12 Oktober 2023, 08:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dron cenderung ditakrifkan sebagai pesawat atau kapal tanpa pemandu yang dipandu oleh alat kawalan jauh atau menerusi komputer. Menurut Kshyap Vyas dalam artikelnya yang berjudul “A Brief History of Drones: From Pilotless Balloons to Roaming Killers” yang tersiar dan dikemaskini dalam Interesting Engineering pada 18 April 2023, definisi dron sebenarnya merujuk objek terbang tanpa pemandu, sama ada dikawal dari jauh atau beroperasi sepenuhnya secara autonomi.

Pada asasnya, dron ialah robot terbang yang boleh dikawal dari jauh atau terbang secara autonomi melalui pelan penerbangan yang dikawal oleh perisian dalam sistem yang terbenam dan bekerja bersama-sama penderia atas papan yang lain di samping dilengkapi dengan sistem kedudukan global (GPS) seperti yang ditakrifkan oleh agenda Internet benda (IoT).

Walaupun pada mulanya dron dibina untuk tujuan ketenteraan, namun dron telah mengalami kemajuan yang pesat dan memberikan kemudahan kepada pengguna elektronik. Tidak dinafikan bahawa penggunaan asal dron adalah sebagai senjata dalam bentuk kawalan peluru berpandu secara jarak jauh.

Namun demikian, pada hari ini, dron telah digunakan dalam penggunaan awam, terutamanya dalam pelbagai aplikasi untuk kegunaan industri, terutamanya dalam saiz atau bentuk quadcopter dan octocopter yang kecil. Dron juga digunakan untuk pelbagai fungsi seperti memantau perubahan iklim, menghantar barangan, membantu operasi mencari dan menyelamat serta melakukan penggambaran.

Dron bermula dengan terciptanya pesawat tanpa pemandu (UAV). Dari sudut teknikal, istilah ini merujuk pesawat pertama yang tidak memerlukan juruterbang manusia. Joseph-Michel dan Jacques-Étienne Montgolfier menjadi pelopor demonstrasi UAV awam pertama yang menggunakan belon udara panas di Annonay, Perancis pada tahun 1783.

Penggunaan UAV untuk ketenteraan dipercayai telah dipelopori oleh seorang pegawai artileri berbangsa Austria, Franz von Uchatius yang telah menggunakan belon tanpa juruterbang untuk meletupkan bom. Tentera Austria yang mengepung kota Venice cuba mengapungkan kira-kira 200 belon udara panas yang masing-masing membawa bom seberat 24 paun hingga 30 paun dengan menggunakan fius pemasaan.

Untuk memastikan pemasaan selari dengan jangkaan penerbangan belon tersebut, maka belon perintis bersaiz kecil digunakan. Kumpulan belon itu sebahagiannya dilancarkan dari darat, manakala sebahagian yang lain dilancarkan dari kapal Austria SMS Vulcano. Namun disebabkan oleh perubahan angin selepas pelancaran, kebanyakan belon tersasar daripada sasarannya. Boleh dikatakan bahawa pendekatan tersebut tidak memenuhi sasaran yang diharapkan.

Pada tahun 1858, Gasper Felix Tournachon mengambil gambar udara yang pertama dari belon udara panas di Paris. Beliau mengambil gambar daripada ruangan udara adalah untuk memberikan peluang penerokaan kepada manusia untuk melihat landskap dari perspektif udara. Beliau percaya bahawa teknologi dan industri aeronautik akan berkembang pada masa hadapan.

Malangnya, gambar itu telah hilang dalam sejarah. Kira-kira hampir 40 tahun berikutnya, iaitu sekitar tahun 1896, Alfred Nobel yang terkenal dengan ciptaan dinamit telah melancarkan roket dengan kamera berada di atasnya. Percubaan Nobel itu menandakan kali pertama kamera diletakkan pada sistem tanpa pemandu.

Dua tahun selepas itu, Nikola Tesla memperkenalkan bot kawalan radionya kepada orang ramai di Madison Square Garden, London. Ciptaannya itu boleh bertindak balas kepada isyarat yang dihantar oleh Tesla kepadanya dan boleh memancarkan lampu. Sebahagian daripada penonton menyangka bahawa Tesla merupakan ahli silap mata atau mempunyai kuasa telekinesis, manakala sebahagian yang lain percaya bahawa ada monyet terlatih berada di dalam bot kecil itu. Hakikatnya, Tesla telah memanipulasikan pergerakan bot itu dengan menggunakan isyarat gelombang radio.

