10 September 2023, 17:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Selaras dengan prinsip Malaysia MADANI, iaitu menjamin kesejahteraan insan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan lima inisiatif bagi mencegah tingkah laku bunuh diri.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh KKM, Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan menyatakan bahawa pewujudan Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental atau Talian Help with Empathy and Love (HEAL) 15555 yang dikendalikan sepenuhnya oleh pegawai psikologi sejak 21 Oktober tahun lalu ialah satu daripada inisiatif bagi tujuan berkenaan.

Sepanjang sembilan bulan talian ini beroperasi, statistik menunjukkan sebanyak 24 346 panggilan telah diterima dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 65 peratus pengadu telah menerima bantuan sokongan dan emosi serta selebihnya telah diberikan intervensi khusus.

Menurut beliau, pelancaran Program Malaysia Suicide Awareness Voice of Hope (MySAVE­) yang dirasmikan pada 31 Julai lalu dan sesi taklimat bersama-sama media berkaitan dengan pelaporan selamat dan bertanggungjawab tentang tingkah laku bunuh diri mengukuhkan lagi pelaksanaan aktiviti pencegahan tingkah laku bunuh diri dalam kalangan masyarakat.

Tambah beliau, KKM turut menghasilkan modul latihan pencegahan bunuh diri untuk petugas barisan hadapan bagi meningkatkan kemahiran pengendalian kes tingkah laku bunuh diri.

Pembangunan Sistem Registri Bunuh Diri dan Kematian Fatal Kebangsaan (NSFIRM) pula dijangkakan beroperasi sepenuhnya pada tahun hadapan dan sistem tersebut membolehkan statistik secara terperinci tentang kejadian bunuh diri dapat diperoleh sekali gus usaha pencegahan bersasar dapat dilaksanakan.

Selain itu, KKM juga sedang membangunkan inisiatif sokongan bantuan pasca bunuh diri sebagai usaha untuk membantu ahli keluarga yang terkesan akibat tingkah laku bunuh diri (post-vention).

Berdasarkan laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada tahun lalu, tindakan bunuh diri adalah antara 10 penyebab utama kematian di dunia dan penyebab keempat kematian bagi individu yang berumur antara 15 tahun hingga 29 tahun.

Lanjutan daripada itu, beliau juga menasihatkan agar semua pihak dapat bekerjasama memainkan peranan masing-masing dalam usaha mencegah tingkah laku bunuh diri termasuklah mengenal pasti tanda awal amaran tingkah laku bunuh diri seperti perubahan tingkah laku secara mendadak, hilang minat terhadap aktiviti yang biasa dilakukan dan mengasingkan diri daripada orang sekeliling.

Masyarakat haruslah memberikan sokongan kepada individu yang menghadapi situasi tersebut bagi mendapatkan rawatan dan mengelakkan perkongsian sebarang berita, video atau gambar berkaitan dengan kejadian bunuh diri dalam media sosial serta menghapuskan stigma negatif terhadap individu atau keluarga yang mengalami penyakit mental.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.