Oleh Zainun Mustafa
5 April 2023, 13:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pendidikan sains memainkan peranan penting dalam membentuk generasi masa hadapan yang berdaya saing dan mampu menghadapi cabaran dunia moden yang semakin kompleks. Dalam era digital ini, penggunaan teknologi dalam proses pembelajaran semakin diperlukan bagi memenuhi kehendak pelajar masa ini yang lebih cenderung menggunakan media digital dalam pembelajaran.

E-komik ialah inovasi yang semakin popular dalam pendidikan sains. Penggunaan e-komik dalam kelas sebagai bahan bantu pembelajaran dapat meningkatkan kualiti pendidikan sains dengan memberikan ruang untuk pembelajaran sains yang lebih menarik dan efektif melalui kombinasi antara elemen sains dengan elemen seni secara bersistematik.

Secara umumnya, e-komik merujuk bahan visual dan teks dalam bentuk digital yang boleh diakses dan dibaca secara dalam talian melalui peranti elektronik seperti telefon pintar, komputer tablet dan komputer. Berbanding dengan komik tradisional, e-komik mempunyai banyak kelebihan seperti interaktif dan mudah dikongsi melalui pautan dan kod QR.

Kajian tentang e-komik dalam konteks pendidikan sains sering menunjukkan maklum balas yang positif apabila komik tersebut dibangunkan berdasarkan panduan sukatan pelajaran secara bersistematik. Memandangkan e-komik dapat membantu memperkukuh pemahaman konsep sains dan meningkatkan minat pelajar dalam mempelajari sains, maka pembangunan e-komik yang berkualiti bukan sahaja memerlukan kepakaran guru dalam pedagogi dan ilmu kandungan, malah kompetensi guru dalam teknologi digital juga adalah amat penting.

E-komik yang dimanfaatkan sebagai bahan pembelajaran sering menggunakan teknik papan cerita yang bercirikan penggunaan karakter serta perjalanan karakter tersebut dalam satu ruang simulasi. Sebagai contohnya, e-komik berkenaan homeostasis (Rajah 1) memanfaatkan peranan tiga watak utama yang mengembara dalam pelbagai situasi bagi menjelaskan proses homeostasis dalam keadaan simulasi fizikal yang berbeza-beza.

Pengolahan papan cerita yang bersesuaian dengan kandungan pembelajaran sains yang diwakili oleh beberapa watak khusus memberikan pemahaman tentang konsep sains secara santai. Teknik inilah yang memberikan peluang kepada pelajar untuk menghayati olahan jalan cerita melalui simulasi visual dan teks yang bersesuaian bagi memahami proses sains yang kompleks secara kontekstual di samping membantu pelajar untuk lebih memahami konsep sains itu berfungsi dalam dunia sebenar.

Beberapa watak  dibangunkan dalam e-komik bagi memudahkan pemahaman jalan cerita bagi menjelaskan konsep homeostasis.

Secara spesifiknya, e-komik dapat membantu memberikan pengvisualan yang lebih baik bagi konsep sains yang kompleks serta istilah saintifik yang sukar dihafal. Melalui penggunaan gambar dan grafik dalam e-komik, pelajar berpeluang untuk memahami perkaitan antara proses saintifik dengan istilah khusus melalui carta alir, diagram saintifik, peta serta gambar.

Sebagai contohnya, e-komik dalam Rajah 2 menunjukkan penggunaan carta alir seiring dengan penjelasan tentang osmosis dalam tumbuh-tumbuhan. Pada masa yang sama, proses sains serta istilah yang khusus juga dapat diterangkan secara jelas dan terperinci.

Konsep sains serta terma saintifik yang khusus boleh diperkenalkan melalui e-komik.

Walaupun kebanyakan e-komik dimanfaatkan melalui bacaan kendiri, namun e-komik boleh membantu dalam pembelajaran kolaboratif dan kreatif. Guru dapat menggalakkan pelajar menghasilkan nota sains berbentuk e-komik mereka sendiri dengan menggunakan teknologi dan aplikasi yang mudah diakses seperti Canva dan Adobe Spark. Kaedah ini memberikan peluang kepada pelajar untuk melibatkan diri dalam proses pengajaran dan pembelajaran sains.

Selain itu, e-komik dapat digunakan sebagai alat pemulihan dalam pengajaran sains, memungkinkan pelajar untuk mengulang kandungan pembelajaran dengan cara yang berbeza. Keupayaan kepelbagaian media juga dapat diterapkan dalam pembangunan e-komik seperti penggunaan sari kata beraudio, muzik, realiti terimbuh, realiti maya serta gamifikasi.

Bagi menyokong aplikasi teknologi digital secara optimum dalam pendidikan sains, guru mata pelajaran perlu dilengkapkan dengan keupayaan kompetensi digital bukan sekadar sebagi pengguna, malah sebagai pembangun bahan pembelajaran berkualiti. Hal ini perlu diberikan perhatian oleh institusi latihan guru dengan menyediakan kepakaran serta ekosistem pembelajaran yang mengutamakan pembangunan inovasi digital dalam pendidikan oleh guru sendiri.

Guru juga perlu diberikan ruang untuk mengetengahkan bahan pembelajaran digital yang dibangunkan sendiri melalui pertandingan inovasi sehingga mendapat pengiktirafan dari dalam dan luar negara. Oleh hal yang demikian, potensi penggunaan bahan pembelajaran digital seperti e-komik dalam pengajaran sains dapat memberikan nilai tambah yang baik dalam ekosistem pengajaran dan pembelajaran di sekolah melalui pembangunan bahan pembelajaran oleh guru sendiri.

 

*E-komik dalam artikel ini dibangunkan oleh guru dalam latihan mengikut sukatan pelajaran kebangsaan. Rajah 1 merupakan sebahagian daripada e-komik yang dibangunkan oleh Nur Aisya Nadira Muhd Zailani, manakala Rajah 2 pula dihasilkan oleh Nurhanani Aqilah Yahya.

Dr. Zainun Mustafa, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.