Pada tahun 1915, iaitu ketika pertempuran Neuve Chapelle dalam Perang Dunia Pertama, tentera British telah menggunakan peninjau udara untuk mengambil foto agar dapat membina peta bagi mengetahui kedudukan barisan hadapan tentera Jerman.

Foto yang diambil itu kemudiannya disusun atur antara satu sama lain dan menjadi contoh terawal pengaplikasian orthomosaic. Aplikasi ini sebenarnya merujuk produk imej fotogrametrik yang berasal daripada koleksi imej. Dalam imej tersebut, herotan geometri telah diperbetul dan imejan telah diseimbangkan warnanya untuk menghasilkan set data mozek yang lancar.

Pada tahun 1917, Charles Kettering mencipta Kettering Aerial Torpedo tanpa pemandu yang dikenali sebagai Bug di Ohio, Amerika Syarikat. Bug menggunakan sistem pratetap kawalan pneumatik dan elektrik dalaman untuk menstabilkan pesawat. Apabila Bug mencapai jarak yang telah ditentukan, enjin akan berhenti, sayap akan tertanggal dan Bug akan jatuh dari langit bersama-sama 180 paun bahan letupan.

Dron moden yang pertama mula dibangunkan pada tahun 1935 di United Kingdom. Pembangunan itu tercetus setelah angkatan tentera udara diraja ditubuhkan pada tahun 1918. Pembangunan dron tersebut berpunca apabila pihak pemerintah memerlukan kaedah yang paling berkesan untuk melatih pasukan juruterbangnya.

Amalan sasaran biasanya dicapai dengan menunda peluncur di belakang pesawat kru. Walau bagaimanapun, kaedah itu gagal memberikan simulasi yang realistik untuk melibatkan pejuang musuh dalam pertempuran secara langsung.

Sebagai tindak balas, pesawat model De Havilland DH.82B Queen Bee telah menggunakan dron kawalan radio kos rendah yang dibangunkan untuk latihan sasaran udara. Sejak itu, dron tersebut dianggap sebagai dron moden yang pertama.

Salah seorang pegawai tentera Amerika Syarikat yang menyaksikan penerbangan ujian Queen Bee di United Kingdom ialah Laksamana William Harrison Standley. Selepas kembali ke negaranya, beliau menugaskan Leftenan Komander Delmar Fahrney membangunkan program yang sama seperti yang telah dilaksanakan di United Kingdom. Dipercayai bahawa Fahrney ialah orang yang pertama menggunakan istilah dron untuk platform latihan yang sama seperti yang telah digunakan oleh pesawat Queen Bee di United Kingdom.

Pada tahun 1937, angkatan tentera laut Amerika Syarikat membangunkan Radio-Controlled UAV Torpedo yang dikenali sebagai Curtiss N2C-2. Torpedo itu menerima arahan daripada pengendali yang berada dalam pesawat kru yang terbang bersama-sama Curtiss. Walaupun langkah ini membataskan keberkesanan UAV, namun ini langkah penting dalam pembangunan teknologi UAV yang dikawal oleh gelombang radio.

Walaupun cenderung dalam bidang lakonan, pengalaman berada dalam skuad pemantau dan penembak ketika terlibat dalam Perang Dunia Pertama telah menyebabkan aktor Inggeris, Reginald Denny sentiasa meminati bidang ketenteraan, khususnya dalam bahagian pemantauan.

Pada tahun 1941, beliau telah mencipta pesawat yang boleh dikawal oleh gelombang radio. Menurut sumber tulisan Dana T Parker bertajuk “Building Victory: Aircraft Manufacturing in the Los Angeles Area in World War II” terbitan Cypress, California pada tahun 2013, Denny telah menubuhkan sebuah syarikat yang dikenali dengan nama Radioplane Company pada Julai 1940 dan mengeluarkan hampir lima belas ribu dron untuk kegunaan tentera Amerika Syarikat semasa Perang Dunia Kedua.

Ketika inilah beliau menggajikan seorang gadis remaja bernama Norma Jeane Mortensen (selepas itu dikenali sebagai Marilyn Monroe) yang kemudiannya pernah mengeluarkan kenyataan yang diingati sehingga kini, iaitu “pekerjaan itu merupakan kerja paling sukar yang pernah saya lakukan”. Syarikat milik Denny itu kemudiannya dibeli oleh Northrop pada tahun 1952.

