17 Ogos 2023, 17:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebanyak 29 orang pemenang Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2023 diumumkan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) bersama-sama Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), hari ini.

Selaras dengan agenda peralihan tenaga saksama, rendah karbon dan pembangunan mampan, NEA dianjurkan pada setiap tahun sejak tahun 2018 bagi mengiktiraf usaha syarikat dan institusi Malaysia yang melaksanakan inisiatif kemampanan yang membawa perubahan terhadap kelestarian tenaga.

“NRECC telah menganjurkan NEA pada setiap tahun selaras dengan komitmen Malaysia dalam menerajui ekonomi mampan dan bertujuan meningkatkan kesedaran serta penerapan amalan tenaga lestari dalam setiap industri,” kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yang Berhormat Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menurut beliau, peserta NEA telah memainkan peranan masing-masing dalam usaha mencapai rendah karbon menerusi idea, inovasi dan pelaksanaan yang sewajarnya dicontohi oleh semua pihak dan diharapkan lebih banyak syarikat perniagaan akan mendapat inspirasi daripada usaha tersebut serta penyertaan dalam edisi NEA yang seterusnya juga seharusnya bertambah.

Sebanyak 23 orang dalam kategori Penyelesaian Pengurusan Tenaga, Kecekapan Tenaga dan Tenaga Boleh Diperbaharui daripada jumlah pemenang NEA itu akan mewakili Malaysia dalam Anugerah Tenaga ASEAN yang bakal diadakan pada 24 Ogos 2023 hingga 25 Ogos 2023 bersempena dengan Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga ASEAN anjuran ASEAN Centre of Energy (ACE), sebuah pertubuhan antara kerajaan yang mewakili kepentingan negara anggota ASEAN dalam sektor tenaga.

Penyertaan 114 orang peserta dalam NEA pada tahun ini menunjukkan gabungan pengurangan penggunaan tenaga melebihi 1.34 gigawatt (GW) dari segi penjimatan elektrik yang bersamaan dengan pengurangan pelepasan karbon melebihi 23 000 tan metrik setahun.

Bagi pemenang peringkat akhir NEA, sembilan orang daripada mereka telah memenangi kategori Amalan Terbaik dalam Pengurusan Tenaga, 11 orang memenangi kategori Kecekapan Tenaga dan sembilan orang lagi memenangi kategori Projek Tenaga Boleh Baharu Terbaik.

Dalam kategori Amalan Terbaik dalam Pengurusan Tenaga, sebanyak empat buah hospital kerajaan telah mendapat pengiktirafan kerana menggunakan sistem pengawasan dan kawalan sistematik yang proaktif bagi mengoptimumkan penggunaan tenaga, mengurangkan kos tenaga dan mengurangkan impak alam sekitar secara keseluruhan.

Bagi kategori Kecekapan Tenaga yang mengiktiraf inisiatif yang menerima amalan tenaga mampan untuk bangunan baharu atau yang dibaik pulih, sebuah sekolah antarabangsa telah mendapat tempat pertama dan sebuah hospital kerajaan yang lain telah dipilih sebagai pemenang kedua.

Seterusnya, penyertaan diterima daripada projek solar, solar kepada hidrogen, biogas dan mini hidro dari seluruh Malaysia bagi kategori Projek Tenaga Boleh Baharu Terbaik.

Sementara itu, Ketua Juri NEA 2023, Ir. Chen Thiam Leong menyatakan bahawa NEA akan terus memainkan peranan penting untuk menggalakkan perniagaan menerima amalan yang mampan dan berusaha untuk menjadikan pengurusan tenaga, kecekapan tenaga dan tenaga boleh diperbaharui sebagai agenda utama negara.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan keyakinannya terhadap peserta yang telah dipilih untuk mewakili Malaysia dalam Anugerah Tenaga ASEAN dalam mempromosikan perkembangan dan penerimaan amalan tenaga mampan.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut berkenaan dengan NEA 2023 boleh melayari laman sesawang rasmi NEA.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.