16 November 2023, 16:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Susulan sebahagian besar daripada pembiayaan projek penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) masih bergantung pada peruntukan kerajaan, sumbangan pembiayaan sektor swasta disasarkan meningkat kepada 70 peratus menjelang tahun 2030 agar projek tersebut lebih berdaya saing dan berimpak tinggi tanpa bergantung pada sumber peruntukan kerajaan semata-mata.

Demikian merupakan inti pati utama dalam ucapan perasmian oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat (YB) Tuan Chang Lih Kang dalam Konvensyen R&D&C&I 2023.

Isu pelaburan sektor awam dan swasta yang rendah dalam R&D&C&I berbanding dengan beberapa negara rantau dan negara maju yang lain perlu ditangani bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Menurut beliau, peratusan Perbelanjaan Dalam Negara Kasar untuk R&D (GERD) pada masa ini menurun kepada 0.95 peratus berbanding dengan 1.04 peratus pada tahun 2018 sekali gus memberikan cabaran kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk memenuhi sasaran Ekonomi MADANI, iaitu mencapai peratusan perbelanjaan GERD sebanyak 3.5 peratus menjelang tahun 2030.

Tambah beliau, pelaksanaan Konvensyen R&D&C&I 2023 ialah satu platform perkongsian ilmu, pertukaran maklumat, kepakaran dan amalan terbaik oleh para pembuat dasar, pakar dan penyelidik dari institut pengajian tinggi awam dan swasta, institut penyelidikan kerajaan, agensi pembiaya, wakil industri dan perusahaan kecil dan sederhana, persatuan, koperasi dan organisasi bukan kerajaan serta inovator.

Konvensyen R&D&C&I 2023 yang dilaksanakan dalam bentuk forum, dialog dan sesi perkongsian yang melibatkan pemegang taruh, panel pakar dan penerima dana itu bertujuan mempromosikan dan menggalakkan permohonan dana penyelidikan dan pembangunan MOSTI bagi mengukuhkan pertumbuhan ekonomi yang mampan ke arah negara maju pada tahun 2030.

Selain itu, Bahagian Dana, Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pengkomersialan Hasil R&D serta Agensi Pembiaya dan Agensi Pelaksana dan Pemantau (APP) di bawah MOSTI turut mengadakan sesi perundingan mengenai kemudahan pembiayaan dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada para penyelidik dari sektor awam mahupun swasta.

Tidak ketinggalan, sebanyak 10 orang penerima dana R&D MOSTI yang berjaya menjalankan penyelidikan dan mengkomersialkan hasil R&D mereka turut hadir dalam konvensyen tersebut sebagai pempamer.

Pada masa yang sama, Sistem Dana Bersepadu (SDB) yang merupakan platform digital bagi pengurusan dana R&D MOSTI yang dibangunkan bersama-sama Bahagian Dana dan Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat turut dilancarkan oleh YB Tuan Chang Lih Kang.

Sesi penyampaian sijil MySTI kepada 20 produk yang telah berjaya menerima penandaan logo MySTI dalam kohort pertama bersempena dengan Konvensyen R&D&C&I juga diadakan dalam program berkenaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.