Oleh Firdaus Mul
14 April 2023, 14:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Orang ramai disarankan untuk menjadi salah seorang penderma aferesis, terutamanya bagi individu yang darahnya tergolong dalam kumpulan darah AB.

Pendermaan aferesis ialah proses pendermaan darah yang khusus, yakni apabila darah utuh dikeluarkan daripada badan penderma, proses tersebut akan melalui satu mesin khas dan produk plasma atau platelet sahaja yang akan diambil, manakala darah merah akan dipulangkan semula kepada penderma darah berkenaan.

“Pendermaan aferesis ini boleh dilakukan dengan lebih kerap, iaitu sekitar dua minggu hingga satu bulan selepas pendermaan darah, namun berbeza pula dengan pendermaan darah utuh yang mengambil masa selama tiga bulan untuk melakukan pendermaan darah yang seterusnya,” kata Pakar Perubatan Transfusi, Pusat Darah Negara, YBrs. Dr. Norasrina Ishak menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia, baru-baru ini.

Pakar Perubatan Transfusi, Pusat Darah Negara, YBrs. Dr. Norasrina Ishak.

Jelas beliau, seseorang yang ingin membuat pendermaan aferesis haruslah menjadi penderma darah utuh sebanyak dua kali dalam tempoh 24 bulan dan pendermaan darahnya yang terakhir adalah pada enam bulan sebelum menjadi penderma aferesis, mempunyai salur darah yang baik serta memiliki berat badan melebihi 55 kilogram.

“Pada kebiasaannya, pendermaan aferesis ini sering digunakan dalam situasi klinikal yang tertentu dan disebabkan oleh kuantiti penghasilan produk aferesis tidaklah sebanyak pendermaan darah utuh, kebanyakan platelet yang diambil akan dibekalkan kepada pesakit yang telah didiagnosis dengan kanser darah ataupun melalui proses pemindahan organ dan kes tertentu,” ujar beliau.

Sesi perkongsian tentang pendermaan aferesis oleh Pakar Perubatan Transfusi, Pusat Darah Negara, YBrs. Dr. Norasrina Ishak menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia.

Secara umumnya, sebanyak 4000 plasma daripada hasil pendermaan darah utuh akan menjalani proses fraksinasi melalui program fraksinasi kebangsaan yang dilakukan dengan kerjasama sebuah syarikat di Australia.

Menurutnya lagi, produk fraksinasi seperti ubat-ubatan akan dihasilkan bagi memenuhi 15 peratus hingga 75 peratus permintaan daripada hospital kerajaan untuk dibekalkan kepada pesakit yang memerlukan.

Orang ramai bukan sahaja boleh melakukan pendermaan darah di Pusat Darah Negara, malah pendermaan darah juga boleh dilakukan di pelbagai pusat kutipan darah di seluruh negara.

Sebarang maklumat lanjut berkaitan dengan lokasi pendermaan darah ataupun aktiviti berkaitan dengan tatacara dan kriteria penderma darah, orang ramai disarankan untuk menghubungi pusat kutipan darah atau melayari laman sesawang Pusat Darah Negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.