27 Julai 2023, 18:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan mempergiat penghasilan baka sawit hibrid yang dapat menghasilkan minyak dengan lebih banyak menggunakan keluasan tanah terhad.

Usaha yang dilaksanakan itu adalah selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk mengoptimumkan penggunaan tanah perladangan yang sedia ada.

“Dengan mengambil kira cabaran yang dihadapi pada masa ini, terutamanya penolakan Eropah atas dakwaan pelbagai isu seperti penyahhutanan dan keselamatan makanan, MPOB sebagai sebuah institusi penyelidikan dan pembangunan akan terus memastikan produk sawit yang dihasilkan sentiasa berkualiti dan mampan,” kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof dalam satu kenyataan.

Berikutan pengumuman daripada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang diyakini mampu untuk melonjakkan ekonomi serta menambah baik Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, KPK menyambut baik visi dan sasaran yang telah digariskan di bawah Malaysia MADANI dan bersedia untuk mengorak langkah melalui penjajaran pelbagai program dan aktiviti kementerian bagi menyokong aspirasi tersebut.

Negara perlu terus mengatur strategi agar tidak bergantung pada penghasilan komoditi di peringkat huluan semata-mata, namun harus mempelbagaikan produk hiliran yang bernilai tinggi.

Masyarakat sedia maklum bahawa sektor agrikomoditi merupakan satu daripada sektor yang penting bagi pertumbuhan ekonomi negara sekali gus menjadi faktor sektor tersebut akan terus diperkasakan menerusi pelbagai inisiatif yang akan diperkenalkan oleh kementerian.

Beliau juga menyatakan bahawa aset sedia ada negara seperti biodiversiti dalam pasaran perdagangan karbon sektor agrikomoditi dan usaha pemuliharaan dan penghutanan semula bagi mengekalkan kemampanan alam sekitar turut diberikan perhatian bagi mencapai hasrat untuk mencipta kekayaan baharu negara.

Susulan itu, Program Penghijauan Malaysia yang merupakan agenda nasional telah dilaksanakan oleh KPK menerusi agensi di bawahnya bagi menghadapi cabaran perubahan iklim serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Pada masa yang sama, KPK turut menyambut baik usaha Sarawak dalam memperintis kenderaan menggunakan tenaga hIdrogen serta pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).

Tidak ketinggalan, KPK juga mendukung inisiatif kerajaan dalam pelaksanaan pemulihan kelestarian alam menerusi pendayagunaan teknologi hijau seperti penggunaan biodiesel sawit.

Dengan adanya pelbagai pelaksanaan inisiatif tersebut diharapkan mampu memartabatkan negara dengan penstrukturan semula ekonomi agar Malaysia menjadi peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara dan di dunia serta memberikan limpahan hasil kepada rakyat dan negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.