29 Januari 2024, 15:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jumlah kes kusta yang dilaporkan di Malaysia pada tahun 2023 adalah sebanyak 256 kes, iaitu peningkatan sebanyak 73 kes bersamaan dengan 40 peratus berbanding dengan 183 kes pada tahun 2022.

Peningkatan kes kusta tersebut adalah berikutan pengukuhan aktiviti mencari dan mengesan kes secara bersasar di lapangan.

“Pengukuhan aktiviti ini adalah selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mencapai sasaran sifar kes kusta tempatan baharu menjelang tahun 2030,” kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dalam satu kenyataan bersempena dengan Hari Kusta Sedunia 2024 yang disambut semalam dengan tema Hentikan Kusta.

Menurut beliau, pengesanan awal kes dan kontak rapat dapat mengawal penyakit kusta daripada terus merebak, manakala rawatan awal dapat mengurangkan dan mencegah komplikasi penyakit dan kecacatan kekal.

Beliau juga menyatakan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut melaksanakan pemberian rawatan profilaksis dos tunggal Rifampicin kepada kontak rapat dan komuniti berisiko seperti saranan WHO sebagai langkah tambahan dalam mengurangkan risiko penyakit kusta.

Penyakit kusta juga dikenali sebagai penyakit Hansen atau leprosi, yakni sejenis penyakit berjangkit kronik disebabkan oleh bakteria Mycobacterium leprae yang menyerang kulit, membran mukosa dan saraf periferal.

Bakteria tersebut disebarkan melalui titisan cecair dan tersebar ke udara daripada pesakit yang dijangkiti kusta kepada kontak rapat yang terdedah dalam tempoh lama dengan purata tempoh inkubasi jangkitan adalah lima tahun dan boleh mencapai hingga 30 tahun.

Jelas beliau, gejala dan tanda jangkitan kusta termasuklah tompok-tompok pada kulit yang pucat atau kemerahan yang tidak gatal, kurang atau hilang deria sentuh, tidak berpeluh, mengalami penebalan kulit, terutamanya di bahagian cuping telinga dan kulit muka serta keguguran bulu kening.

Individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan kusta perlu menjalani smer torehan kulit (slit skin smear) atau biopsi kulit bagi pengesahan diagnosis.

Penyakit kusta boleh sembuh dengan pengambilan multi drug therapy yang perlu diambil pada setiap hari dalam tempoh enam bulan hingga 18 bulan, namun jika lewat mendapatkan rawatan, pesakit boleh mendapat komplikasi seperti buta, lemah dan kecacatan kekal di otot kaki dan tangan.

KKM ingin menyeru agar setiap individu dan masyarakat melibatkan diri dalam aktiviti yang boleh mewujudkan kesedaran mengenai penyakit kusta.

Persekitaran yang positif dan menyokong pesakit yang terkesan dengan penyakit kusta amat diperlukan supaya kualiti hidup pesakit dapat dipertingkat, stigma dan diskriminasi dapat ditamatkan selain sasaran sifar kes kusta baharu tempatan dapat dicapai.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.