10 April 2023, 16:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sintok – Penyelidik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mempelopori penghasilan makanan ikan yang diperbuat daripada sumber tempatan, iaitu Azolla untuk membantu para penternak ikan berikutan kekurangan makanan ikan dan kos makanan ikan yang tinggi di negara ini sekali gus menjadi cabaran besar bagi industri akuakultur.

Azolla yang diternak untuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan.

Azolla merupakan sejenis tumbuhan hijau yang tumbuh secara bersimbiosis dengan sejenis sianobakteria (alga biru-hijau), iaitu Anabaena yang didapati tumbuh dengan banyak di dalam kolam air serta sawah padi di negara Asia.

“Terdapat pelbagai spesies Azolla dan setiap satu daripadanya mempunyai potensi yang besar untuk dikomersialkan dalam bidang makanan dan kosmetik,” kata Pengarah Pusat Penyelidikan Sekuriti Makanan, Inovasi dan Pembangunan (FInDER), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), UUM, YBrs. Profesor Madya Dr. Risyawati Mohamed Ismail.

Pengarah Pusat Penyelidikan Sekuriti Makanan, Inovasi dan Pembangunan (FInDER), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), UUM, YBrs. Profesor Madya Dr. Risyawati Mohamed Ismail.

Tambah beliau, Malaysia juga menjadikan Azolla sebagai sumber makanan ternakan, namun kegunaannya belum mencapai tahap yang optimum dan signifikan untuk menampung keperluan industri ternakan tempatan.

Penternakan ikan dan hidupan akuatik lain merupakan sektor penting bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat di samping menyumbang ke arah pemantapan sekuriti makanan negara berikutan faktor iklim dan sumber air yang tersedia serta pantai yang luas menjadikan Malaysia sebagai sebuah lokasi yang ideal untuk melakukan aktiviti akuakultur.

Pada tahun 2019, pengeluaran tilapia sahaja telah mencapai 485 817 tan metrik, manakala ikan keli dan udang air tawar masing-masing menghasilkan 203 074 tan metrik dan 156 200 tan metrik.

“Dengan pertumbuhan industri akuakultur yang pesat ini, keperluan makanan haiwan untuk menampung sektor ini juga bertambah disebabkan oleh peningkatan permintaan untuk makanan ikan di seluruh dunia di samping ketersediaan bahan mentah yang terhad serta harga bahannya yang tidak menentu,” ujar beliau.

Setakat ini, hanya sekitar 30 peratus daripada permintaan tersebut dipenuhi oleh pengeluar tempatan, manakala selebihnya diimport dari luar negara sekali gus menyebabkan industri akuakultur terdedah kepada ketidaktentuan harga global dan gangguan rantaian bekalan ikan tempatan.

Mengulas lebih lanjut, beliau menyatakan bahawa bagi menampung kos operasi, para penternak ikan terpaksa menggunakan pengganti yang lebih murah dan kurang berkhasiat sebagai makanan ikan yang menyebabkan kadar pertumbuhannya lebih rendah, kadar kemandiriannya berkurangan dan produk yang dihasilkan kurang berkualiti selain menyebabkan penternak ikan berskala kecil gagal membina daya saing dengan ladang komersial yang lebih besar.

Sebelum ini, beliau telah menghasilkan makanan ayam daripada Azolla dan produk tersebut sedang menjalani ujian lapangan terakhir sebelum dikomersialkan.

“Melihat kepada masalah bekalan makanan yang sama dalam industri akuakultur, saya menggunakan Azolla untuk menghasilkan pelet makanan ikan selain pelet makanan ayam dan setakat ini prototaip tersebut telah lulus ujian makmal dan sedang disiapkan untuk melalui ujian lapangan yang lebih besar,” jelas beliau.

Azolla dituai bagi proses pembuatan pelet.
Pelet sedang diuji di dalam makmal.

Projek ini juga adalah jalinan kerjasama antara UUM dengan komuniti penduduk kampung daerah Padang Terap, Kedah yang terdiri daripada penternak keli yang berpengalaman dan merupakan pemegang taruh utama dalam rantaian bekalan ikan tempatan.

Penyelidik UUM menyantuni penternak ikan keli.

“Kerjasama yang erat bersama-sama penternak ikan keli menjadikan projek ini lebih bermakna dan penyelidik memperoleh gambaran sebenar serta maklumat yang terperinci berkaitan dengan operasi penternakan ikan secara akuakultur,” tambahnya lagi.

Penternak ikan sedang menangkap ikan keli matang untuk jualan di kolam ternakan di daerah Padang Terap, Kedah.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia perlu membina keupayaan bagi menghasilkan bahan mentah tempatan demi memastikan kos makanan ternakan mampu menjamin kemampanan sektor ternakan pada masa hadapan.

“Saya percaya bahawa jika penyelidikan dilakukan secara lebih terperinci dan menyeluruh terhadap pelbagai jenis sumber tempatan, negara ini mampu untuk menghasilkan makanan ternakan yang lebih ekonomi dan mengurangkan kebergantungan terhadap bahan mentah yang diimport dari luar negara,” katanya.

Penyelidikan berkenaan turut dibantu oleh dua orang lagi penyelidik dari STML, iaitu YBrs. Dr. Mastora Mustafar dan YBrs. Dr. Siti Zakiah Abu Bakar yang menumpukan aspek ekonomi penternakan ikan keli di kawasan pedalaman di Kedah.

YBrs. Profesor Madya Dr. Risyawati Mohamed Ismail ketika melakukan penyelidikan terhadap Azolla sebagai makanan ternakan di dalam makmal FInDER, UUM.

Kumpulan penyelidik ini juga memfokuskan kajian bagi membantu pembangunan komuniti luar bandar yang menerima impak ekonomi paling serius akibat kenaikan harga barangan sokongan aktiviti pertanian.

Perbincangan berterusan antara penyelidik dengan penternak ikan sekali gus membantu pembangunan komuniti luar bandar dalam industri akuakultur.

Projek penyelidikan makanan alternatif tersebut telah dimulakan sejak dua tahun lalu di UUM bagi membantu penternak B40 dan komuniti pedalaman untuk meneruskan kesinambungan projek ekonomi mereka susulan harga makanan ternakan yang semakin tinggi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.