10 September 2023, 17:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Terengganu – Gangguan seksual merupakan fenomena global yang semakin membarah dan dihadapi oleh masyarakat di seluruh dunia termasuklah Malaysia.

Dalam satu kenyataan, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Yang Berhormat (YB) Aiman Athirah Sabu menyatakan bahawa mangsa gangguan seksual yang diganggu secara dalam talian atau alam maya digesa agar membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Mangsa perlu dibela dan dibantu untuk mendapatkan pengadilan dan perlindungan serta isu gangguan seksual ini perlu diberikan perhatian serius kerana keadaan tersebut mendorong kepada perlakuan jenayah seksual yang lebih berat seperti serangan atau keganasan seksual termasuklah ugutan dan rogol,” ujar YB Aiman Athirah Sabu lagi.

Berdasarkan tinjauan global yang dilakukan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa pada tahun 2022 mendapati bahawa lebih satu daripada lima pekerja atau lebih 20 peratus telah mengalami sekurang-kurangnya sekali gangguan atau keganasan seksual yang dilakukan oleh ketua atau rakan sekerja mereka, manakala lebih tiga daripada lima pekerja atau lebih 60 peratus individu menjadi mangsa gangguan atau keganasan seksual secara berulang kali di tempat kerja.

Menurut beliau, statistik daripada pihak Polis Diraja Malaysia menunjukkan terdapat 477 kes gangguan seksual telah dilaporkan pada tahun 2022 dengan 14 kes daripadanya dilaporkan berlaku di Terengganu.

Walaupun jumlah kes ini dilihat kecil tapi kesannya tidak boleh diambil ringan kerana setiap individu tanpa mengira peringkat umur, bangsa dan jantina terdedah kepada risiko gangguan seksual.

Tambah beliau, KPWKM telah mengambil langkah pencegahan menerusi penggubalan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) sebagai suatu akta khusus untuk membendung kesalahan gangguan seksual dan satu manifestasi penting kerajaan bahawa kesalahan gangguan seksual merupakan satu pelanggaran kepada hak asasi manusia dan wajib dihentikan.

Pada masa yang sama, beliau juga telah menyempurnakan Majlis Perasmian Program Jerayawara KASIH KPWKM @ Advokasi Antigangguan Seksual yang berlangsung di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam Kuala Terengganu, Terengganu.

Antara pengisian program tersebut termasuklah taklimat advokasi antigangguan seksual oleh Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Forum Bual Bicara: Antigangguan Seksual, pameran daripada pelbagai agensi, jualan rahmah serta jualan produk tempatan yang diusahakan oleh kumpulan sasar KPWKM.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah Ketua Setiausaha KPWKM, YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (Pengurusan), YBhg. Dato’ Haji Anuar Awang dan para pegawai kanan kementerian.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.