5 Mac 2024, 17:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – Program Pemerkasaan Kelestarian Komuniti Terkesan akibat Perubahan Iklim dan Alam Sekitar anjuran Kursi Kelestarian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)–Yayasan Sime Darby (YSD) bertujuan memberikan kesedaran dan memupuk semangat keprihatinan masyarakat terhadap kelestarian alam sekitar bagi mencapai kehidupan yang lestari.

Program di bawah projek penyelidikan UKM–YSD–2023–001 yang diketuai oleh Profesor Dr. Mohd. Nizam Mohd. Said itu diadakan di Pekarangan Masjid As-Saadah Kampung Tebengau, Kuala Kedah.

Komuniti kampung yang dipilih merupakan komuniti yang dikenal pasti tinggal di kawasan yang mengalami kesan perubahan iklim seperti hakisan pantai, kemasukan air masin ke dalam kawasan sawah padi, bencana alam dan sebagainya.

Program yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah, Yang Berhormat (YB) Tuan Haji Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria itu berjaya menerima penyertaan sebanyak 170 orang yang terdiri daripada wakil pelbagai agensi tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah, YB Tuan Haji Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria ketika merasmikan Program Pemerkasaan Kelestarian Komuniti Terkesan akibat Perubahan Iklim dan Alam Sekitar.

Antara isu utama yang telah dikenal pasti menerusi tinjauan awal yang dijalankan pada 29 November tahun lalu di kawasan komuniti tersebut termasuklah pengurusan sisa, yakni hasil sisa domestik kebanyakannya disalurkan ke tali air berhampiran, manakala sebahagiannya lagi dibakar.

Tindakan tersebut telah mengakibatkan pencemaran alam sekitar dan menjadi punca kejadian banjir kilat serta penularan wabak denggi dan penyakit lain.

Program intervensi yang dilakukan merupakan program permulaan sebagai pengikat komuniti setempat dalam menjalankan aktiviti memperkasakan peranan komuniti yang terlibat ke arah kehidupan yang lebih sihat dan lestari.

Dalam memastikan program yang dijalankan adalah relevan dan berkesan, sebuah modul telah dibangunkan oleh pasukan penyelidik, iaitu Modul Pemerkasaan Kelestarian Alam Sekitar yang dapat dijadikan sebagai rujukan oleh masyarakat.

Modul Pemerkasaan Kelestarian Alam Sekitar telah dibangunkan oleh para penyelidik UKM untuk dijadikan sebagai panduan.

Program yang berlangsung juga dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti aktiviti pengurusan tenaga, pengurusan sisa, pengurusan air dan pengurusan bencana yang disusun dengan baik agar dapat menyumbang kepada kesejahteraan kehidupan komuniti setempat selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan yang mempromosikan kemajuan sejagat melalui keseimbangan antara aspek sosial, ekonomi dan persekitaran.

Modul Pemerkasaan Kelestarian Alam Sekitar merangkumi empat aktiviti utama, iaitu pengurusan tenaga, pengurusan sisa, pengurusan air dan pengurusan tenaga bersama-sama komuniti.

Agensi yang terlibat dalam program berkenaan termasuklah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA); Jabatan Pengairan dan Saliran; komuniti dari Kampung Padang Garam, Kampung Seberang Kota, Kampung Tebengau, Kampung Sala Kecil dan Kampung Sala Besar, Daerah Yan, Kedah serta penghulu mukim tersebut.

Program yang sangat bermanfaat itu juga tidak akan terlaksana tanpa kerjasama dan usaha sama daripada pelbagai pihak, terutamanya semua ahli kumpulan penyelidik UKM, pengurusan tertinggi Masjid As-Saadah Kampung Tebengau, Institut Perubahan Iklim, MADA, E-Idaman Sdn. Bhd dan RPS Pharmarcy Sdn. Bhd.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, YB Mardhiyyah Johari; wakil bagi pihak ADUN Kubang Rotan; Ahli Parlimen Kuala Kedah, YB Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi; Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Saintifik, Kursi Kelestarian UKM-YSD, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Dr. Salleh Haji Mohd Nor dan Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, YBrs. Profesor Ir. Dr. Mohd Syuhaimi Ab Rahman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.