Ketumbukan yang paling banyak memanfaatkan teknologi dron untuk aktviiti ketenteraan ialah Israel. Sepanjang tahun 1970-an, Israel telah membangunkan beberapa siri dron seperti Mastiff dan IAA Scout untuk tujuan perayauan dan penggeledahan.

Pada tahun 1982, ketumbukan tersebut telah menguji keupayaan dron ketika bertempur dengan tentera udara Syria di Jezzine, Lubnan. Kejayaan penggunaan dron oleh Israel dan jumlah manusia yang banyak terkorban ketika Perang Vietnam menyebabkan Amerika Syarikat bersedia meningkatkan pengeluaran dron bagi tujuan ketenteraan.

Pada tahun 1986, Amerika Syarikat dan Israel mengadakan kerjasama untuk membangunkan dron perintis yang dikenali dengan nama RQ2. Sistem ini telah digunakan dalam Perang Teluk yang tercetus di Iraq pada tahun 1991 yang dikatakan sekurang-kurangnya satu unit satu dron diterbangkan ke udara setiap kali pertempuran berlaku sejak permulaan konflik sehinggalah konflik tersebut berakhir.

Tulang belakang kepada gerak kerja pembangunan dron ketenteraan di Israel dan Amerika Syarikat ialah Abraham Karem, jurutera aeroangkasa yang diterbangkan dari Israel ke Amerika Syarikat pada tahun 1977 ketika Pentagon telah berputus asa dengan teknologi pesawat robotik yang telah dilaburkannya. Karem turut terlibat dalam pembangunan dron pemusnah pada tahun 1996 yang dikenali dengan nama Predator.

Berikutan kemusnahan yang dahsyat yang disebabkan oleh Taufan Katrina, Federal Administration Aviation (FAA) telah membenarkan penggunaan UAV, termasuklah dron di ruang udara awam di Amerika Syarikat buat kali pertama pada tahun 2006. Objektif utama UAV dan dron pada masa itu adalah untuk memenuhi keperluan misi mencari dan menyelamat mangsa bencana.

Dron pemusnah Predator turut digunakan dalam misi ini memandangkan alat ini mampu mengesan sebarang perubahan haba yang terhasil dari pergerakan manusia pada jarak ketinggian hingga 10 ribu kaki. Penggunaan dron dalam misi mencari dan menyelamat ini ternyata telah mengubah pasaran antarabangsa apabila semakin banyak syarikat berminat untuk melabur dalam industri pengguna.

Satu daripada syarikat yang terlibat dalam pembangunan dron untuk industri pengguna ialah Parrot yang berpangkalan di Perancis. Pada tahun 2010, Parrot memperkenalkan dron bersaiz kecil berbentuk quadcopter yang boleh dikawal dengan menggunakan aplikasi yang dipasang pada telefon pintar di Consumer Electronics Show (CES), ruang pameran yang sangat berpengaruh di dunia yang menonjolkan produk dan teknologi elektronik terkini berasaskan pengguna. Acara ini diadakan secara tahunan di Amerika Syarikat.

Pada tahun 2013, sebuah syarikat yang berpangkalan di Shenzhen, China iaitu DJI telah memperkenalkan dron yang dilengkapi dengan kamera moden berprestasi tinggi. Dron yang dikenali sebagai Phantom itu dengan pantas menjadi kegilaan dalam kalangan peminat elektronik kawalan jarak jauh. Dalam masa beberapa tahun sahaja, DJI berada pada kedudukan utama dalam pasaran dron pengguna dengan hampir 80 peratus dron pengguna beroperasi dikilangkan oleh DJI atau satu daripada anak syarikat mereka.

Pada masa yang sama, syarikat antarabangsa yang terlibat dalam industri penghantaran seperti FedEx, UPS, Amazon, Google dan Uber mengiktiraf manfaat dron sebagai platform penghantaran. Pandemik yang berlaku pada tahun 2020 telah menyebabkan pasaran dron berkembang dengan pantas kerana alat ini digunakan untuk penghantaran bekalan ubatan secara besar-besaran ekoran penguatkuasaan kuarantin dan penjarakan sosial.

Memandangkan lebih banyak industri meneroka dron untuk menjadikan kerja mereka lebih selamat dan lebih efektif dari segi kos, ditambah pula dengan berkembangnya penggunaan data raya, maka pertumbuhannya dijangka meningkat pesat pada tahun akan datang. Menjelang tahun 2030, keseluruhan pasaran UAV disasarkan bernilai USD$92 bilion sebagaimana menurut tulisan David Daly yang dikemas kini dalam Consortiq pada 30 November 2022.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.