8 April 2023, 15:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dalam menyahut cabaran dan usaha kerajaan untuk menggalakkan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di sekolah demi mewujudkan masyarakat MADANI, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Wilayah, Kuala Lumpur telah menganjurkan Forum Jejak Kerjaya Seorang Saintis yang memberikan informasi terkini tentang kerjaya seorang saintis di Malaysia.

Forum yang berlangsung selama dua jam ini telah dikupas oleh Pakar Fizik Perubatan dan Kanser, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBrs. Dr. Rozilawati Ahmad; Pakar Roket, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, YBrs. Ts. Dr. Hanafi Azami; Pakar Kejuruteraan Tisu, Universiti Teknologi MARA, YBrs. Ts. Dr. Nur Aliana Hidayah Mohamed; dan Doktor Perubatan dan Pakar Balistik, FSK, UKM, YBrs. Dr. Noor Hazfalinda Hamzah.

Sementara itu, Pakar Toksikologi, FSK, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Razinah Sharif bertindak selaku moderator dalam forum berkenaan.

Barisan ahli panel Forum Jejak Kerjaya Seorang Saintis dan guru SMK Puteri Wilayah.

Dalam sesi forum tersebut, ahli panel memberikan perkongsian tentang kriteria dan perjalanan sebagai seorang doktor perubatan di Malaysia, menjawab persoalan berkaitan dengan pilihan yang lebih baik untuk menyambung pelajaran dalam bidang perubatan sama ada di Malaysia ataupun di luar negara, membuka minda para pelajar tentang cabaran yang dihadapi oleh seorang saintis serta mengupas isu hasil pendapatan yang boleh dperoleh jika menjadi seorang pensyarah, saintis ataupun doktor perubatan di Malaysia pada masa ini.

Majlis Perasmian Karnival STEM Peringkat Sekolah SMK Puteri Wilayah juga telah dirasmikan oleh Pakar Toksikologi, FSK, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Razinah Sharif pada hari berkenaan.

Karnival STEM Peringkat Sekolah SMK Puteri Wilayah dirasmikan oleh Pakar Toksikologi, FSK, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Razinah Sharif.

Selain forum, terdapat aktiviti lain yang dianjurkan sepanjang Karnival STEM ini berlangsung, misalnya pertandingan reka bentuk bandar teknologi hijau, pameran sudut matematik, pameran kerjaya, pertandingan membina jambatan, sesi eskperimen amali dan pertandingan inovasi teknologi hijau yang mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan daripada para pelajar.

Peserta yang menghadiri Majlis Perasmian Karnival STEM Peringkat Sekolah SMK Puteri Wilayah.

Walaupun program tersebut diadakan pada bulan Ramadan, ahli panel forum, guru dan pelajar sentiasa memberikan kerjasama yang baik dan usaha murni seumpama ini seharusnya dilaksanakan di semua sekolah bagi melahirkan insan yang celik ilmu, kreatif dan berinovasi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.