Oleh fatkhurrozak
1 Mac 2024, 16:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tanjung Malim – Pameran Pendekatan Projek yang dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) di Child Learning Centre, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai satu pendekatan pembelajaran yang berkesan dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Pendekatan projek menekankan aktiviti penyelidikan dan penerokaan berdasarkan idea yang diberikan oleh kanak-kanak itu sendiri dan pendidik sebagai pembimbing sepenuhnya dalam membimbing setiap topik dan kajian yang dijalankan.

“Penganjuran pameran tersebut adalah untuk mempamerkan kepelbagaian projek dan hasil kerja kanak-kanak serta proses pembelajaran bermula daripada sesi perbincangan hingga terhasilnya sebuah projek yang sempurna,” kata Timbalan Pengarah (Akademik, Perkembangan Kanak-kanak dan Sistem Data), NCDRC, YBrs. Dr. Masayu Dzainuddin.

Menurut beliau, usaha berkenaan juga bagi memperlihatkan kepada ibu bapa dan warga setempat bahawa UPSI sentiasa menerapkan pengajaran dan pembelajaran yang kreatif, menarik serta memberikan impak kepada pendidikan kanak-kanak.

“Aktiviti pendekatan projek dapat meningkatkan pemikiran kritis dan kreatif kanak-kanak dalam mengenal pasti penyelesaian bagi sesuatu permasalahan yang diteroka di persekitaran,” katanya.

Pendekatan projek kanak-kanak dibekalkan dengan pembelajaran melalui pengalaman penyelesaian masalah, pemikiran kreatif dan kerjasama berkumpulan.

Pameran dan hasil kerja kanak-kanak.

 

 

Pendidik dan kanak-kanak mempamerkan hasil akhir projek.

Sementara itu, Pengarah NCDRC, YBrs. Profesor Madya Dr. Mazlina Che Mustafa menyatakan bahawa pendekatan projek banyak memberikan manfaat kepada kanak-kanak termasuklah mendorong pembelajaran yang bermakna melalui penyelidikan dan penemuan serta meningkatkan kemampuan berfikir logik dalam setiap persoalan yang timbul.

Pengarah NCDRC, YBrs. Profesor Madya Dr. Mazlina Che Mustafa bersama-sama ibu bapa yang hadir.

“Saya mendapati bahawa pendekatan projek sememangnya menerapkan pembelajaran yang berpusatkan murid sepenuhnya dan kanak-kanak diberikan ruang untuk meneroka serta memberikan idea dalam setiap penemuan dalam kajian yang dijalankan,” jelasnya.

Tambah beliau, pembelajaran yang dijalankan secara aktif mampu meningkatkan daya kemampuan kognitif kanak-kanak sehingga mempengaruhi perkembangan lain seperti psikomotor, sosial dan emosi.

Hasil aktiviti dan karya kanak-kanak yang dipamerkan kepada ibu bapa.

UPSI dan NCDRC akan terus komited bagi meneroka kaedah pembelajaran baharu yang berimpak tinggi serta menerajui dunia pendidikan melalui pendidikan awal kanak-kanak.

Pada masa yang sama, UPSI juga akan sentiasa menyokong aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia untuk saling berkongsi kepakaran yang dimiliki melalui kajian yang telah dilakukan untuk dimanfaatkan oleh pendidik di dalam dan di luar negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.