8 Julai 2023, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jalan raya ialah sarana perhubungan untuk mengangkut manusia dan barang daripada satu tempat ke tempat lain. Elemen terpenting dalam reka bentuk jalan raya ialah jenis turapan yang akan digunakan.

Turapan yang baik akan menjamin kualiti dan ketahanan jalan raya yang akan dibina. Jalan raya akan berfungsi dengan baik jika permukaan turapannya rata, tahan lasak, boleh menampung beban trafik setiap masa dan tahan terhadap perubahan cuaca.

Setiap hari, ribuan kenderaan termasuklah basikal, motosikal, kereta, bas, lori dan lain-lain jenis kenderaan beroda dan berenjin menyusuri jalan dan lebuh raya. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sehingga tahun 2022, sebanyak 33.3 juta unit kenderaan bermotor berdaftar di negara ini. Data ini juga menunjukkan peningkatan tahunan sebanyak sejuta kenderaan sejak tahun 2019.

Setiap tahun, dianggarkan lebih daripada 2.8 juta atau kira-kira 57.39 tan tayar terpakai telah dihasilkan. Lebih daripada 60 peratus daripada jumlah ini tidak digunakan dan disimpan.

Peningkatan jumlah tayar terpakai yang dikumpulkan sebagai bahan buangan telah pun menjadi isu global. Pernahkah kita terfikir ke manakah perginya tayar terpakai yang sudah tidak digunakan lagi? Adakah tayar tersebut dibuang, dibakar atau dikitar semula?

Pengurusan tayar terpakai yang kurang sempurna boleh mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan manusia seperti risiko kebakaran dan tempat perlindungan bagi haiwan perosak seperti tikus dan nyamuk. Penggunaan tayar terpakai juga berpotensi meningkatkan risiko kerosakan kepada alam sekitar.

Oleh hal yang demikian, menggabungkan tayar terpakai dengan asfalt untuk pembinaan jalan ialah satu daripada usaha berterusan untuk mengurangkan jumlah sisa yang dibuang ke tempat pembuangan sampah.

Dalam pembinaan jalan, tayar terpakai digunakan dalam bentuk getah cebis atau serbuk getah. Getah cebis dihasilkan dengan mengecilkan saiz tayar terpakai atau bahan getah lain menjadi butiran seragam.

Sementara itu, bahan penguat seperti keluli dan serat akan dikeluarkan bersama-sama jenis pencemar lain seperti habuk, kaca atau batu. Walau bagaimanapun, kandungan bahan tersebut adalah berbeza-beza dan bergantung pada jenis kenderaan dan proses pembuatannya.

Penggunaan getah cebis sebagai bahan tambahan dalam campuran asfalt boleh diperoleh dengan dua kaedah berbeza. Kaedah pertama melibatkan pelarutan tayar cebis dalam asfalt sebagai bahan pengikat, manakala kaedah kedua adalah dengan menggantikan sebahagian agregat halus dengan getah cebis dan proses ini tidak melibatkan tindak balas sepenuhnya dengan asfalt.

Kaedah tersebut masing-masing dipanggil proses basah dan proses kering. Bahan pengikat hasil daripada proses basah dikenali sebagai getah–asfalt, manakala campuran asfalt yang dihasilkan daripada proses kering dikenali sebagai jalan campuran getah.

Sejarah menunjukkan bahawa penggunaan getah–asfalt bermula pada tahun 1840-an. Pada ketika itu, getah asli digunakan sebagai campuran asfalt untuk meningkatkan prestasi kejuruteraannya.

Sejak tahun 1960-an, tayar cebis digunakan sebagai bahan tambahan dalam campuran asfalt. Di United Kingdom, getah asli merupakan bahan polimer pertama yang digunakan pada pertengahan tahun 1800-an. Sehingga penghujung tahun 1980-an, penggunaan getah–asfalt semakin popular dan menjelang tahun 2000, bahan ini telah digunakan di lebih daripada 40 negara di seluruh dunia.

Tayar terpakai digunakan dalam bentuk getah cebis atau serbuk getah.

Kajian oleh Universiti Clemson di Amerika Syarikat mendapati bahawa sebanyak 500 hingga dua ribu tayar terpakai boleh digunakan untuk membina jalan sejauh satu batu atau 1.609 kilometer bergantung pada penggunaan bahan yang dipilih. Hal ini bermakna bahawa untuk membina lebuh raya empat lorong yang berjarak kira-kira satu batu, antara dua ribu hingga lapan ribu tayar terpakai boleh dikitar semula untuk tujuan tersebut.

Pengalaman praktikal selama lebih daripada 50 tahun di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa asfalt–getah mempunyai peningkatan prestasi yang ketara berbanding dengan campuran asfalt biasa. Hal ini termasuklah peningkatan dalam kelikatan, kekukuhan, keanjalan, pengurangan kerentanan suhu dan mengurangkan kesan penuaan.

