Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangInisiatif pengukuhan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang diperkenalkan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025 memberikan banyak manfaat kepada generasi hari ini dan masa hadapan.
Pembelajaran STEM melibatkan pengintegrasian dua atau lebih mata pelajaran dengan menggunakan contoh dunia sebenar yang direka dengan jelas. Dengan menggunakan contoh dunia nyata, potensi akademik, motivasi dan minat dalam pembelajaran STEM boleh ditingkatkan. Hal ini dikatakan demikian kerana sikap yang ditunjukkan oleh guru dan ibu bapa membolehkan murid melihat bagaimana konsep yang dipelajari dapat digunakan dalam kehidupan seharian.
Dalam tulisan ini, penulis ingin berkongsikan bagaimana bidang STEM berkait secara langsung dengan perjalanan kehamilan isteri penulis, iaitu sejak menerima perkhabaran bakal menimang anak kembar sehinggalah saat kelahiran anak tersebut.
Penulis merupakan seorang bapa kepada dua orang anak perempuan kembar seiras. Penulis dan isteri dianugerahi cahaya mata selepas sebulan diijab kabul.
Kehadiran anak ini dikenal pasti setelah beberapa hari isteri tidak datang haid seperti kebiasaan. Pada awalnya, isteri menggunakan kit ujian kehamilan yang dibeli di farmasi untuk mengenal pasti kehadiran hormon kehamilan hormon gonadotrofin korion manusia (hCG) dalam urin wanita. HCG dilepaskan oleh kumpulan sel yang membentuk plasenta dan boleh dikesan dalam urin sekitar enam hingga 14 hari selepas proses persenyawaan. Apabila kit tersebut menunjukkan dua garisan merah, penulis segera mengajak isteri ke klinik untuk mengesahkan perkara tersebut.
Untuk mengetahui usia janin dalam kandungan, doktor menggunakan kaedah Naegele’s yang bermula dengan mencatatkan tarikh hari pertama haid terakhir. Kaedah ini bergantung kepada andaian bahawa kitaran haid seseorang wanita adalah selama 28 hari dan ovulasi berlaku pada pertengahan kitaran, iaitu pada hari ke-14.
Tempoh haid yang dikira adalah tujuh hari, kemudian ditambah tujuh hari lagi kerana ovulasi biasanya berlaku pada hari ke-14. Oleh sebab kandungan isteri baru sahaja memasuki minggu keempat, doktor menyarankan kepada kami agar datang semula pada dua minggu berikutnya bagi membuat pemeriksaan tambahan. Hal ini berikutan, pemeriksaan ultrabunyi abdomen hanya boleh dilakukan pada sekitar enam minggu kehamilan.
Namun begitu, janin boleh dilihat lebih awal, iaitu sekitar empat minggu kehamilan jika menggunakan ultrabunyi faraj. Walau bagaimanapun, tidak semua klinik mempunyai ultrabunyi jenis ini. Oleh itu, kami diminta untuk membuat janji temu lagi dalam masa dua minggu supaya usia kehamilan dapat ditentukan dengan jelas melalui pemeriksaan ultrabunyi.
Dalam zaman perkembangan teknologi yang pesat ini, segalanya menjadi lebih mudah diakses, termasuklah perkara mengenai perhitungan usia kandungan. Kami dapat memahami semua aspek berkaitan kehamilan hanya dengan menggunakan aplikasi pada peranti mudah alih.
Selepas dua minggu, kami menghadiri pertemuan dengan pakar perbidanan atau dikenali sebagai obstetrik dan ginekologi (O&G). Isteri diminta menjalani ujian darah bagi mengesahkan kehamilannya.
Hasil ujian mendapati bahawa bacaan hormon hCG adalah agak tinggi, iaitu sekali ganda daripada yang sepatutnya. Walau bagaimanapun, kami hanya berdiam diri sementara doktor menjalankan imbasan ultrabunyi seperti biasa.
Kami kembali ke klinik pakar O&G setelah usia kandungan berusia 10 minggu. Pada mulanya, doktor membuat imbasan perut melalui ultrabunyi biasa. Namun, doktor tersebut memaklumkan bahawa terdapat dua kantung dalam rahim isteri.
