Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangShah Alam – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam melalui Fakulti Sains Kesihatan telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat Bersama Warga Emas (CEOP) 5.0 di Balai Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK), Kampung Bukit Cherakah hari ini untuk mempromosikan kepentingan fisioterapi kepada warga emas di kawasan tersebut.
Program ini bertujuan memberikan pendedahan awal tentang gaya hidup sihat serta melatih sebanyak 55 pelajar fisioterapi semester 6 untuk melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan menyumbang kepada komuniti dengan kerjasama pihak luar melalui aktiviti pembelajaran perkhidmatan pada peringkat antarabangsa.
Menurut Pengarah Program CEOP 5.0, Khadijah Syahirah Kasnan, kerjasama dengan Universitas Abdurrab merupakan langkah positif yang memperkayakan pengalaman pelajar dan memberikan perspektif antarabangsa dalam bidang fisioterapi.
Beliau mengulas tentang kerjasama program ini yang diadakan dengan Universitas Abdurrab dari Indonesia melalui sesi perasmian dan webinar kesihatan yang diadakan secara dalam talian sebelum program CEOP 5.0 berlangsung.
Sementara itu, wakil daripada Universitas Abdurrab, Profesor Susi Endrini menyatakan bahawa usaha seumpama ini amat menggalakkan dimensi antarabangsa antara dua universiti, sekali gus memperluaskan skop pembelajaran pelajar.
Program ini juga merupakan sebahagian daripada usaha pelaksanaan konsep Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang mengintegrasikan pembelajaran akademik dengan khidmat masyarakat untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat.
Antara aktiviti yang dijalankan dalam program ini termasuklah saringan kesihatan fisioterapi yang merangkumi pemeriksaan kesihatan asas, senaman ringan dan sesi perundingan kesihatan yang dijalankan oleh pelajar fisioterapi.
Encik Ahmad, seorang peserta warga emas berkata, “Program ini sangat bermanfaat kepada golongan warga emas. Kami diberikan peluang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma dan belajar tentang senaman yang bersesuaian untuk kami.”