13 September 2023, 18:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pihak pengilang, pemborong dan peruncit bersetuju memberikan komitmen bagi merealisasikan pelaksanaan Program Khas Beras Putih Tempatan (PKBPT) di seluruh negara berikutan hasil perbincangan dalam sesi libat urus antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersama-sama pemain industri beras negara, hari ini.

PKBPT yang sedang dilaksanakan oleh KPKM melalui dua fasa bermula pada 8 September 2023 dan 15 September 2023 itu memerlukan pengilang meningkatkan pengeluaran sebanyak 20 peratus bekalan Beras Putih Tempatan (BPT), yakni 23 000 mt sebulan untuk pasaran di dalam negara bagi tempoh satu tahun.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh KPKM, langkah intervensi tersebut dilakukan bagi memastikan bekalan BPT dapat menjamin kestabilan bekalan BPT dalam pasaran dan memenuhi keperluan para pengguna.

KPKM melalui Kawalselia Padi dan Beras (KPB) dengan kolaborasi strategik OP JAMIN bersama-sama Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melakukan pemantauan dan penguatkuasaan secara menyeluruh terhadap rantaian PKBPT tersebut, manakala Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) turut terlibat bagi tujuan pengedaran BPT kepada kumpulan sasar, terutamanya di kawasan yang tidak mempunyai kemudahan pasar raya.

Sesi libat urus yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPKM, YBhg. Datuk Lokman Hakim Ali itu melibatkan KPDN, FAMA, LPP dan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) bersama-sama lima pemborong beras utama serta 11 pasar raya yang mempunyai rangkaian di seluruh negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.