Diterbitkan pada 17 Mei 2024, 19:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Bahagian Penguasa Angkasa (BPAngkasa) dan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) bersama-sama Pejabat Hal Ehwal Angkasa Lepas (UNOOSA) telah menganjurkan program Technical Advisory Mission 2024 (TAM2024) dalam usaha memperkasakan pembangunan kepakaran tempatan dari aspek perundangan dan teknologi angkasa domestik dan antarabangsa.

MOSTI dalam kenyataannya berkata, TAM2024 merupakan siri projek yang diwujudkan oleh UNOOSA yang dikenali sebagai The Space Law for New Space Actors untuk memperkasakan negara ahli termasuklah Malaysia dalam memastikan agenda angkasa masing-masing dilaksanakan dengan selamat dan selari dengan undang-undang antarabangsa.

Melalui projek ini, UNOOSA menawarkan peluang pembangunan kapasiti dalam undang-undang angkasa serta khidmat nasihat perundangan kepada badan penguat kuasa angkasa di negara yang masih baharu dalam aktiviti angkasa.

Dalam kenyataan itu juga dinyatakan bahawa fokus penganjuran TAM2024 pada kali ini lebih menjurus kepada perundangan pengoperasian tapak pelancar melalui pemberian permit dan pelesenan objek angkasa selari dengan keperluan Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 [Akta 834], sekali gus menyokong Pelan Tindakan Dasar Angkasa Negara 2030.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim menekankan kepentingan setiap negara memiliki ekosistem angkasa yang lengkap dan mematuhi perundangan antarabangsa.

Malaysia percaya bahawa untuk membangunkan ekosistem angkasa yang komprehensif, pewujudan struktur tadbir urus yang sesuai adalah menjadi keutamaan bagi memastikan pembangunan teknologi angkasa lepas dapat dilaksanakan dengan selamat dan bertanggungjawab mengikut perundangan angkasa lepas tempatan dan antarabangsa.

Jelas MOSTI, program tersebut telah melibatkan penyertaan sejumlah besar pakar antarabangsa, iaitu sebanyak 16 orang, yakni lapan orang daripadanya telah hadir secara fizikal, manakala lapan orang pakar lagi terlibat secara dalam talian dengan 100 penyertaan yang terdiri daripada anggota Lembaga Angkasa Malaysia, wakil kementerian, jabatan, agensi dan bahagian di MOSTI, kerajaan negeri, institusi pengajian tinggi dan pemain industri yang berkaitan dengan sektor angkasa.

Katanya, penganjuran TAM2024 di Malaysia telah memberikan peluang kepada pihak kerajaan dan pihak berkepentingan lain untuk lebih memahami polisi dan perundangan angkasa di samping meningkatkan pembangunan kepakaran tempatan, sekali gus menyokong pengoperasian Akta 834.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi