1 Mac 2024, 17:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 13 kes berkaitan dengan cuaca panas sejak Minggu Epidemiologi (ME) pertama hingga ME kesembilan pada tahun ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataan, sebanyak empat kes daripada jumlah itu membabitkan strok haba dan sembilan kes adalah disebabkan oleh kelesuan haba akibat melakukan aktiviti fizikal di luar bangunan semasa cuaca terik.

“Terdapat satu kes strok haba dipantau di unit rawatan rapi dan satu kes kelesuan haba dirawat di wad biasa, Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, Kedah sementara 11 kes lain telah mendapatkan rawatan dan sembuh,” kata YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan.

Beliau turut memaklumkan bahawa bilangan kes penyakit berkaitan dengan cuaca panas mengikut negeri ialah tujuh di Perak, lima di Kedah dan satu di Sabah.

Dalam kenyataan itu juga dinyatakan orang ramai perlu mengambil langkah pencegahan ketika cuaca panas, digalakkan untuk merancang aktiviti semasa Ramadan atau aktiviti di luar rumah serta mengelakkan melakukan aktiviti tersebut pada waktu puncak cuaca panas, iaitu antara jam 11.00 pagi hingga 4.00 petang.

Kekalkan pengambilan air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari, terutamanya kepada individu yang berpuasa dari waktu berbuka hinggalah bersahur bagi mengekalkan tahap hidrasi untuk mengawal atur suhu badan, kurangkan minum minuman manis, berkafein dan berkarbonat kerana minuman tersebut tidak baik untuk hidrasi badan.

Jelas beliau, golongan berisiko tinggi seperti bayi, kanak-kanak dan warga emas perlu minum air yang secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi dan awasi gejala keletihan kerana mereka berkemungkinan mengalami dehidrasi tanpa disedari.

Tambah beliau, elakkan memakai pakaian yang tebal, ketat dan berwarna gelap bagi membantu proses kehilangan haba daripada badan dan mengehadkan aktiviti fizikal lasak semasa cuaca panas kerana aktiviti berkenaan boleh meningkatkan risiko penyakit akibat cuaca panas.

Hadkan tempoh berada di luar bangunan bagi mengelakkan pendedahan kepada cuaca panas, gunakan pelindung diri seperti payung dan topi bagi mengelakkan pendedahan secara langsung kepada cuaca panas dan gunakan kipas, penyaman udara atau kerap mandi untuk menyejukkan badan.

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar mengelakkan diri daripada berada dalam kenderaan tertutup ketika penyaman udara tidak dihidupkan semasa cuaca panas dan mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala penyakit ini.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas di laman sesawang MetMalaysia dan langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat cuaca panas di laman sesawang KKM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.