Doktor kemudiannya menjalankan imbasan transvaginal melalui faraj untuk mengesahkan perkara itu. Saat itu, barulah kami sedar rasional di sebalik bacaan hCG yang lebih tinggi sebelum ini. Secara umumnya, kehamilan kembar boleh dikenal pasti melalui pemeriksaan ultrabunyi apabila kehamilan telah mencapai usia antara 10 minggu hingga 12 minggu.
Doktor menasihati kami agar membuka Rekod Kesihatan Ibu di klinik kerajaan kerana kandungan kembar adalah berisiko dan akan memerlukan sejumlah wang yang banyak jika berlaku sesuatu yang tidak diingini. Rekod Kesihatan Ibu berfungsi sebagai catatan kesihatan ibu dan bayi sepanjang kehamilan.
Untuk memastikan wanita mengandung sentiasa berada dalam keadaan kesihatan yang optimum, mereka memerlukan pemantauan yang teliti dan berterusan. Oleh sebab itu, maklumat yang direkodkan dalam Rekod Kesihatan Ibu penting bagi memantau keadaan ibu hamil semasa kehamilan.
Kehamilan biasanya dibahagikan kepada tiga trimester. Trimester pertama bermula apabila persenyawaan berlaku dan berterusan hingga minggu ke-12. Trimester kedua pula berlaku apabila kehamilan mencapai minggu ketiga belas hingga minggu ke-27. Seterusnya, trimester ketiga berlangsung dari minggu ke-28 sehingga kelahiran bayi.
Segalanya berjalan lancar sepanjang trimester pertama. Namun, kami diduga oleh Allah SWT apabila kandungan isteri memasuki trimester kedua. Salah seorang bayi dalam kandungan bersaiz lebih kecil daripada kembarnya. Oleh sebab itu, isteri perlu dirujuk ke pakar O&G di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
Sejak itu, bermulalah rutin kami ke klinik pakar tersebut pada setiap dua minggu di samping membuat janji temu di klinik kesihatan. Doktor menyatakan bahawa ini adalah langkah awal untuk mengenal pasti masalah twin-to-twin transfusion syndrome (TTTS). TTTS merujuk gangguan yang berlaku dalam kehamilan kembar disebabkan oleh ketidakseimbangan aliran darah antara janin yang berkongsi satu plasenta. Gangguan ini berlaku dalam kira-kira 15 peratus kehamilan kembar seiras.
Pada setiap dua minggu, penulis menemani isteri ke klinik pakar dengan penuh debaran. Hal ini berikutan jika perbezaan berat badan antara kedua-dua kembar melebihi 25 peratus, tindakan seterusnya akan diambil oleh pakar.
Kami berasa syukur kerana setiap kali pemeriksaan dilakukan, berat badan antara bayi kami tidak melebihi peratusan perbezaan tersebut. Selain itu, ibu yang hamil dengan kandungan kembar juga sangat berisiko untuk mengalami diabetes. Diabetes boleh membahayakan kesihatan ibu hamil dan bayi yang dikandung.
Oleh sebab itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan arahan supaya ibu hamil yang berisiko perlu menjalani ujian saringan diabetes gestasi (GDM) pada minggu ke-24 hingga ke-28 kehamilan dengan menggunakan ujian tolerans glukosa oral terubah suai (MOGTT) atau disebut sebagai ujian minum air gula. Oleh sebab ibu yang menghamilkan kembar mempunyai risiko diabetes sebanyak dua kali ganda, isteri penulis perlu menjalani ujian minum air gula sebanyak dua kali dalam dua pertemuan yang berbeza.
