14 September 2023, 17:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Seiring dengan hasrat kerajaan Malaysia MADANI untuk menjadikan inovasi sebagai satu daripada pemacu utama ekonomi negara, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) telah berjaya membangunkan sebuah aplikasi yang direka bentuk, khususnya bagi pengurusan bencana banjir negara, iaitu aplikasi MyIDEA yang telah dilancarkan bersempena dengan program MYSA Spacetech Showcase 2023, hari ini.

Pembangunan aplikasi tersebut telah berjaya melepasi beberapa fasa simulasi di lokasi sebenar kejadian banjir dan menerima maklum balas yang sangat memberangsangkan daripada komuniti yang terlibat.

“Selain berupaya dalam membantu bilik gerakan untuk mengenal pasti situasi dan lokasi sebenar mangsa banjir, aplikasi MyIDEA juga mampu memantau setiap pergerakan para petugas penyelamat secara masa sebenar agar setiap aspek keselamatan mereka turut diberikan perhatian,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Tuan Chang Lih Kang ketika berucap dalam program berkenaan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Tuan Chang Lih Kang ketika berucap dalam program MYSA Spacetech Showcase 2023 di Dewan Seminar, MYSA.

Dalam program tersebut juga, beliau turut berkongsikan perkembangan teknologi angkasa yang memberikan impak secara langsung kepada masyarakat, misalnya Sistem Maklumat Geospatial Tanaman Padi (MakGeoPadi) yang dibangunkan oleh MYSA dengan kerjasama Jabatan Pertanian bagi mengurus dan memantau aktiviti penanaman padi di 12 jelapang padi di seluruh negara sekali gus membantu pegawai pertanian memantau status kemajuan penanaman padi dengan rapi.

Tambah beliau, sistem MakGeoPadi tersebut juga sedang diterapkan dengan keupayaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membolehkannya beroperasi secara lebih pantas.

Pembangunan Sistem Pengurusan Kawalan Biodiversiti Perikanan (BioDOFMap) yang dibangunkan bertindak sebagai instrumen yang membolehkan negara sentiasa dapat memantau, melapor dan mematuhi prosedur piawaian standard biosekuriti perikanan antarabangsa.

Menurut beliau, tindakan kawalan oleh pegawai perikanan dapat diambil dengan kadar segera menerusi sistem tersebut jika berlakunya sebarang kes penyakit ikan.

Dalam ucapannya juga, beliau menyatakan bahawa MYSA turut bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memulihara kelestarian alam sekitar dengan membangunkan Sistem Pemantauan Potensi Lokasi Pelupusan Sisa (e-sisa) yang digunakan oleh Pihak Berkuasa Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bagi tujuan yang berkaitan.

Mengulas lebih lanjut, bagi perancangan yang akan datang, beliau berkesempatan berkongsikan tentang garis panduan pelaksanaan kajian kebolehlaksanaan pembangunan tapak pelancaran ke angkasa lepas berikutan keunikan geografi Malaysia yang terletak berhampiran dengan garisan Khatulistiwa sekali gus memberikan kelebihan kepada negara untuk membangunkan perkhidmatan fasiliti pelancar dengan kos operasi yang jauh lebih kompetitif.

Pada masa yang sama, Program Pembangunan Satelit Penderiaan Jauh Negara menerusi strategi perkongsian awam dan swasta juga sedang dirangka oleh MOSTI bagi memastikan kesinambungan pemilikan data strategik negara serta menyokong kesinambungan dan keberkesanan operasi 50 buah pakej sistem aplikasi yang telah dibangunkan oleh MYSA dan dijangkakan bakal beroperasi pada tahun 2026.

Sebelum itu, Ketua Pengarah MYSA, YBrs. Gs. Tuan Haji Azlikamil Napiah dalam ucapannya menyatakan bahawa MYSA telah berjaya menerajui usaha pembangunan kapasiti dan sumber tempatan, pengoperasian segmen pengguna (sektor hiliran) dan pembangunan infrastruktur asas teknologi angkasa, manakala pembangunan segmen angkasa (sektor huluan) dan sektor sokongan sedang giat diusahakan selaras dengan pelaksanaan Dasar Angkasa Negara 2030.

Ketua Pengarah MYSA, YBrs. Gs. Tuan Haji Azlikamil Napiah ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Ujar beliau, MYSA telah berjaya membuktikan bahawa teknologi angkasa bukan sahaja satu teknologi termaju, namun sangat relevan kepada semua bidang walaupun menghadapi pelbagai cabaran dalam membangunkan ekosistem angkasa di negara ini.

Pelbagai aspek perlu diberikan penekanan bagi memastikan kejayaan suatu pembangunan ekosistem angkasa itu, misalnya aspek penguasaan teknologi, keupayaan penciptaan atau inovasi baharu, penggunaan teknologi secara optimum, pembudayaan teknologi secara berterusan dan elemen kewangan atau pendanaan yang mencukupi.

Mengakhiri ucapannya, beliau menyatakan bahawa komitmen dan kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan bagi membantu MYSA memastikan teknologi angkasa yang dibangunkan mampu memberikan impak yang baik kepada masyarakat dan menyebarluaskan kepentingan teknologi angkasa kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Sesi taklimat Sistem Maklumat Bencana MYSA (MyIDEA) yang disampaikan oleh Pengarah Bahagian Aplikasi Perisikan Pertahanan MYSA, YBhg. Brigedier Jeneral Datuk Abd Razak Sipit.
Sekitar lawatan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Tuan Chang Lih Kang ke kawasan pameran MYSA.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, para pegawai MOSTI dan MYSA serta tetamu undangan lain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.