2 Mac 2024, 09:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Rumput laut berdepan dengan risiko kepupusan dan seterusnya mengancam populasi dugong yang bergantung pada tumbuhan ini sebagai sumber makanan utama.

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dalam kenyataannya berkata, semua pihak perlu mengambil langkah konservasi yang tepat bagi mengekalkan keseimbangan ekosistem laut.

“Antara inisiatif ke arah konservasi rumput laut termasuklah menjalankan pemulihan dan rehabilitasi habitat dan potensi nurseri rumput laut sebagai alternatif kepada usaha pemulihan habitat yang mampan,” kata DOF.

Kajian awalan pembiakan rumput laut secara ex situ sedang giat dijalankan terhadap spesies terpilih bersesuaian dengan potensi lokasi yang memerlukan rehabilitasi habitat rumput laut.

Menurut DOF, hasil kajian di nurseri Institut Penyelidikan Perikanan mendapati bahawa spesies Halodule pinifolia berada dalam keadaan terkawal, iaitu 92 peratus hidup segar pada bulan kedua propagasinya dan setiap batang individu rumput laut itu akan bercambah dua batang hingga tiga batang pucuk baharu.

Jelas DOF, kajian yang dijalankan mendapati bahawa rumput laut yang paling banyak ditemukan adalah di perairan Johor dan kekurangan rumput laut juga telah menjejaskan populasi dugong.

Dugong disenaraikan sebagai rentan atau vulnerable (VU) di bawah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi selain tersenarai sebagai spesies terancam marin di bawah Akta Perikanan Malaysia 1985 dan Peraturan Perikanan (Kawalan Spesies Terancam) Pindaan 2008.

DOF berkata, Kepulauan Mersing merupakan satu-satunya tempat di Semenanjung Malaysia dan spesies dugong boleh ditemukan di sini, namun disebabkan oleh ancaman terhadap habitatnya dan ekosistem rumput laut, populasinya dilihat semakin mengecil serta 19 kematian dugong telah direkodkan antara tahun 2015 hingga tahun 2022.

Tambah DOF, walaupun tiada anggaran bilangan yang tepat bagi populasi dugong di Kepulauan Mersing, kajian oleh Marine Mammal Conservation (MareCet) menunjukkan populasi dugong di kawasan tersebut tidak melebihi 100 ekor.

Hal ini adalah berdasarkan pemerhatian yang dilakukan sepanjang tinjauan melalui udara sejak tahun 2014, yakni saiz kumpulan dugong yang dilihat tidak pernah melebihi 43 individu (bilangan maksimum dalam kesemua tinjauan yang dijalankan sepanjang tiga tahun).

Dalam kenyataan tersebut juga dinyatakan bahawa kawasan ragut yang penting bagi dugong ialah padang rumput laut di Pulau Sibu dan Pulau Tinggi berpandukan kesan ragutan yang dilihat sepanjang tinjauan rumput laut dan kesan ragutan dilakukan sejak tahun 2014.

Katanya, keunikan dan kesuburan kawasan rumput laut di Johor bukan sahaja menyokong kepada kemandirian spesies dugong, malah hasil soal selidik bersama-sama komuniti di sekitar Pulau Sibu dan Pulau Tinggi juga menunjukkan keberadaan rumput laut memainkan peranan penting bagi spesies komersial yang lain, terutamanya sotong mabang yang menjadikan perairan kedua-dua pulau berkenaan sebagai kawasan bertelur.

Walaupun perairan Pulau Sibu dan Pulau Tinggi telah diwartakan sebagai Taman Laut, namun 38 peratus dugong sahaja dilihat berada dalam sempadan Taman Laut tersebut dan kebanyakan pasangan ibu dan anak dugong didapati berada di luar kawasan berkenaan.

Pihak DOF sedang meneliti dan giat mewartakan kawasan perairan, khususnya di sekitar Gugusan Kepulauan Mersing untuk memberikan perlindungan kepada spesies dugong dan habitatnya, iaitu rumput laut bagi memastikan spesies ini tidak lenyap di Malaysia.

Untuk rekod, Hari Rumput Laut Sedunia disambut pada 1 Mac setiap tahun sebagai usaha memberikan kesedaran dalam memelihara dan memulihara rumput laut.

Tarikh tersebut telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 22 Mei 2022 bagi meningkatkan kesedaran pada semua peringkat dan membantu usaha konservasi rumput laut demi mencapai sasaran Matlamat Pembangunan Mampan yang ke-14, yakni Hidupan Bawah Air.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.