8 September 2023, 17:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Puncak Alam – Bersempena dengan Sambutan Hari Fisioterapi Sedunia, Klinik Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Selangor telah menganjurkan Program Saringan Risiko Jatuh dan Sarkopenia untuk memberikan kesedaran awal berkaitan dengan risiko jatuh dan keadaan sarkopenia yang kerap dialami oleh warga emas.

Dalam program berkenaan, sesi perundingan yang dikendalikan oleh Pakar Kesihatan Geriatrik Rehabilitasi, Profesor Madya Dr. Maria Justine dan Dr. Azliyana Azizan turut dijalankan bagi memberikan pendedahan terhadap langkah pencegahan dan rawatan awal yang boleh dilakukan sekiranya mengalami situasi jatuh atau sarkopenia.

“Sarkopenia berlaku apabila badan mengalami kehilangan jisim otot, kekuatan otot dan fungsi pergerakan disebabkan oleh proses katabolisme (penghancuran) dan anabolisme (pembentukan) di dalam sel otot,” jelas YBrs. Profesor Madya Dr. Maria Justine dalam program tersebut.

Tambah beliau, sarkopenia merupakan masalah kesihatan yang sering dialami oleh warga emas kerana berkait rapat dengan proses penuaan.

Sesi perundingan antara Dr. Azliyana Azizan dan Profesor Madya Dr. Maria Justine dengan warga emas dalam Program Saringan Risiko Jatuh dan Sarkopenia.

Selain itu, Dr. Azliyana Azizan turut menegaskan bahawa sarkopenia boleh memberikan kesan negatif kepada sistem muskuloskeletal badan dengan meningkatkan risiko jatuh, dijangkiti penyakit seperti diabetes serta meningkatkan kadar kemasukan ke hospital.

Selain mempromosikan kerjasama antara institusi pendidikan dengan komuniti tempatan, pelibatan para pelajar Sarjana Muda Fisioterapi dalam program berkenaan juga membantu mencipta jambatan antara teori dengan praktikal yang memberikan pengalaman berharga kepada mereka ketika bekerja, sekali gus memberikan peluang kepada komuniti warga emas untuk berinteraksi dengan generasi muda yang berpotensi menabur bakti kepada masyarakat secara keseluruhannya.

Program seumpama ini membuktikan bahawa Klinik Fisioterapi, FSK, UiTM Puncak Alam memberikan komitmen yang tinggi dalam menjayakan inisiatif kesihatan komuniti yang bermakna serta menjadi contoh yang baik kepada institusi pendidikan untuk berperanan sebagai pemangkin dalam menjaga kesihatan dan kesejahteraan masyarakat di sekitarnya.

Kesan positif daripada program tersebut tidak hanya terhad kepada peserta yang menyertainya, malah memberikan impak kepada komuniti setempat secara keseluruhannya dan mampu mewujudkan kesedaran yang lebih mendalam tentang isu kesihatan yang relevan.

“Kami sangat menghargai program yang diadakan ini kerana memberikan pemahaman yang lebih mendalam mengenai risiko jatuh dan kekuatan otot,” ujar salah seorang peserta dalam program berkenaan.

Pada masa yang sama, program saringan kesihatan yang melibatkan 30 orang warga emas di sekitar Sungai Buloh dan Puncak Alam itu memberikan inspirasi kepada pihak berkepentingan untuk menjalankan program yang serupa dengannya pada masa akan datang agar kesinambungan usaha seperti ini menjadi asas yang kukuh bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan warga emas dipelihara dan dipertingkat secara berkesan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.