Oleh Firdaus Mul
1 Mac 2023, 23:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Ibu bapa merupakan entiti yang sangat penting dalam menjamin kelangsungan perkembangan emosi anak, lebih-lebih lagi sewaktu anak berada dalam fasa peralihan dari zaman kanak-kanak ke zaman remaja. Tanpa bimbingan dan pemerhatian yang berkualiti dan berkesan daripada ibu bapa, keadaan tersebut berupaya merencatkan kelangsungan perkembangan emosi anak.

Menyentuh perihal perkembangan emosi seorang anak, Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menampilkan Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan di Jabatan Perubatan Psikologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari bagi membicarakan topik “Perubahan Emosi Remaja, Apakah Puncanya?”.

Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan di Jabatan Perubatan Psikologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari dalam program Selamat Pagi Malaysia.

Beliau membuka lembaran bicaranya dengan menjelaskan perihal proses perubahan emosi remaja. Menurutnya, zaman remaja ialah zaman transisi seseorang dari zaman kanak-kanak ke zaman awal dewasa. Pada kebiasaannya, perubahan tersebut merujuk umur pada peringkat sekolah menengah, yakni pada ketika itu, remaja mempunyai rasa ingin tahu dan mencuba sesuatu. Pada masa yang sama, remaja itu mula mempunyai perasaan menyukai seseorang yang berlawanan jantina.

Sebenarnya kalau diikutkan ini ialah perubahan emosi atau sikap yang normal dari segi perkembangannya. Perkembangan emosi ini juga membolehkan mereka mengawal kemarahan dan apabila mereka bertindak terhadap sesuatu perkaran, mereka boleh berfikir akan kesan daripada perbuatannya itu.

“Oleh hal yang demikian, bagaimanakah terhasilnya perlakuan sewaktu mereka hendak menyesuaikan zaman remaja ini? Inilah yang dimaksudkan sebagai dampingan yang selamat semasa mereka berada pada peringkat awal remaja ataupun kanak-kanak. Ibu bapa menjadi entiti yang penting dalam hal ini. Hubungan yang selamat dengan ibu bapa pada peringkat awal membuatkan mereka berasa dihargai, dihormati, pendapat mereka diambil peduli, yakni terdapatnya maklum balas daripada ibu bapa, keprihatinan emosi dan empati,” jelasnya lagi.

Beliau juga menegaskan supaya ibu bapa mengambil berat akan keadaan anak sekiranya mereka menghadapi sebarang tekanan. Hal ini adalah penting untuk membina remaja yang bersikap normal apabila mereka menghadapi cabaran pada masa remaja itu sendiri.

Beliau melanjutkan lagi ruang bicaranya dengan mengupas perihal pengaplikasian ilmu keibubapaan. Beliau berkata, ilmu keibubapaan yang baik penting dalam membentuk kesimbangan antara memberikan sedikit kebebasan dengan memberikan arahan bagi mengawal anak. Namun begitu, jika dilihat dari aspek psikologi, pemberian kebebasan juga mustahak bagi perkembangan emosi anak.

Saya berpendapat kebebasan ini bukannya diberikan secara mutlak, tetapi lebih kepada pengawalseliaan. Sebagai contohnya, ibu bapa perlu mengambil tahu rakan mereka dan aktiviti mereka di media sosial. Kadangkala, kita perlu memberikan autonomi, yakni kebolehan kepada anak untuk membuat keputusan. Jika terlalu mengongkong, personaliti yang terbentuk akan menjadi seseorang itu bergantung kepada orang lain dan tidak boleh membuat keputusan sendiri. Kita tidak mahu itu terjadi, akibatnya lebih buruk akibatnya.

Pada akhir sesi temu bual, beliau menyatakan harapan agar ibu bapa dapat meluangkan masa yang bernilai bersama-sama anak dan menjadi contoh yang terbaik kepada mereka. Ibu bapa juga tidak boleh menepis sebarang permasalahan anak, sebaliknya mereka memerlukan perhatian dan penghargaan daripada ibu bapa mereka sendiri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.