16 Ogos 2023, 16:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penganjuran Siber Siaga 2023 dan Cyber Digital Services, Defence and Security Asia (Cyber DSA) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang berlangsung pada 15 Ogos 2023 hingga 17 Ogos 2023 telah berjaya mengumpulkan para pemain dan tokoh terkemuka industri keselamatan siber dari dalam dan luar negara bagi membincangkan inisiatif terbaik untuk menghadapi ancaman siber yang semakin kompleks di negara ini dan membuka ruang kerjasama dalam membentuk satu komuniti siber ASEAN.

Bertemakan “Mempertahankan Ruang Siber dan Kedaulatan Negara”, penganjuran program tersebut adalah seiring dengan perkembangan teknologi yang berkembang maju dan menimbulkan pelbagai cabaran baharu dalam melindungi kepentingan organisasi dan negara.

“Penganjuran Siber Siaga 2023 dan Cyber DSA pada kali ini merupakan platform terbaik kerana ahli profesional dan pemimpin industri dapat berkumpul untuk saling berbincang dan seterusnya mendapatkan kata sepakat dalam mengambil langkah proaktif bagi memastikan keselamatan siber negara terjamin,” kata Timbalan Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Tuan Haji Adly Zahari ketika merasmikan majlis pembukaan program berkenaan.

Tambah beliau, dengan adanya kerjasama daripada pelbagai pihak, kerajaan dapat merancang pelan tertentu dan bergerak ke hadapan dalam memastikan keselamatan ekosistem siber negara bukan sahaja relevan, malah mampu meramal serta memberikan tindak balas terhadap sebarang ancaman.

Bagi memastikan kemampanan keselamatan ekosistem siber di negara ini dan mengelakkan ancaman peperangan atau serangan yang dibuat secara hibrid terhadap nilai teras keselamatan negara sepertimana yang termaktub dalam Dasar Keselamatan Negara 2021-2025, semua agensi yang berkaitan dengan siber seharusnya berganding bahu menerusi pendekatan Whole of Government dan Whole of Society (WoGoS).

Dalam program yang sama, Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) juga mengadakan persidangan ASEAN Cyber Defence (ACDN) yang memberikan peluang kepada para pemimpin siber negara ASEAN untuk bertukar pendapat dalam memastikan agenda keselamatan siber dapat dibina dan diperkembangkan serta membangunkan keupayaan siber dalam kalangan negara ahli ASEAN.

Persidangan berkenaan telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah BSEP, YBhg. Laksamana Muda Dato’ Ts. Shamsuddin Hj Ludin.

Program yang dibuka kepada masyarakat awam itu telah menarik perhatian 70 buah syarikat, 1100 orang ahli profesional, 18 buah universiti tempatan, agensi kerajaan dan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sendiri untuk bersama-sama mengambil bahagian bagi menjayakan program berkenaan.

Selain wadah perbincangan secara ilmiah, terdapat juga beberapa aktiviti lain yang dijalankan sepanjang program tersebut berlangsung termasuklah pameran produk keselamatan siber, produk integrasi pertahanan serta teknologi baharu yang bukan sahaja untuk kegunaan di dalam negara, malah boleh digunakan oleh komuniti global.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi Buang TUDM, Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Haji Ahmad, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddein Jantan, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Dato’ Zulhelmy Ithnain, Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Haji Muhamad Norazlan Aris TUDM, Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Haji Fazal Haji Abdul Rahman, Ketua Pengarah Siber, Panglima Logistik Tentera Darat dan Mejar Jeneral Haji Azelan Abu Bakar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.