13 Disember 2023, 16:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Trend menjadikan tabiat menghisap rokok dan vap sebagai suatu kebiasaan, terutamanya dalam kalangan pelajar dilihat semakin membimbangkan dan perlu dihentikan segera.

Demikian antara perkara yang diberikan penekanan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Tuan Haji Azman Haji Adnan ketika melancarkan Kempen Hidup Sihat Cegah Rokok dan Vap Kementerian Pendidikan Malaysia Tahun 2023 di Kolej Tingkatan Enam Desa Mahkota, pagi tadi.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Tuan Haji Azman Haji Adnan ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Pelancaran Kempen Hidup Sihat Cegah Rokok dan Vap Kementerian Pendidikan Malaysia Tahun 2023.

Pelaksanaan kempen pada peringkat kebangsaan ini telah diadakan secara serentak di seluruh negara dan mendapat sokongan daripada semua jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan pihak sekolah.

Menurut Tuan Haji Azman Haji Adnan, pendidikan pencegahan rokok, vap dan bahan terlarang seperti dadah secara konsisten mampu mendorong pelajar mengamalkan budaya dan gaya hidup sihat serta aktiviti yang berkaitan dengannya harus diperkasakan dan dilaksanakan secara berterusan di dalam dan di luar bilik darjah melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum.

Kempen Hidup Sihat Cegah Rokok dan Vap Kementerian Pendidikan Malaysia Tahun 2023 yang diadakan di Kolej Tingkatan Enam Desa Mahkota dilancarkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Tuan Haji Azman Haji Adnan.

Dalam ucapannya juga, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2023 yang dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Berdasarkan RUU yang akan dikuatkuasakan oleh KKM kelak, pelajar yang berumur di bawah 18 tahun adalah tidak dibenarkan atau tidak boleh membeli dan merokok semua jenis produk merokok, termasuklah rokok elektronik atau vap di premis jualan serta memerlukan kawalan daripada ibu bapa.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Tuan Haji Azman Haji Adnan berkesempatan melawat tapak pameran yang disediakan bersempena dengan Kempen Hidup Sihat Cegah Rokok dan Vap Kementerian Pendidikan Malaysia Tahun 2023.

Tambah beliau, KPM juga sentiasa konsisten dengan arahan kepada semua jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan sekolah berkaitan dengan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 5 Tahun 1997: Sekolah sebagai Kawasan Larangan Merokok dan Surat Siaran KPM Bilangan 17 Tahun 2015: Larangan Penggunaan Rokok Elektronik atau Vap di Sekolah.

KPM amat berpegang teguh kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menuntut agar perhatian penuh diberikan kepada pelajar dalam pembentukan karakter yang harmonis dan pelajar yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelektual dengan menekankan aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti.

Penerapan amalan nilai murni dan kesedaran penjagaan kesihatan diri daripada semua pihak secara berterusan termasuklah menjauhi tabiat merokok dan menghisap vap dalam kalangan pelajar di sekolah dapat membentuk karakter pelajar yang sejahtera.

Antara rokok dan vap yang dipamerkan di ruang pameran.

Selari dengan matlamat untuk melahirkan insan beriman, berakhlak mulia, berilmu, berketerampilan dan sejahtera dalam membentuk Malaysia MADANI, usaha yang dilaksanakan oleh KKM ini adalah bertepatan bagi meneruskan dasar kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas tanpa sebarang bentuk amalan merokok menjelang tahun 2040.

Pelajar Kolej Tingkatan Enam Desa Mahkota tidak melepaskan peluang mengunjungi ruang pameran yang mempamerkan rokok dan vap.

Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru agar semua pihak bersama-sama menyahut saranan daripada kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas rokok dan mengamalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan.

Jurufoto: Mohd Farid Janudin

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.