Oleh Firdaus Mul
24 Februari 2023, 10:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena Sambutan Hari Pendengaran Sedunia yang bakal disambut pada 3 Mac 2023, rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menampilkan dua Pegawai Pemulihan Perubatan (Audiologi) di Unit Audiologi Hospital Rehabilitasi Cheras, iaitu Puan Norfadillah Nordin dan Puan Siti Jamilah Mohd Noor bagi mengupas topik “Sambutan Hari Pendengaran Sedunia”.

Tirai temubual ini dibuka oleh Puan Norfadillah Nordin yang menerangkan bahawa Hari Pendengaran Sedunia ialah inisiatif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang disambut pada 3 Mac pada setiap tahun. Inisiatif ini diwujudkan bertitik tolak daripada masalah pendengaran yang semakin meningkat.

Puan Norfadillah Nordin menjelaskan bahawa Hari Pendengaran Sedunia penting untuk meningkatkan kesedaran orang awam dan pihak-pihak yang berkepentingan tentang penjagaan telinga dan pendengaran.

Saya mengambil satu kajian dari WHO yang mendapati bahawa dalam setiap 20 individu, terdapat satu individu yang disahkan mengalami masalah pendengaran. Kadar ini dijangkakan meningkat kepada enam individu yang akan disahkan mengalami masalah pendengaran pada tahun 2050. Jadi, saya berpandangan bahawa Hari Pendengaran Sedunia ini wajar diadakan.

Beliau melanjutkan lagi perkongsiannya dengan mengupas perihal Program Saringan Pendengaran Bayi. Menurutnya, program tersebut telah dilaksanakan secara meluas di kebanyakan negara termasuklah Malaysia.

Program ini ialah satu daripada usaha untuk mengesan masalah pendengaran lebih awal, yakni pada peringkat bayi yang baru lahir. Statistik menunjukkan bahawa daripada 1000 kelahiran, antara satu hingga tiga bayi yang dilahirkan mempunyai masalah pendengaran.

Di Malaysia, hasil daripada Program Saringan Pendengaran Bayi, sebanyak empat bayi daripada 1000 bayi yang dilahirkan dan menjalani saringan pendengaran di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) didapati mempunyai masalah pendengaran. Namun begitu, liputan saringan yang dilakukan tidak tinggi, yakni pada tahun 2021 daripada 280 820 kelahiran hidup, hanya 173 893 yang memperolehi manfaat daripada Program Saringan Pendengaran Bayi.

Untuk sambutan Hari Pendengaran Sedunia pada tahun ini, kita hendak memperkukuhkan lagi pelaksanan program saringan ini, lebih-lebih lagi untuk untuk mencapai sasaran sebagaimana yang disarankan oleh mantan Menteri Kesihatan sebelum ini, yakni 90 peratus bayi yang dilahirkan di negara ini dapat menjalani ujian saringan pendengaran menjelang tahun 2025.

Sementara itu, Siti Jamilah Mohd Noor membuka lembaran perkongsiannya tentang kepentingan mempunyai pendengaran normal. Beliau berkata pendengaran normal ataupun pendengaran yang baik amat diperlukan untuk berkomunikasi atau berinteraksi dengan orang sekeliling seperti keluarga dan rakan sekerja.

Puan Siti Jamilah Mohd Noor berkongsikan kepentingan penjagaan kebersihan dan kesihatan telinga.

Oleh sebab itu, beliau menjelaskan bahawa menjaga kebersihan dan kesihatan telinga adalah sangat penting agar tidak terdedah kepada penyakit yang berkait dengan telinga dan pendengaran. Sebaiknya-baiknya, seseorang itu juga perlu mengawal pendengaran daripada terdedah kepada kebisingan yang melampau yang boleh merosakkan pendengaran.

“Sekiranya kita tidak menjaga kebersihan telinga dan kesihatan pendengaran, berkemungkinan besar kita boleh mendapat masalah pendengaran. Keadan ini boleh memberikan impak negatif termasuklah boleh menyebabkan kebimbangan dan kerisauan, malah yang lebih teruk lagi boleh menyebabkan seseorang itu mengasingkan diri daripada masyarakat. Kesannya, prestasi belajar, bekerja dan kualiti hidup seseorang boleh terjejas,” tambah beliau lagi.

Pada akhir sesi temu bual, Puan Siti Jamilah Mohd Noor menyatakan bahawa penganjuran Sambutan Hari Pendengaran Sedunia tahun ini mempunyai kelainan dari tahun sebelumnya.

“Pada tahun ini, Unit Audiologi Hospital Rehabilitasi Cheras akan bekerjasama dengan Unit Audiologi Hospital Putrajaya, Kelab Sukan dan Kebajikan Hospital Rehabilitasi Cheras serta Audio Lab Enterprise Sdn. Bhd. untuk menjayakan program Sambutan Hari Pendengaran Sedunia di Taman Tasik Permaisuri Cheras, Kuala Lumpur,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, program tersebut akan berlangsung selama tiga jam, bermula pukul 8.00 pagi hingga 11.00 pagi. Antara aktiviti yang dirancang untuk program tersebut termasuklah pameran penjagaan kesihatan telinga dan pendengaran, saringan pendengaran dan sesi perundingan dengan pegawai audiologi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.