17 Mei 2024, 17:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Penganjuran bengkel “Effective Data Mining: A Bibliometric Workshop” oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui trek Health and Wellness, Research Nexus (ReNeU) di bawah Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UiTM berjaya memberikan pendedahan mengenai analisis bibliometrik kepada para pendidik dan penyelidik, sekali gus meningkatkan penerbitan penyelidikan dan memajukan bidang kajian masing-masing.

Program yang berlandaskan moto UiTM, iaitu “Globally Renowned, Locally Rooted” dan “Usaha Takwa Mulia” itu berjaya menarik penyertaan sebanyak 30 orang peserta dari dalam dan luar UiTM.

“Analisis bibliometrik telah terbukti mampu diterbitkan dalam jurnal yang berimpak tinggi dan memberikan peluang kepada semua pihak bagi meningkatkan profil akademik, sekali gus membuka lebih banyak peluang kolaborasi antarabangsa,” ujar YBrs. Dr. Noor Azliyana Azizan selaku salah seorang penceramah bengkel berkenaan.

Menurut beliau, analisis bibliometrik merupakan alat penting dalam mengukur kesan dan pengaruh sesuatu penerbitan serta berupaya mengenal pasti trend penyelidikan terkini.

Analisis bibliometrik merujuk penggunaan teknik kuantitatif untuk mengkaji buku, artikel dan bahan penerbitan lain dengan menilai impak dan penyebaran penyelidikan yang melibatkan pengiraan bilangan sitasi, analisis jaringan kolaborasi dan penilaian produktiviti penyelidik atau institusi.

Jelas beliau, para penyelidik dapat mengenal pasti topik yang kini popular, merancang strategi penerbitan yang lebih efektif dan mengukur pencapaian mereka dalam konteks komuniti penyelidikan yang lebih luas melalui analisis ini.

Dalam bengkel tersebut, para peserta diperkenalkan dengan pelbagai teknik analisis bibliometrik dan aplikasi perisian yang relevan serta diberikan peluang untuk melakukan latihan praktikal dan berinteraksi secara langsung dengan penceramah dalam bidang ini.

Sekitar sesi bengkel “Effective Data Mining: A Bibliometric Workshop” berlangsung.

Para peserta juga menunjukkan minat yang tinggi dan memberikan maklum balas yang positif terhadap penganjuran bengkel tersebut dengan mengakui bahawa ilmu yang diperoleh amat berguna dalam membantu memahami dinamik penerbitan dan strategi untuk meningkatkan pengaruh penyelidikan mereka.

“Teknik ini memberikan peluang kepada saya sebagai salah seorang pascasiswazah bagi memberikan pengukuhan dan justifikasi kepada kajian semasa secara relevan dan tidak memerlukan dana yang besar,” ujar salah seorang peserta bengkel berkenaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.