3 Mac 2024, 16:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penggunaan inovasi digital perlu terus diperkukuh untuk melindungi dan memulihara flora dan fauna liar.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Perubahan Iklim, Yang Berhormat (YB) Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia telah mengambil inisiatif untuk meneroka penggunaan teknologi dalam aspek hidupan liar.

“Bagi memantau spesies hidupan liar, perangkap kamera yang dilengkapi dengan kecerdasan buatan digunakan, memantau kehadiran dan pergerakan hidupan liar dengan menggunakan dron dan satelit juga digunakan bagi pembangunan sistem amaran awal,” kata YB Nik Nazmi Nik Ahmad.

Susulan populasi Harimau Malaya di habitat semula jadi adalah sangat rendah, Jabatan PERHILITAN telah memperkasakan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan dengan perolehan peralatan makmal berteknologi tinggi untuk meningkatkan kapasiti forensik, konservasi ex situ, bio-banking, sistem pengurusan maklumat makmal (LIMS) dan pengawasan penyakit zoonotik.

Dengan adanya pendekatan ini, pelaksanaan program pembiakan secara aruhan dapat dipertingkat sekali gus membantu menambahkan populasi Harimau Malaya dalam kurungan melalui kaedah permanian beradas (artificial insemination).

Sementara itu, NRES melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia mengesan sebarang perubahan yang berlaku dalam hutan simpanan kekal di Semenanjung Malaysia menggunakan sistem pemantauan hutan penderiaan jauh (FMRS).

Di Sabah pula, beliau menyatakan bahawa sebarang perubahan yang berlaku dalam kawasan hutan simpan di negeri ini dikesan menggunakan sistem iForSabah yang dibangunkan oleh Jabatan Perhutanan Sabah dengan kerjasama Agensi Angkasa Malaysia.

Jelas beliau, Jabatan Hutan Sarawak juga tidak ketinggalan membangunkan sistem pemantauan pengawasan berterusan (COMOS) yang menggabungkan analisis imej satelit dan menentusahkan titik koordinat dengan menggunakan sistem cerapan udara hiperspektral bagi membantu tindakan penguatkuasaan di lapangan.

Sebagai makluman, tarikh 3 Mac pada setiap tahun merupakan Hari Hidupan Liar Sedunia yang diisytiharkan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) bagi meraikan dan meningkatkan pemahaman serta kesedaran awam mengenai isu flora dan fauna liar.

“Connecting People and Planet: Exploring Digital Innovation in Wildlife Conservation” merupakan tema sambutan Hari Hidupan Liar Sedunia pada tahun ini untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan inovasi digital dalam usaha mengukuhkan konservasi flora dan fauna liar, termasuklah aspek penyelidikan, komunikasi, pengesanan dan analisis asid deoksiribonukleik secara lebih mudah, cepat dan berkesan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.