15 September 2023, 16:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bintulu – Dengan mengambil kira perkembangan populasi dan kepentingan Bintulu sebagai bandar industri minyak dan gas yang berisiko tinggi dalam kemalangan industri, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meneliti perancangan pembangunan fasiliti kesihatan di Bintulu.

Menerusi sesi lawatan kerja Menteri Kesihatan, Yang Berhormat (YB) Dr. Zaliha Mustafa ke Hospital Bintulu, Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) Kidurong, Klinik Kesihatan Bintulu serta Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu, beberapa keputusan segera telah dibuat bagi menambah baik perkhidmatan kesihatan yang sedia ada.

“Antara penambahbaikan yang perlu dilakukan terhadap fasiliti kesihatan di Hospital Bintulu termasuklah meluluskan peruntukan sebanyak RM350 000 bagi kerja-kerja perpaipan “medical gas” di Unit Rawatan Kebakaran, menaik taraf Wad Perubatan Lelaki dan Wanita, Kaunter Triaj Jabatan Kecemasan dan Trauma, ruang menunggu dan bilik kaunseling penderma darah,” kata YB Dr. Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan.

Beliau juga menyatakan bahawa mesin tomografi berkomputer yang telah uzur turut digantikan melalui kaedah sewaan dan KKM akan bekerjasama dengan Yayasan Kebajikan Negara bagi mewujudkan perkhidmatan Anjung Kasih yang merupakan kemudahan penginapan untuk ahli keluarga pesakit yang memerlukan ruang dan tempat untuk bermalam.

Tambah beliau, peruntukan sebanyak RM50 000 juga diperlukan bagi membina ruang menunggu berhawa dingin untuk meningkatkan keselesaan pesakit di KKIA Kidurong yang telah beroperasi di premis milik Bintulu Development Authority (BDA) sejak tahun 1986.

KKM telah memohon peruntukan untuk membina Klinik Kesihatan Kidurong yang baharu di bawah Rolling Plan 4, Rancangan Malaysia Ke-12 dengan anggaran kos projek berjumlah RM87 juta berikutan keadaan klinik berkenaan yang tidak Iagi mampu menampung bilangan pesakit yang semakin bertambah.

Selain itu, perkhidmatan makmal molekular yang mampu mengendalikan hampir seribu persampelan dalam sehari di Klinik Kesihatan Bintulu ketika pandemik COVID-19 akan diaktifkan semula dan seorang pegawai sains akan ditempatkan di situ bagi melancarkan perkhidmatan tersebut.

Secara dasarnya, KKM bersetuju bahawa terdapat keperluan yang mendesak untuk setiap projek penaiktarafan, namun keputusan tersebut harus dibincangkan secara lebih terperinci serta diteliti oleh KKM dan kemudiannya dipertimbangkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Jelas beliau, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak diminta untuk bekerjasama dengan BDA bagi mengenal pasti tapak cadangan atau premis sedia ada yang boleh digunakan untuk merealisasikan pelaksanaan projek baharu yang dicadangkan.

Turut hadir dalam sesi lawatan kerja tersebut ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Bintulu, YB Dato Sri Tiong King Sing dan para pegawai kanan KKM dan Kerajaan Negeri Sarawak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.