1 Ogos 2023, 16:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Program Academy in Industry (AiI) yang memiliki pendekatan berbeza daripada program kerajaan sebelum ini telah dilancarkan hari ini sebagai satu daripada inisiatif untuk menangani masalah peluang pekerjaan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akibat kurangnya minat daripada golongan muda untuk menyertai aliran pekerjaan tersebut.

Pendekatan baharu yang dilaksanakan itu mengambil kira kecenderungan golongan muda yang lebih berminat untuk bekerja terus tanpa melanjutkan pelajaran selepas tamat alam persekolahan.

“Program AiI membolehkan golongan muda dan rentan menyertai sektor pekerjaan teknikal tanpa perlu mempunyai kelayakan TVET terlebih dahulu kerana mereka akan dilatih dan diberikan sijil semasa bekerja melalui konsep place and train,” kata Menteri Ekonomi, Yang Berhormat Tuan Mohd Rafizi Ramli dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, majikan yang memenuhi syarat dari segi modul latihan, jenis kandungan teknikal dalam pekerjaan dan gaji yang ditawarkan dilesenkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk melatih dan memberikan sijil kepada pekerja mereka yang telah melalui tempoh kerja-latihan selepas sembilan bulan hingga 18 bulan bergantung pada jenis kemahiran yang dipilih.

Tambah beliau, anak-anak muda seawal 18 tahun boleh mula bekerja dan mempunyai prospek kerjaya teknikal kerana mereka akan mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) selepas tempoh kerja yang dinyatakan berbanding dengan pendekatan sedia ada yang memerlukan kelulusan kursus TVET sepenuh masa selama 24 bulan sebelum anak-anak muda boleh mencari pekerjaan.

Dana khas sebanyak RM40 juta juga disediakan oleh Kementerian Ekonomi bagi pengambilan sebanyak 20 ribu orang pekerja hingga akhir tahun ini yang akan digunakan untuk membayar insentif penempatan pekerja, insentif lulus kekal dalam pekerjaan dan insentif pensijilan sekiranya pelatih kekal dalam pekerjaan hingga 18 bulan untuk menerima sijil SKM, manakala insentif latihan bagi pelatih yang disijilkan turut diberikan pada akhir tempoh sembilan bulan hingga 18 bulan itu.

Pada masa yang sama, sesi pentauliahan kepada 200 buah syarikat pertama yang menyertai program AiI turut diadakan dalam majlis pelancaran tersebut bagi membolehkan pihak syarikat mengambil pekerja tempatan untuk menggantikan pekerja asing yang sedia ada dengan anggaran awal menunjukkan 200 syarikat pertama ini berkemampuan menyerap hingga 20 ribu golongan muda dan rentan menjadi pekerja di sektor pembuatan dan teknikal dengan gaji bersih sekitar RM2000 sebulan.

Program berkenaan akan diteruskan dengan pengambilan yang seterusnya selepas pengambilan kumpulan pertama sebanyak 20 ribu pelatih untuk mewujudkan kumpulan pekerja teknikal tempatan yang besar sekali gus kerajaan akan meningkatkan tahap pensijilan melalui kaedah kerja-latihan daripada SKM hingga peringkat diploma dan universiti.

Menerusi pendekatan yang dilakukan itu, pelajar lepasan sekolah pada masa hadapan berpeluang untuk memilih aliran pendidikan tinggi yang bersesuaian dengan kecenderungan masing-masing sama ada memilih untuk mengikuti aliran formal (pengajian sepenuh masa di institusi pengajian tinggi) ataupun aliran teknikal kerja-latihan.

Untuk makluman, permohonan bagi menyertai program AiI telah dibuka secara dalam talian untuk tempoh dua minggu daripada sekarang dan boleh dilayari menerusi laman sesawang Ail.

Peluang seumpama ini seharusnya diambil oleh golongan muda dan rentan untuk menyertai kerjaya teknikal dan setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada agensi peneraju program Ail, iaitu Kementerian Ekonomi, Perbadanan Produktiviti Malaysia dan JPK atas inisiatif yang dilaksanakan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.