Oleh Firdaus Mul
17 April 2023, 10:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Rawatan pemintasan merupakan langkah rawatan pintasan dan pencegahan awal bagi mengelakkan rawatan pendakap gigi serta mengurangkan komplikasi pengunaan pendakap gigi pada masa akan datang dalam kalangan kanak-kanak.

Hal ini turut dijelaskan secara terperinci oleh Pakar Ortodontik dan Pensyarah di Fakulti Pergigian, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Asma Ashari dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia yang membincangkan topik “Rawatan Pendakap Gigi (braces) Pemintasan (interceptive) untuk Si Kecil”, baru-baru ini.

Rancangan Selamat Pagi Malaysia bersama-sama Pakar Ortodontik dan Pensyarah di Fakulti Pergigian, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Asma Ashari.

Menurut beliau, antara tanda yang menunjukkan kanak-kanak berkenaan memerlukan rawatan pemintasan apabila gigi ke hadapan, yakni gigi atas dan gigi bawah mempunyai jarak yang ketara; gigi yang bersilang, yakni gigi kacip bawah terletak di hadapan gigi kacip atas; gigi berlapis akibat tabiat menghisap jari yang sukar dihentikan dan kehilangan gigi susu terlalu awal.

Banyak kajian yang menunjukkan bahawa orang yang gigi ke hadapan sewaktu kanak-kanak, mereka lebih cenderung untuk trauma. Apabila mereka jatuh, 50 peratus daripada mereka cenderung untuk trauma berbanding dengan kanak-kanak yang mempunyai gigi biasa. Ada juga kanak-kanak yang diejek dan memberikan kesan psikologi kepada mereka.

“Oleh sebab itu, untuk kanak-kanak yang memerlukan rawatan awal ini, kami menyarankan jika mereka mempunyai risiko untuk trauma. Misalnya, mereka pernah mengalami patah gigi, banyak bermain sukan atau jika pernah diejek atau dibuli, kami mencadangkan untuk memulakan rawatan pemintasan dengan lebih awal,” tegas beliau lagi.

Dr. Asma Ashari turut menasihatkan ibu bapa untuk mengadakan janji temu berkala dengan doktor gigi bagi membantu mereka membiasakan diri dengan rawatan pergigian.

Beliau turut menjelaskan bahawa sekiranya gigi susu kekal dibiarkan di dalam mulut, hal tersebut akan menyebabkan gigi kekal yang hendak tumbuh akan berlapis.

Selain itu, apabila gigi susu dicabut terlalu awal, keadaan tersebut akan menganggu ruang pertumbuhan gigi kekal.

“Penyelesaian yang terbaik ialah dengan menjalani rawatan pemintasan yang akan membantu menjaga setiap ruang pertumbuhan gigi kekal mengikut ruang yang sepatutnya untuk gigi kekal tersebut tumbuh,” hurainya lagi.

Jelasnya lagi, gigi kekal yang terbenam lama di dalam gusi atau tulang geraham akan menyebabkan sista yang boleh merosakkan gigi yang bersebelahan.

Hal ini dikatakan demikian kerana apabila gigi berkenaan berada di tempat yang salah, akar gigi yang bersebelahan berupaya dihakis.

“Ibu bapa perlu melihat gigi anak-anak kita, terutamanya apabila mereka sudah besar. Gigi susu ini selalunya berwarna putih sedikit berbanding gigi kekal. Jika perlu, lakukan pemeriksaan dengan doktor gigi untuk memastikan bahawa tidak ada gigi kekal yang terbenam,” ujarnya mengakhiri perbincangan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.