Oleh Firdaus Mul
2 Mac 2023, 15:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bayi yang lahir dan mengalami proses tumbesaran berat badan yang terlalu drastik dan tinggi mempunyai kecenderungan untuk menghidap masalah kesihatan. Hal ini dijelaskan secara terperinci oleh Pakar Perunding Pediatrik dan Pediatrik Endokrinologi, Hospital Pakar Damansara 2, Dr. Rashdan Zaki Mohamed menerusi program “Apa Khabar Malaysia” anjuran Bernama TV, baru-baru ini.

Beliau membuka tirai perkongsiannya dengan menjelaskan proses tumbesaran normal seorang bayi. Menurutnya, untuk memahami proses tumbesaran seorang bayi dan kanak-kanak, berat badan, tinggi dan ukur lilit kepala bayi atau kanak-kanak tersebut perlu diperhatikan.

Jelasnya lagi, terdapat skala dan graf tertentu yang perlu diikuti. Lazimnya, apabila tumbesaran berat bayi bertambah kepada 15 gram hingga 30 gram sehari dan seterusnya, berat badan itu akan berganda dua kali dalam masa enam bulan dan meningkat kepada tiga kali ganda dalam masa setahun.

Namun demikian, jika berat badan bayi itu bertambah dalam tempoh masa yang singkat, ibu bapa perlu memberikan perhatian terhadap situasi berkenaan kerana dikhuatiri bayi tersebut mengalami masalah kesihatan yang lain.

Pakar Perunding Pediatrik dan Pediatrik Endokrinologi, Hospital Pakar Damansara 2, Dr. Rashdan Zaki Mohamed dalam program “Apa Khabar Malaysia” anjuran Bernama TV.

Beliau menerangkan bahawa terdapat dua faktor yang menyebabkan obesiti, iaitu faktor nutrisi yang merujuk terlebih makan dan kurang bersenam serta faktor obesiti patologi (pathological obesity) ataupun mempunyai masalah kesihatan tertentu seperti masalah genetik atau  hormon yang menyebabkan berlakunya obesiti.

Untuk menentukan berat badan berlebihan adalah melalui carta berat dan carta indeks jisim tubuh (BMI). Jika berat kanak-kanak melebihi graf tertentu, misalnya antara 85 persentil hingga 95 persentil, situasi ini dipanggil obesiti, manakala dewasa pula dianggap obesiti jika graf melebihi 27.5 persentil.

Beliau turut menegaskan bahawa masyarakat harus mempunyai kesedaran mengenai isu obesiti, sama ada dalam kalangan bayi, kanak-kanak, remaja ataupun dewasa. Hal ini dikatakan demikian kerana kanak-kanak dan remaja yang obesiti akan membesar menjadi individu yang obesiti pada peringkat dewasa.

 Antara 70 peratus hingga 80 peratus kanak-kanak dan remaja yang obesiti menghidap kencing manis, darah tinggi dan mempunyai masalah kolesterol di dalam badan. Oleh sebab itu, kita harus memberikan perhatian kepada perubahan fizikal yang berlaku pada kanak-kanak. Sebenarnya, tanggungjawab ini bukan terletak pada ibu bapa sahaja, masyarakat juga bertanggungjawab secara keseluruhannya.

Dalam sesi perkongsian ini juga, beliau mengupas perihal proses penyusuan susu bayi. Beliau berkata, ”Penyusuan susu ibu kepada bayi ialah kaedah penyusuan yang baik untuk kesihatan bayi. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam tempoh enam bulan pertama, penyusuan susu ibu kepada bayi secara konsisten dan eksklusif akan membentuk kesan perlindungan, yakni dapat mengelakkan bayi daripada menjadi obesiti. Namun begitu, jika bayi diberikan susu formula dan dalam kuantiti terlalu banyak, hal tersebut boleh menyebabkan obesiti akibat pengambilan kalori yang berlebihan.

Pada sesi akhir perkongsian, beliau menyarankan agar ibu bapa sentiasa mengawal pemakanan anak dan mengamalkan gaya hidup yang sihat bagi memastikan kesihatan anak sentiasa terjamin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.