Malaysia sebagai satu daripada negara pengeluar getah terbesar di dunia turut bergerak menuju ke arah teknologi dalam menghasilkan bahan pengikat yang mempunyai daya ketahanan dan kestabilan yang lebih baik. Keberkesanan penggunaan asfalt–getah telah dikaji oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) dan Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM) melalui projek awal yang bertajuk “Penggunaan Getah Cebis sebagai Bahan Tambah kepada Asfalt”.

Penyelidikan mengenai getah sebagai bahan tambah dalam turapan jalan sebenarnya telah dimulakan seawal tahun 1930-an ketika RRIM melakukan penyelidikan mengenai penggunaan getah sebagai satu daripada komponen dalam pembinaan jalan. Sebagai hasilnya, lebuh raya daripada Kuala Lumpur ke Klang, Selangor telah dibina menggunakan getah sebagai satu daripada bahan campurannya.

Pada tahun 2003, satu percubaan dijalankan di Laluan 2, Seksyen 340–345, Kuantan, Pahang untuk membina jalan raya berskala penuh. Kajian menunjukkan bahawa penggunaan getah cebis dalam campuran asfalt dapat meningkatkan ketahanan jalan raya terhadap retakan dalam lapisan yang agak tipis dengan penggredan agregat yang agak halus.

Walau bagaimanapun, penggunaan getah cebis ini tidak menunjukkan peningkatan prestasi dalam lapisan yang lebih tebal dengan penggredan agregat yang lebih kasar. Setelah 52 bulan jalan tersebut dibuka untuk trafik, didapati campuran asfalt biasa dan turapan yang mengandungi getah cebis mempunyai prestasi yang hampir sama.

Kumpulan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Pengangkutan, Universiti Malaya mendapati bahawa penggunaan getah–asfalt dapat meningkatkan ketahanan jalan raya terhadap pengeluman (proses permukaan jalan terkelum di laluan tayar dan turapan kelihatan berombak atau beralun) dan mengurangkan kerosakan pada permukaan turapan. Sebagai hasilnya, turapan adalah lebih selamat dan lancar.

Pada tahun 2019, JKR telah melancarkan dua piawaian tambahan yang berkaitan dengan penggunaan getah cebis (Seksyen 4.17) dan getah sekerap (Seksyen 4.18) dalam piawaian kebangsaan, iaitu JKR/SPJ/2008 – Section 4. Dalam piawaian ini, tayar cebis hendaklah dihasilkan dengan mengisarkan halus tayar terpakai. Saiz tayar cebis yang ditetapkan adalah antara 0.4 milimeter hingga 0.8 milimeter.

Tayar lori dan bas mengandungi lebih banyak peratusan getah asli berbanding dengan tayar kenderaan lain. Tayar kenderaan seperti kereta dan lori pikap dibuat dengan menggunakan lebih banyak komponen getah tiruan atau sintetik.

Walaupun terdapat kelebihan dalam penggunaan getah–asfalt, beberapa kelemahan berkaitannya juga telah dikenal pasti. Satu daripada masalah utama tersebut ialah kestabilan penyimpanan.

Getah cebis cenderung untuk terpisah daripada asfalt pada penyimpanan yang lama. Kesannya, kualiti campuran asfalt boleh menurun secara mendadak. Terdapat kemungkinan kerosakan kepada getah semasa proses pencampuran walaupun kesan ini tidaklah terlalu kritikal (sekitar empat peratus hingga lima peratus sahaja).

Selain itu, suhu pencampuran dan pemadatan yang lebih tinggi diperlukan semasa kerja penurapan jalan getah–asfalt ini yang memerlukan lebih banyak tenaga dan menghasilkan lebih banyak asap.

Pada peringkat antarabangsa, penggunaan cebis getah dalam pembinaan jalan terus ditambah baik dan dipertingkat. Persidangan Getah Asfalt yang diadakan pada setiap tiga tahun menjadi bukti komitmen ini.

Semasa persidangan tersebut, pakar getah–asfalt dari seluruh dunia berkumpul untuk membentangkan hasil penyelidikan mereka dalam pelbagai aspek, termasuklah reka bentuk getah–asfalt, kos kitar hayat, kaedah reka bentuk pengikat dan pembinaan, faedah tenaga dan persekitaran, penyelenggaraan, pengurangan bunyi dan sebagainya. Hal ini menandakan bahawa getah–asfalt semakin banyak dikaji dan diguna pakai serta era baharu pembinaan jalan raya di seluruh dunia telah bermula.

Meskipun begitu, masih banyak kajian yang perlu dilakukan untuk memastikan bahawa penggunaan turapan getah–asfalt ini tidak hanya menjadikan jalan raya lebih lestari, malah tidak memberikan kesan buruk kepada alam sekitar.

Dalam jangka panjang, pelaksanaan turapan jalan getah–asfalt ini dapat membantu kerajaan menjimatkan jutaan ringgit pada setiap tahun dari segi penyelenggaraan dan pemuliharaan rangkaian jalan raya yang panjangnya melebihi 230 ribu kilometer di seluruh negara.

 

Profesor Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff dan Dr. Suzielah Rahmad, Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Dr. Ahmad Yusri Mohamad, Jabatan Kejuruteraan Awam, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.