21 Oktober 2022, 17:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pastinya setiap pengguna jalan raya berpengalaman dipintas oleh kenderaan lain secara tiba-tiba tanpa penggunaan isyarat membelok. Walaupun pada kebanyakan masa, pengguna jalan raya yang tidak memberikan isyarat membelok dianggap sebagai gangguan kecil, namun keadaan ini boleh menjadi serius dalam beberapa kes. Bahkan, kegagalan menggunakan isyarat membelok adalah antara punca utama kemalangan jalan raya di serata dunia, terutamanya melibatkan kenderaan seperti kereta dan motosikal.

Lampu isyarat kenderaan adalah satu daripada fungsi keselamatan yang penting semasa pemanduan. Selain menunjukkan nyahpecutan dan perubahan arah kenderaan, lampu isyarat juga menjadikan kenderaan itu dapat dilihat dengan lebih jelas oleh pengguna jalan raya lain sewaktu cuaca gelap atau jarak penglihatan pemandu lemah.

Sistem pencahayaan kenderaan bermotor terdiri daripada peranti pencahayaan. Isyarat yang dipasang pada kenderaan kebiasaannya disepadukan pada bahagian hadapan, belakang, sisi dan dalam kenderaan, malah dalam beberapa kes, terdapat juga sistem pencahayaan dipasang pada bahagian atas kenderaan bermotor.

Selain itu, lampu isyarat kenderaan memainkan peranan menerangi jalan di hadapan kenderaan untuk memudahkan pemandu melihat jalan dan kenderaan lain. Lampu isyarat kenderaan juga membolehkan pemandu dan pejalan kaki lain melihat kehadiran, kedudukan, saiz kenderaan dan arah perjalanan serta niat pemandu kenderaan. Oleh sebab itu, kenderaan kecemasan seperti ambulans biasanya mempunyai peralatan pencahayaan tersendiri untuk memberikan amaran kepada pemandu lain dan menunjukkan keutamaan pergerakan dalam lalu lintas.

Cara mudah untuk mengelakkan kemalangan di jalan raya adalah dengan menggunakan isyarat membelok. Pemandu kenderaan perlu menggunakan isyarat membelok sekiranya terdapat kehadiran pengguna jalan raya lain seperti kenderaan, penunggang basikal atau pejalan kaki. Pemandu kenderaan juga perlu menggunakannya pada masa yang sesuai bagi membolehkan pengguna jalan raya lain mempunyai masa untuk bertindak balas dan menyesuaikan diri dengan lampu isyarat yang diberikan.

Berdasarkan kajian, pemandu kenderaan disarankan untuk menggunakan isyarat membelok sekitar 275 meter sebelum meninggalkan lebuh raya. Apabila membelok di kawasan perumahan pula, pemandu harus memberikan isyarat membelok sekitar 30 meter sebelum membelok ke kawasan yang dituju. Situasi ini hanya akan berubah jika terdapat belokan lain di antaranya. Setelah pemandu selesai membelok, pastikan isyarat membelok ini dibatalkan bagi mengelakkan pengguna jalan raya lain keliru. Kadangkala, kemalangan jalan raya berpunca daripada pemandu yang membiarkan isyarat membelok kenderaan dihidupkan dalam tempoh masa yang panjang.

Sebagai contohnya, jika seseorang pemandu itu sedang menunggu masa yang sesuai untuk keluar daripada simpang jalan, pemandu tersebut mungkin melihat kenderaan yang memberikan isyarat membelok menghala ke arah jalan yang ingin dibelok, walhal isyarat tersebut ialah isyarat yang diberikan untuk keluar dari selekoh sebelumnya. Pemandu yang menunggu untuk keluar daripada simpang itu mungkin salah menilai isyarat membelok tersebut dan memandu keluar di hadapan kereta yang dipercayai akan membelok. Keadaan tersebut akhirnya menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya antara kedua-kedua kenderaan tersebut. Seperti yang boleh diandaikan, kemalangan seumpama itu boleh dielakkan jika pemandu mematikan isyarat membelok.

Isyarat membelok adalah penting untuk pemandu kenderaan mematuhi peraturan di jalan raya. Banyak pemandu yang mengambil mudah tentang hal ini. Selain penting untuk memberitahu pemandu arah yang ingin dituju, isyarat membelok membolehkan pengguna jalan raya lain menentukan perkara yang perlu dilakukan atau tindakan yang perlu diambil berkaitan dengan kenderaan lain di jalan raya. Isyarat membelok merupakan satu-satunya peramal hala tuju sesebuah kenderaan.

Di samping itu, penggunaan isyarat membelok adalah amat penting untuk mengelakkan berlakunya kemalangan, terutamanya di lebuh raya. Hal ini dikatakan demikian kerana kereta bergerak pada halaju yang pantas dan berpotensi menyebabkan kemalangan yang serius sekiranya penggunaan isyarat membelok diabaikan. Kajian yang dijalankan oleh Persatuan Jurutera Automotif (SAE) di Amerika Syarikat mendapati bahawa pengabaian isyarat membelok menyebabkan berjuta-juta kemalangan jalan raya berlaku pada setiap tahun disebabkan oleh pemanduan yang terganggu.

