27 Julai 2023, 17:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) Fasa Satu menyasarkan pengurangan sebanyak 10 ribu gigagram pelepasan karbon dioksida setara setahun, memberikan peluang pelaburan melebihi RM25 bilion dan mewujudkan sebanyak 23 ribu peluang pekerjaan yang berkemahiran serta bernilai tinggi.

Pelaksanaan NETR tersebut bertujuan menzahirkan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam mengemudi hala tuju ekonomi negara berteraskan “Ekonomi MADANI, Memperkasa Rakyat” yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Tumpuan NETR merangkumi enam pemacu peralihan tenaga, iaitu kecekapan tenaga (EE), tenaga boleh baharu (TBB), hidrogen, biotenaga, mobiliti hijau serta pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon.

Selain itu, NETR juga bakal membuka lembaran baharu naratif pembangunan negara melalui penggemblengan usaha bersepadu bagi menjadikan Malaysia sebagai negara peneraju serantau dalam aspek peralihan tenaga.

“Indeks Peralihan Tenaga 2023 oleh World Economic Forum (WEF) telah meletakkan Malaysia pada kedudukan pertama di Asia Tenggara, sekali gus mengesahkan potensi dan ketersediaan negara untuk menarik pelaburan global dalam bidang TBB dan teknologi hijau bagi memacu peralihan tenaga,” kata Menteri Ekonomi, Yang Berhormat Tuan Mohd Rafizi Ramli dalam satu kenyataan.

Sementara itu, satu memorandum persefahaman turut dimeterai antara UEM Group Berhad, iaitu anak syarikat milik Khazanah Nasional Berhad dengan ITRAMAS Corporation Sdn. Bhd. bagi membangunkan sebuah loji jana kuasa solar PV hibrid satu gigawatt bersepadu berserta taman perindustrian TBB.

Katanya, projek berkenaan dianggarkan mempunyai kapasiti terpasang TBB yang terbesar di Asia Tenggara dan melibatkan pelaburan berjumlah enam bilion oleh pelabur terkemuka antarabangsa.

Menurut beliau lagi, antara projek berimpak tinggi yang akan dilaksanakan di bawah NETR Fasa Satu ialah solar terapung hidro hibrid, iaitu pembangunan solar terapung dengan potensi kapasiti keseluruhan sebanyak 2500 megawatt (MW) di empangan hidro Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi penjanaan elektrik dan pembinaan 4.5 MW solar bumbung di kediaman melalui sistem penyewaan dengan kapasiti hingga 10 kilowatt (kW) bagi setiap rumah.

Projek lain melibatkan tiga projek bersepadu pengeluaran hidrogen hijau sekali gus menjadikan Sarawak sebagai hab hidrogen hijau serantau dengan komponen projek merangkumi pembinaan kilang pengeluaran di Kuching menjelang tahun 2025 untuk kegunaan domestik dan dua kilang pengeluaran di Bintulu menjelang tahun 2027 bagi tujuan eksport.

Mengulas lebih lanjut, pemasangan sebanyak 10 000 stesen pengecas kenderaan elektrik di lebuh raya dan bangunan komersial, projek elektrifikasi pengangkutan awam serta projek rintis di lapangan gas dengan kandungan karbon dioksida yang tinggi di Kasawari dan Lang Lebah yang dijangkakan beroperasi menjelang tahun 2026 dan tahun 2028 juga adalah antara projek yang bakal dilaksanakan di bawah NETR Fasa Satu.

NETR ialah satu daripada strategi Malaysia dalam mendepani trend peralihan tenaga global yang sedang berkembang pesat selain meneroka peluang pembangunan ekonomi baharu serta merancakkan lagi pelaburan di dalam negara dan di luar negara.

NETR juga merupakan iltizam bagi menjamin masa hadapan negara serta kesejahteraan rakyat melalui pengurusan peralihan tenaga secara adil, inklusif dan teratur.

Kerajaan dijangkakan memuktamadkan hasil kajian NETR melalui peluncuran NETR Fasa Dua dalam beberapa minggu lagi dan dokumen tersebut akan menzahirkan laluan rendah karbon, campuran tenaga utama dan sasaran pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG) oleh sektor tenaga melalui pelan tindakan serta inisiatif yang bersesuaian selain merangsang potensi pelaburan dan penerokaan rantaian nilai baharu dalam industri tenaga bersih.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.