19 Januari 2024, 17:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Durian Tunggal Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menampilkan formula strategik menerusi TVET Place and Train UTeM@KPT bagi menawarkan 25 ribu peluang pekerjaan bergaji premium kepada graduan.

Pelancaran program TVET Place and Train UTeM@KPT yang berimpak nasional itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Canselor UTeM, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.

Program TVET Place and Train UTeM@KPT disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Canselor UTeM, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.

Program tersebut merupakan formula khas yang dibangunkan oleh UTeM dan digerakkan melalui empat inisiatif kerangka utama yang terdiri daripada JELITA UTeM@KPT, UTeM-Industrial Playground, Industry-MTUN Cyber Security Consortium dan National Industrial Career Expo (NICE@UTeM).

Menurut Naib Canselor UTeM, YBrs. Profesor Ts. Dr. Massila Kamalrudin, program berimpak tinggi itu juga dilihat sebagai gerbang kebolehpasaran graduan serampang empat mata sejajar dengan konsep ekonomi Madani di samping  membantu komuniti dan negara secara keseluruhannya dalam menangani masalah pengangguran serta menyuntik pertumbuhan ekonomi mampan nasional.

Naib Canselor UTeM, YBrs. Profesor Ts. Dr. Massila Kamalrudin berucap dalam Majlis Perasmian Program TVET Place and Train UTeM@KPT.

“Inisiatif pertama menerusi JELITA UTeM@KPT telah melahirkan 60 peratus tenaga kerja wanita dalam industri Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan memberikan penekanan terhadap TVET aras tinggi menerusi kursus atau pensijilan profesional Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) atau melibatkan badan-badan profesional,” kata YBrs. Profesor Ts. Dr. Massila Kamalrudin dalam Majlis Perasmian Program TVET Place and Train UTeM@KPT.

Tambah beliau, sebanyak 2700 pendaftaran JELITA UTeM@KPT telah direkodkan dan beberapa kursus TVET aras tinggi dilaksanakan yang melibatkan pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan.

Selain itu, UTeM-Industrial Playground pula merupakan inisiatif berteraskan pembelajaran berasaskan kerja antara UTeM dengan lebih daripada 200 buah syarikat industri multinasional pelbagai peringkat dan menyediakan lebih daripada 10 000 peluang pekerjaan dalam bidang TVET.

Antara program kerjasama yang dilaksanakan termasuklah teaching factory, makmal penyelidikan dan pembangunan, WBL, 2u2i, pusat kajian dan 3u1i yang akan mewujudkan satu ekosistem industri dalam universiti.

Agenda tersebut mampu melengkapkan mahasiswa dengan pelbagai kemahiran yang menepati kehendak industri bersama-sama pakej nilai tambah kepada graduan bagi memenuhi syarat gaji premium.

Mengulas mengenai inisiatif ketiga, YBrs. Profesor Ts. Dr. Massila Kamalrudin menyatakan bahawa pembangunan Industry-MTUN Cyber Security Consortium adalah selari dengan Niche Area UTeM, iaitu Advanced Manufacturing and Computing Technology dan berperanan untuk meningkatkan kemahiran dan kemampuan para pelajar MTUN dalam bidang keselamatan siber bagi memenuhi hasrat negara untuk membekalkan sebanyak 25 ribu tenaga kerja dalam bidang tersebut.

Sementara itu, National Industrial Career Expo (NICE@UTeM) dengan kerjasama Talentbank dalam TVET Place and Train UTeM@KPT mendapat sambutan hebat daripada pelbagai pihak industri dengan jaminan peluang pekerjaan yang ditawarkan dengan jumlah gaji premium, iaitu lebih daripada RM4000 di samping melonjakkan peratusan kebolehpasaran graduan melebihi 97 peratus.

Jelas beliau, UTeM menduduki tempat keempat bagi peratusan kebolehpasaran graduan ijazah pertama yang bekerja dalam bidang yang sama dan tempat kedua di seluruh institusi pengajian tinggi awam bagi peratusan kebolehpasaran graduan ijazah sarjana muda universiti awam pada tahun 2022.

Melalui TVET Place and Train UTeM@KPT, UTeM menyasarkan sebanyak 100 peratus graduan akan bekerja dalam bidang yang berkaitan dengannya menjelang tahun 2030.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab. Rauf Yusoh, Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat (YB) Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.