Kajian ini juga mendapati bahawa daripada 12 000 kenderaan yang menukar lorong dan membelok, 25 peratus pemandu mengabaikan pemberian isyarat kenderaan semasa membelok, manakala 48 peratus pemandu mengabaikannya apabila menukar lorong. Berdasarkan peratusan ini, secara keseluruhannya, sebanyak 750 bilion pemandu di Amerika Syarikat mengabaikan isyarat membelok pada setiap tahun atau lebih daripada dua bilion kejadian pada setiap hari.

Di samping itu, kajian tersebut menganggarkan bahawa kira-kira dua juta kemalangan jalan raya dalam tempoh setahun adalah berpunca daripada isu pengabaian penggunaan lampu isyarat membelok. Sebagai perbandingan, Jabatan Pengangkutan Amerika Syarikat  menganggarkan bahawa kira-kira 950 000 kemalangan jalan raya adalah akibat pemanduan yang terganggu seperti memandu sambil menghantar mesej, bercakap di telefon, makan atau bersolek.

Di Malaysia pula, kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia mendapati bahawa sebanyak 58.9 peratus penunggang motosikal mengabaikan isyarat membelok. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 56.5 peratus mengabaikannya semasa membelok di persimpangan, manakala 60.9 peratus tidak menggunakannya semasa menukar lorong. Dapatan kajian ini amat merisaukan kerana penunggang motosikal sentiasa terdedah kepada risiko kecederaan dan kematian yang lebih tinggi di jalan raya. Tambahan pula, lebih kurang 6000 kematian akibat kemalangan jalan raya telah didaftarkan pada setiap tahun dengan 60 peratus daripadanya terdiri daripada penunggang motosikal.

Dalam kajian lain di Amerika Syarikat, sebanyak 57 peratus pemandu kenderaan mengakui bahawa mereka tidak menggunakan isyarat membelok. Antara punca tindakan ini dilakukan termasuklah tidak mempunyai masa yang mencukupi (42 peratus), malas (23 peratus), terlupa untuk mematikannya (17 peratus), menukar lorong dengan terlalu kerap (12 peratus), beranggapan bahawa memberikan isyarat membelok itu tidak penting (11 peratus), pemandu lain tidak melakukannya (8 peratus) dan menambahkan keseronokan dalam pemanduan (7 peratus).

Dalam situasi lain, sekiranya sesuatu kenderaan diekori rapat oleh kenderaan lain, risiko berlakunya kemalangan adalah tinggi sekiranya pemandu yang mahu menukar lorong tidak memberikan isyarat membelok . Hal ini disebabkan oleh pemandu kenderaan di belakang tidak mengetahui bahawa mereka harus menyediakan ruang untuk membenarkan kereta tersebut untuk memasuki laluan yang dikehendaki. Pergeselan antara kenderaan juga biasanya berlaku dalam situasi ini disebabkan oleh jarak antara kenderaan yang terlalu dekat.

Kemalangan antara kenderaan sudah cukup teruk dan mengerikan. Namun demikian, apabila pemandu gagal memberikan isyarat membelok ketika membelok ke arah laluan pejalan kaki, kecederaan yang dialami adalah lebih teruk lagi. Kemalangan dan kecederaan kepada pejalan kaki yang disebabkan oleh pemandu yang tidak memberikan isyarat membelok paling kerap berlaku di persimpangan jalan dan lintasan pejalan kaki.

Pejalan kaki yang hendak menyeberang jalan misalnya, mungkin telah mengamalkan semua langkah keselamatan seperti melihat ke kiri atau ke kanan sebelum melintas dan mematuhi lampu isyarat pejalan kaki. Namun begitu, jika kenderaan memasuki laluan pejalan kaki tanpa memberikan sebarang isyarat, pejalan kaki berkemungkinan akan mengalami cedera parah akibat kemalangan.

Antara kecederaan yang biasa dialami oleh pejalan kaki yang dilanggar oleh kenderaan termasuklah patah tulang, kecederaan otak traumatik serta kecederaan tulang belakang. Patah pada bahagian kaki atau pinggul merupakan kecederaan yang biasa dialami oleh pejalan kaki. Pemandu dan penumpang kenderaan sekurang-kurangnya dilindungi oleh badan kenderaan tetapi pejalan kaki tidak mempunyai pelindung yang melindungi mereka jika dilanggar. Oleh itu, sifat bertimbang rasa perlu wujud di dalam diri pemandu kenderaan bermotor bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku.

Sementara itu, isyarat membelok adalah satu daripada peranti pencegahan kemalangan automotif yang relevan selain peranti komunikasi antara pemandu yang ringkas tetapi berkesan. Namun begitu, pernyataan ini adalah benar apabila isyarat membelok digunakan dengan tepat seperti yang dikehendaki oleh undang-undang jalan raya.

Isyarat membelok tidak lagi boleh dianggap sebagai pilihan atau aksesori estetik semata-mata. Pada masa ini, semua pemandu mempunyai kewajipan untuk menggunakan isyarat membelok. Keadaan ini adalah sama seperti kewajipan pemandu untuk berhenti pada tanda berhenti ataupun ketika lampu isyarat bertukar warna merah. Amalan pemanduan yang selamat dapat mengelakkan kemalangan sekali gus menghindarkan diri daripada membayar ganti rugi kerosakan pada kenderaan dan risiko kecederaan fizikal.

Dr. Suzielah Rahmad, mantan pelajar doktor falsafah di Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Profesor Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff, pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam, UKM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.