19 September 2023, 20:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Bersempena dengan Minggu Sains Negara (MSN) 2023, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah berjaya menganjurkan Pertandingan Melukis Poster Sains Peringkat Kebangsaan  yang telah dilaksanakan bermula 1 Jun 2023 hingga 30 Julai 2023.

Pertandingan yang menyasarkan penyertaan daripada pelajar sekolah rendah dan warganegara Malaysia itu telah menerima sebanyak 37 105 penyertaan daripada 1114 buah sekolah rendah kerajaan dan swasta di seluruh Malaysia.

Bertemakan “Kegunaan Aman Nuklear”, pertandingan tersebut bertujuan memberikan kesedaran kepada pelajar tentang manfaat kegunaan teknologi nuklear dalam kehidupan selain menyemarakkan pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) di sekolah masing-masing.

Pertandingan berkenaan juga berjaya menjadi platform untuk pelajar menggabungkan bakat kreativiti dan pengetahuan sains dengan teknologi nuklear dalam satu karya seni yang menarik.

Selain penyertaan pertandingan yang diadakan secara percuma, penganjuran pertandingan tersebut turut diberikan pengiktirafan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) daripada Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai penghargaan kepada pelajar, guru dan sekolah yang menjayakan pertandingan tersebut.

Rekod penyertaan untuk tempoh dua bulan pelaksanaan pertandingan tersebut dianggap sebagai suatu angka di luar jangka dan sangat membanggakan berikutan mendapat sambutan 10 kali ganda berbanding dengan bilangan penyertaan yang diterima pada tahun sebelumnya.

Berdasarkan keputusan rasmi bagi pemenang pertandingan yang diumumkan dalam portal dan media sosial rasmi Nuklear Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan MSN 2023, johan pertandingan dimenangi oleh Nabila Humaira Abdul Halim dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Putera, Ipoh, Perak dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM500 berserta sijil penyertaan.

Tempat kedua pula menjadi milik Qisya Miazahra Muhamad Helmee dari SK Senai Utama, Johor yang memperoleh wang tunai berjumlah RM300 berserta sijil penyertaan, manakala Lee Ann dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina [SJK (C)] Ai Chun 1, Batu Pahat, Johor memenangi tempat ketiga dan memperoleh wang tunai sebanyak RM200 berserta sijil penyertaan.

Seterusnya, pemenang bagi tempat keempat, Shawn Teoh En Wei dari SJK (C) Chung Hua Krokop, Miri, Sarawak dan tempat kelima, Freya Sio Yun Xin dari SJK (C) Kuo Kuang 2, Skudai, Johor pula masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak RM150 berserta sijil penyertaan.

Sementara itu, bagi kategori Penyertaan Terbanyak, SK Bandar T6, Kluang, Johor telah dinobatkan sebagai pemenang dengan jumlah penyertaan sebanyak 1451 peserta sekali gus hadiah kemenangan yang diperoleh berupa wang tunai sebanyak RM1000 berserta sijil penyertaan.

Dengan adanya penganjuran pertandingan seumpama ini dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman guru dan pelajar mengenai sains dan teknologi nuklear serta kegunaannya secara aman.

Senarai pemenang Pertandingan Melukis Poster Sains Peringkat Kebangsaan secara keseluruhan.

 

Hasil lukisan Nabila Humaira Abdul Halim, pemenang tempat pertama Pertandingan Melukis Poster Sains Peringkat Kebangsaan.

 

Hasil lukisan Qisya Miazahra Muhamad Helmee, pemenang tempat kedua Pertandingan Melukis Poster Sains Peringkat Kebangsaan.

 

Hasil lukisan Lee Ann, pemenang tempat ketiga Pertandingan Melukis Poster Sains Peringkat Kebangsaan.

 

Hasil lukisan Shawn Teoh En Wei, pemenang tempat keempat Pertandingan Melukis Poster Sains Peringkat Kebangsaan.

 

Hasil lukisan Freya Sio Yun Xin, pemenang tempat kelima Pertandingan Melukis Poster Sains Peringkat Kebangsaan.
SK Bandar T6, Kluang Johor berjaya memenangi Pertandingan Melukis Poster Sains Peringkat Kebangsaan bagi kategori Penyertaan Terbanyak.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.