19 Ogos 2023, 08:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Di Malaysia, jangkitan influenza cenderung berlaku sepanjang tahun dan jangkitan ini tidak tertakluk kepada keperluan pelaporan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 324).

Namun demikian, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memantau trend influenza ataupun wabak jangkitan saluran pernafasan melalui sistem pelaporan sedia ada dan lokasi sentinel yang telah dikenal pasti di seluruh negara.

“Berdasarkan analisis semasa KKM mendapati bahawa trend jangkitan influenza di negara ini merekodkan bacaan yang stabil,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, kadar konsultasi kes penyakit seperti influenza like-illness (ILI) adalah antara 6.14 peratus hingga 6.44 peratus, manakala kadar kemasukan pesakit ke wad dengan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) ialah 6.98 peratus hingga 8.79 peratus sepanjang bulan Julai lalu.

Tambah beliau, aktiviti survelan makmal yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) juga tidak mengesan sebarang kelainan, perubahan atau mutasi pada virus influenza yang menular pada ketika ini.

Peningkatan trend jangkitan yang direkodkan itu melibatkan virus influenza sedia ada, iaitu 54 peratus virus influenza A (H1N1), 40 peratus virus influenza A (H3), lima peratus virus sindrom pernafasan akut yang teruk (SARS-CoV-2) dan satu peratus influenza B pada Minggu Epidemiologi ke-31 (ME 31/2023), yakni bagi tempoh 30 Julai 2023 hingga 5 Ogos 2023 lalu.

Jelas beliau lagi, terdapat 19 kluster jangkitan berkaitan dengan saluran pernafasan selain COVID-19 yang dilaporkan pada ME 31/2023 sekali gus menunjukkan peningkatan daripada 18 kluster yang dilaporkan pada ME 30/2023, iaitu bagi tempoh 23 Julai 2023 hingga 29 Julai 2023 lepas.

Beliau juga menyatakan bahawa sebanyak 155 kes terlibat dalam kluster tersebut dan jumlah kumulatif kluster yang dilaporkan hingga ME 31/2023 ialah 199 berbanding dengan 282 kluster bagi tempoh yang sama pada tahun lalu yang melibatkan penurunan sebanyak 83 kluster (29.4 peratus).

Setakat ini, kluster tertinggi yang dilaporkan berlaku di sekolah menengah dan rendah dengan 101 kluster (50.8 peratus), diikuti dengan 40 kluster (20.1 peratus) di tadika dan tiada kes kematian dilaporkan daripada kesemua kluster yang telah direkodkan sepanjang tahun ini.

Untuk makluman, wabak yang disebabkan oleh virus influenza bermusim akan menyebabkan demam selesema yang ringan pada kebanyakan individu serta boleh menyerang semua peringkat umur termasuklah kanak-kanak ataupun orang dewasa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.