Di samping perlu membuat janji temu di klinik kesihatan dan klinik pakar, isteri penulis perlu mengambil suplemen asid folik, terutamanya pada trimester pertama bagi mengurangkan risiko kecacatan tulang belakang pada bayi. Selain itu, kalsium juga perlu diambil oleh isteri kerana nutrisi ini memainkan peranan penting untuk pertumbuhan tulang dan gigi bayi, terutamanya pada trimester terakhir kehamilan di samping membantu dalam mengurangkan kekejangan otot pada kaki ibu sepanjang kehamilan. Makanan tambahan untuk hemoglobin (Hb), iaitu protein yang terdapat dalam sel darah merah dan bertanggungjawab untuk mengangkut oksigen ke seluruh badan juga perlu diamalkan oleh isteri penulis berikutan wanita hamil memerlukan oksigen yang lebih tinggi kerana janin yang sedang berkembang di dalam rahim turut memerlukan oksigen.
Masa yang paling sesuai untuk menjalankan pemeriksaan terperinci adalah antara minggu ke-18 hingga minggu ke-24 kehamilan, iaitu ketika janin mencapai saiz yang membolehkan penilaian teliti dilakukan terhadap kepala dan badannya. Pemeriksaan terperinci penting dilakukan bagi mengkaji pertumbuhan keseluruhan janin termasuklah menilai struktur, anggota, dan organ bayi, mengenal pasti kedudukan uri, menilai jumlah air ketuban serta melihat jantina janin. Pemeriksaan ini juga dikenali sebagai ujian anomali fetus dan biasanya dijalankan pada trimester kedua kehamilan.
Penulis dan isteri mula membeli pakaian bayi yang bersesuaian setelah mengetahui jantina bayi kembar kami. Penulis juga membeli tali pinggang sokongan materniti ergonomik untuk mengurangkan tekanan dan ketidakselesaan isteri apabila bergerak ketika perut semakin sarat.
Selain itu, disebabkan terdapat kebarangkalian tinggi isteri akan bersalin lebih awal daripada sepatutnya, suntikan kortikosteroid (Dexamethasone) turut diberikan kepada isteri untuk mematangkan paru-paru bayi kembar kami dalam kandungannya.
Semasa memasuki trimester ketiga, isteri semakin sarat dan mula mengehadkan pergerakan. Ketika minggu ke-32 pula, isteri ditahan di wad berikutan bacaan Doppler yang kurang memuaskan. Doppler merupakan sebuah peranti ultrabunyi yang digunakan oleh penyedia penjagaan kesihatan dan jururawat untuk mendengar denyutan jantung bayi yang sedang dikandung.
Sepanjang isteri ditahan di wad, doktor dan jururawat banyak membantu bagi memastikan bayi kembar dalam kandungan berada dalam keadaan baik sehinggalah proses kelahiran. Dua perkara penting yang diperiksa ialah kontraksi dan bacaan Doppler.
Kontraksi merujuk proses fisiologi semula jadi yang membantu ibu melahirkan anak. Pola tertentu yang terdapat dalam kontraksi menunjukkan bahawa ibu sudah bersedia untuk proses kelahiran. Namun begitu, terdapat juga kontraksi palsu atau disebut sebagai kontraksi Braxton-Hicks yang biasanya berlaku pada awal kehamilan.
Walau bagaimanapun, kontraksi isteri berlaku dengan lebih kerap pada minggu ke-34 kehamilan dengan selang masa kira-kira 10 minit hingga 12 minit per jam. Doktor juga menjangkakan proses kelahiran sudah hampir dekat. Tambahan pula, terdapat lendiran yang keluar daripada faraj isteri.
Pada 27 Julai 2021, pada pukul 10.00 malam, doktor memaklumkan bahawa isteri akan melahirkan anak secara Caesarean kerana kedudukan bayinya yang songsang. Denyutan jantung bayi juga menurun daripada tahap biasa dan pembedahan merupakan cara yang paling pantas untuk menyelamatkan nyawa ibu dan bayi.
Pada awal prosedur pembedahan, doktor memberikan ubat bius dan menggunakan tirai atau skrin steril untuk memastikan kawasan pembedahan tetap bersih. Kemudian, cecair antiseptik digunakan untuk membersihkan bahagian abdomen.
Seterusnya, pembedahan dijalankan untuk mengeluarkan bayi. Proses pembedahan Caesarean mengambil masa kira-kira 45 minit.
