26 Julai 2023, 16:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kerajaan telah mewartakan seluas 68.281 hektar kawasan Hutan Paya Bakau Kina Benuwa di Wilayah Persekutuan Labuan pada 11 Julai 2023 sebagai hutan simpanan kekal (HSK) dan dinamakan Hutan Simpan Kina Benuwa.

Hutan Simpan Kina Benuwa ialah HSK pertama yang diwartakan di Wilayah Persekutuan Labuan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dan menjadi HSK  pertama di Wilayah Persekutuan daripada jenis hutan paya laut sekali gus menjadikan  kawasan HSK di Wilayah Persekutuan meningkat daripada 84.62 hektar kepada  152.901 hektar.

Mengulas lebih lanjut, beliau menyatakan bahawa Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Ikim (NRECC) akan terus meningkatkan kerjasama strategik dengan Perbadanan Labuan dalam pengurusan Hutan Simpan Kina Benuwa dan mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama strategik serta penajaan daripada badan korporat untuk menjalankan aktiviti restorasi di kawasan Hutan Simpan Kina Benuwa dan kawasan hutan paya laut di seluruh negara.

Lindungilah khazanah hutan paya laut agar khazanah yang tidak ternilai ini sentiasa terpelihara demi manfaat dan kesejahteraan generasi pada masa akan datang.

Mengulas dengan lebih lanjut tentang Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa yang disambut pada 26 Julai setiap tahun, sambutan ini adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat untuk memelihara dan memulihara ekosistem hutan paya laut bagi memastikan kelangsungan peranan serta sumbangannya kepada kesejahteraan masyarakat sejagat.

“Usaha bagi melindungi dan memelihara hutan paya laut tidak mudah disebabkan oleh kadar kehilangan hutan paya laut adalah antara tiga hingga lima kali lebih tinggi daripada kadar kehilangan hutan global sekali gus memberikan kesan secara langsung kepada masyarakat setempat, terutamanya penduduk di pesisir pantai yang bergantung pada sumber marin sebagai sumber pendapatan,” kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yang Berhormat (YB) Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, kehilangan ekosistem hutan paya laut adalah berpunca daripada kemusnahan hutan akibat tekanan pembangunan seperti aktiviti akuakultur, pertanian dan pencemaran yang tidak terkawal.

Kawasan hutan paya bakau seluas 629 038 hektar, iaitu 3.44 peratus daripada keluasan kawasan berhutan di seluruh negara berjaya dikekalkan dan diuruskan secara sistematik sejak tahun 1905 di Larut Matang, Perak dan seterusnya diiktiraf sebagai satu daripada model pengurusan hutan paya laut yang terbaik di dunia.

Selain itu, enam daripada tujuh tapak RAMSAR di Malaysia terdiri daripada kawasan hutan paya laut berkepentingan antarabangsa, terutamanya sebagai habitat unggas air.

Tambah beliau lagi, sejumlah 3273.34 hektar kawasan pesisir pantai di seluruh negara telah ditanamkan dengan pokok bakau dan spesies hutan pesisir pantai terpilih yang melibatkan penanaman sebanyak 7 196 996 pokok hingga tahun 2022.

“Pencapaian yang direkodkan adalah hasil sokongan dan komitmen daripada pelbagai pihak, khususnya kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat tempatan,” ujar YB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.