesakit akut di negara ini diharapkan dapat dipertingkat dari semasa ke semasa.”

Demikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat ke Pusat Peperiksaan MRCPUK di Bangunan Wakaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Pusat Rawatan Hemodialisis, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di Pusat Peperiksaan MRCPUK, Bangunan Wakaf MAIPs, Pusat Rawatan Hemodialisis, HTF.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, YBrs. Dr. Ismuni Bohari, Ketua Jabatan Perubatan Dalaman HTF, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Paras Doshi dan Ketua Pemeriksa Peperiksaan MRCPUK, YBrs. Dr. Syed Tariq dari United Kingdom.

Peperiksaan MRCPUK merupakan satu daripada inisiatif untuk mempertingkat taraf rawatan pesakit akut di Malaysia dalam kalangan doktor pakar perubatan dalaman.

Peperiksaan teori diikuti dengan peperiksaan klinikal akhir yang dijalankan di seluruh dunia ini merupakan peperiksaan akhir untuk menjadi seorang doktor pakar perubatan dalaman.

Baginda turut dipersembah maklum tentang lima stesen yang mewakili lima peringkat peperiksaan oleh YBrs. Dr. Khalid Javaid dari Birmingham semasa baginda berada di pusat peperiksaan berkenaan.

Menurut YBrs. Dr. Khalid Javaid, stesen pertama melibatkan peringkat penilaian komunikasi bersama-sama pesakit dan sistem pernafasan, manakala stesen kedua ialah peringkat penilaian konsultasi pesakit.

Stesen ketiga pula memfokuskan peringkat penilaian sistem jantung dan penilaian sistem saraf.

Ujarnya lagi, penilaian komunikasi bersama-sama pesakit serta penilaian sistem usus dan perut merupakan peringkat keempat dalam peperiksaan tersebut dan stesen terakhir ialah peringkat penilaian konsultasi pesakit.

Untuk rekod, HTF merupakan satu-satunya hospital di dunia yang mempunyai autoriti untuk menjalankan pemeriksaan dan penilaian dari Royal College of Physicians, United Kingdom dan Royal College of Physicians Ireland.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.