Anak kembar kami lahir dengan selamat ke dunia ini pada pukul 2.00 pagi dan 2.03 pagi. Rasa penuh syukur dipanjatkan kepada Allah SWT atas kehadiran dua insan baharu dalam keluarga kami.
Selepas bayi dilahirkan, jururawat menolak katil bayi kami ke wad penjagaan khas kerana berat mereka yang kurang berbanding dengan berat normal seseorang bayi. Anak pertama penulis dilahirkan dengan berat 1.9 kilogram, manakala anak kedua pula dengan berat 1.45 kilogram. Oleh sebab anak kedua penulis mempunyai berat kurang daripada 1.5 kilogram, maka bayi tersebut perlu diletakkan di dalam inkubator bayi.
Inkubator ialah alat khusus yang digunakan untuk menempatkan bayi yang baru lahir. Alat ini berbentuk segi empat panjang dan mempunyai lapisan kaca pada setiap sisi. Di dalamnya terdapat sebuah katil kecil yang berfungsi sebagai tempat tidur bayi serta port yang memudahkan doktor dan jururawat merawat bayi di dalam alat ini. Fungsi utama inkubator adalah untuk mengekalkan suhu badan bayi agar sentiasa hangat kerana suhu di dalam inkubator telah diatur mengikut keperluan bayi yang baru lahir.
Berdasarkan perkara tersebut, jelaslah bahawa kegunaan bidang STEM sememangnya tidak boleh dipisahkan dalam kehidupan seharian. Sebagaimana penulisan ini, penulis berkongsikan pengalaman bagaimana STEM dapat digunakan dalam kehidupan seharian – bermula sejak penulis dan isteri menerima perkhabaran bakal menimang cahaya mata sehinggalah saat kelahiran anak.
Bidang sains digunakan dengan jelas seperti perkara mengenai hormon yang mengesahkan kehamilan, ubat-ubatan dan suntikan yang diperlukan oleh wanita hamil serta beberapa istilah saintifik yang diketahui oleh penulis sepanjang perjalanan kehamilan isteri. Bidang teknologi juga turut dapat dilihat melalui penggunaan ultrabunyi, sama ada melalui faraj atau perut ibu hamil dan alat untuk menilai kontraksi seperti bacaan Doppler serta pelbagai aplikasi lain untuk memantau perkembangan bayi.
Bidang kejuruteraan pula memainkan peranan penting dalam pembangunan peralatan perubatan bagi membuat diagnosis, pemantauan dan rawatan wanita hamil. Hal ini termasuklah penciptaan mesin ultrasonografi bagi memantau perkembangan janin dan denyut jantung bayi serta mengukur parameter perubatan lain. Malah, inkubator bayi juga direka bentuk oleh jurutera.
Akhir sekali, bidang matematik juga sangat jelas digunakan dari awal kehamilan sehinggalah proses kelahiran bayi seperti pengiraan usia kandungan bayi, trimester kandungan, saiz dan berat bayi, hasil imbasan ultrabunyi dan banyak lagi. Selain itu, oleh sebab anak-anak kami merupakan bayi pramatang, maka usia mereka diukur dengan menggunakan umur yang diselaraskan (corrected age). Umur yang diselaraskan bermaksud usia yang diperhitungkan untuk bayi pramatang berdasarkan tarikh kelahiran yang sepatutnya, iaitu tarikh jangkaan bersalin untuk menilai pertumbuhan dan perkembangan bayi pramatang.
Kesimpulannya, berdasarkan perkara-perkara yang dinyatakan dalam rencana ini, jelaslah bahawa bidang STEM merupakan bidang yang sangat menarik untuk diterokai. Dalam konteks perkongsian pengalaman ini, penulis memperoleh banyak pengetahuan baharu berkaitan hubungan STEM dalam kehidupan seharian. Penulis juga percaya bahawa terdapat banyak lagi situasi atau konteks lain yang bermakna yang boleh dikaitkan dengan STEM dalam kehidupan seharian masyarakat.
Profesor Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia.