1 Januari 2024, 10:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pelaksanaan Program Tarif Elektrik Hijau atau Green Electricity Tariff (GET) akan diteruskan pada tahun ini dalam usaha menyokong aspirasi neutral karbon negara.

Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam dalam satu kenyataan, program tersebut diperkenalkan pada tahun 2022 bagi menawarkan bekalan elektrik hijau daripada sumber tenaga boleh baharu (TBB) kepada pengguna elektrik yang mempunyai komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus untuk mengurangkan jejak karbon.

Program GET merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Sumber Daya Awam dalam menyokong aspirasi negara ke arah negara neutral karbon pada tahun 2050.

Pengguna yang melanggan GET akan dibekalkan dengan bekalan elektrik daripada sumber TBB yang dijana daripada loji jana kuasa solar dan hidro yang sedang beroperasi.

Selain itu, pengguna juga akan mendapat sijil yang mengesahkan bahawa bekalan elektrik tersebut daripada sumber TBB melalui Sijil Tenaga Boleh Baharu Malaysia (mREC) yang berdaftar dengan badan pensijilan antarabangsa.

Kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga dan Tenaga Nasional Berhad telah membuka langganan GET dengan jumlah kuota sebanyak 6600 gigawatt-jam dengan kadar premium 21.8 sen per kilowatt-jam, iaitu berdasarkan penanda aras penetapan harga runcit bekalan elektrik hijau di negara jiran yang menawarkan produk yang serupa pada Februari tahun lalu.

Memandangkan langganan sedia ada pengguna bagi program GET ditamatkan secara automatik pada 31 Disember 2023, pihak kementerian sedang meneliti serta menambah baik pelaksanaan dan kaedah pengoperasian program ini seperti meneliti semula kadar premium yang ditetapkan agar lebih kompetitif dan menarik, meneliti semula kaedah penawaran GET bagi membenarkan tempoh langganan yang lebih panjang dan menetapkan kaedah bagi memberikan keutamaan langganan kepada pelanggan GET sedia ada untuk memperbaharui langganan masing-masing.

Perincian mengenai tawaran, pelaksanaan dan kaedah langganan program berkenaan akan dimaklumkan oleh pihak kementerian dalam masa terdekat setelah kajian dan penelitian semula program ini diselesaikan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.