30 Mei 2023, 16:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Berdasarkan rekod Jabatan Alam Sekitar (JAS), bilangan kes pembakaran terbuka bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 25 Mei 2023 adalah sebanyak 1845 kes dan lima kes daripadanya ialah kebakaran berskala besar yang melibatkan hutan tanah gambut, tapak pelupusan sampah dan tapak pelupusan sampah haram sekali gus mengakibatkan berlakunya jerebu tempatan.

Kini, negara berada dalam fasa monsun barat daya yang bermula sejak 15 Mei 2023 dan dijangkakan berterusan hingga September 2023 yang mengakibatkan negara mengalami kekurangan taburan hujan, peningkatan suhu dan cuaca yang lebih panas serta kering menyebabkan jerebu tempatan dan jerebu merentas sempadan boleh berlaku sekiranya kebakaran terbuka tidak dikawal.

“Sebanyak empat kes kebakaran telah berjaya dipadamkan sepenuhnya dan semua jabatan, agensi serta kerajaan negeri yang terlibat perlu mempertingkatkan tindakan pencegahan pembakaran terbuka bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang semula,” kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yang Berhormat Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan.

Susulan itu, JAS telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan 236 arahan lapangan atau amaran, 28 kompaun, 58 notis arahan dan satu tindakan mahkamah terhadap pihak yang melakukan kesalahan pembakaran terbuka bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 25 Mei 2023.

Menurut rekod JAS bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 25 Mei 2023, sebanyak 101 kes aduan telah dilaporkan yang melibatkan pembakaran terbuka di tapak pelupusan sampah haram di seluruh negara.

Bagi menangani pembakaran terbuka di tapak pelupusan sampah haram ini, komitmen daripada semua pihak sangat diperlukan dengan melibatkan kerjasama bersama-sama pihak berkuasa tempatan dalam membanteras kewujudan tapak pelupusan sampah haram yang menjadi punca kepada pencemaran, terutamanya dalam kes yang melibatkan pembakaran terbuka, pencemaran air dan pelupusan bahan buangan berbahaya.

Oleh yang demikian, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dengan kerjasama kementerian, jabatan dan agensi berkaitan serta kerajaan negeri akan mengambil tindakan yang serius bagi membanteras kewujudan tapak pelupusan sampah haram dan isu kebakaran di kawasan tersebut.

Berikutan kes tapak pelupusan sampah haram berhampiran dengan Twin Palms, Sungai Long, JAS sedang melengkapkan kertas siasatan bagi kesalahan melakukan pembakaran terbuka mengikut Seksyen 29A, larangan ke atas pembakaran terbuka, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 (Akta 127) yang memperuntukkan denda hingga RM500 ribu atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Selain itu, Majlis Perbandaran Kajang pula sedang melakukan tindakan lanjut berhubung dengan kes tapak pelupusan sampah haram di Black Water Lake, Bandar Mahkota, Cheras.

Kerajaan sentiasa mempertingkatkan usaha pencegahan aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan jerebu tempatan dan menjejaskan kualiti udara serta kesihatan awam.

Dalam kenyataan media tersebut juga, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka, terutamanya di kawasan mudah terbakar seperti di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah.

Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 29A, Akta 127, iaitu melibatkan kompaun hingga RM2000 bagi setiap kesalahan atau didakwa di mahkamah dengan denda maksimum sebanyak RM500 ribu atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang mencemarkan alam sekitar boleh dilaporkan di talian 1-800-88-2727 yang beroperasi selama 24 jam sehari atau e-mel aduan tersebut ke [email protected] atau melalui portal e-aduan JAS.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.