18 Disember 2023, 21:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil inisiatif dengan memperkukuh Pelan Pengurusan COVID-19 menerusi lima strategi utama susulan lonjakan kes COVID-19 pada masa ini, iaitu sebanyak 20,696 kes setakat 16 Disember 2023.

Dalam sidang media KKM petang tadi, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad berkata, antara strategi yang dilaksanakan oleh KKM dalam menghadapi peningkatan kes COVID-19 termasuklah pengesanan awal kes COVID-19 dan varian sindrom pernafasan akut yang teruk (SARS-CoV-2) melalui Sistem Amaran Awal, survelan komuniti di lokasi sentinel di seluruh negara, survelan di hospital dan survelan persekitaran air kumbahan dalam komuniti dan di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Tambah beliau, amalan TRIIS, iaitu Test, Report, Isolate, Inform dan Seek turut diperkasakan dalam kalangan komuniti yang melibatkan ujian pengesanan COVID-19 secara kendiri dilakukan segera jika bergejala dan keputusan ujian tersebut hendaklah dilaporkan dalam aplikasi MySejahtera.

Jelas beliau lagi, sekiranya seseorang itu didapati positif COVID-19, pengasingan kendiri perlu dilakukan dan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) serta tatacara isolasi kendiri haruslah dipatuhi dengan melengkapkan home assesment tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera.

Amalan TRIIS juga melibatkan pemakluman kepada semua kontak rapat agar mereka memantau status kesihatan masing-masing dan melakukan ujian COVID-19 sekiranya bergejala serta mendapatkan pemeriksaan dan rawatan segera sekiranya gejala bertambah teruk, terutamanya bagi golongan yang berisiko tinggi.

Menurut beliau, fasiliti kesihatan, pengurusan dan kawalan kes COVID-19 turut dipantau oleh KKM termasuklah dengan adanya kesiapsiagaan perkhidmatan hospital seperti kecukupan akses, kelestarian rawatan, pengurusan prahospital dan kecemasan berkaitan dengan COVID-19.

Beliau juga menyatakan bahawa bantuan sokongan fasiliti, perkhidmatan dan rawatan pesakit turut dibantu oleh agensi luar seperti Hospital Pengajar Universiti, Angkatan Tentera Malaysia, agensi sektor kesihatan swasta dan agensi bukan kerajaan lain.

Sebagai satu daripada usaha dalam melindungi golongan yang berisiko tinggi daripada dijangkiti COVID-19, tindakan mendapatkan vaksin dos primer atau dos penggalak serta pemakaian pelitup muka di kawasan yang sesak, sempit dan kurang pengudaraan amat digalakkan.

Selain itu, perkongsian data melalui media massa, hebahan pendidikan kesihatan secara berkala dan menggerakkan inisiatif Agenda Nasional Malaysia Sihat adalah antara langkah yang dilaksanakan oleh KKM dalam memperkasakan komuniti melalui komunikasi risiko yang berkesan sekali gus membantu KKM dalam advokasi aktiviti kesihatan pada peringkat komuniti.

Strategi terakhir yang dinyatakan oleh beliau ialah melaksanakan pendigitalan sistem kesihatan dalam pengurusan pandemik melalui aplikasi MySejahtera seperti melaporkan keputusan ujian kendiri COVID-19 dalam aplikasi berkenaan, pemberian HSO secara digital dan pemantauan status kesihatan kes positif COVID-19 melalui HAT, pemberian janji temu vaksin dan antiviral Paxlovid COVID, penjanaan sijil vaksinasi digital serta perkongsian maklumat berkaitan dengan COVID-19.

KKM berharap agar situasi peningkatan kes COVID-19 yang mendadak ini dapat dilalui tanpa perlu mengulangi sekatan seperti Perintah Kawalan Pergerakan yang berlaku pada awal pandemik COVID-19.

Orang ramai digalakkan untuk memakai pelitup muka, terutamanya di kawasan awam yang tertutup dan sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, membuat penilaian kendiri tahap kesihatan dan tidak hadir ke mana-mana kawasan yang menjadi tumpuan ramai sekiranya bergejala serta segera berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut jika gejala bertambah teruk.

Orang ramai juga boleh melayari laman sesawang KKMNOW untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan dengan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.