31 Julai 2022, 20:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebuah webinar yang menekankan tentang kelestarian alam sekitar berjudul Pelestarian ketika Situasi Krisis anjuran Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dengan kerjasama The Harvard Business School Alumni Club of Malaysia dan Sunway Centre for Planetary Health, Sunway University Malaysia telah diadakan secara dalam talian menerusi Facebook rasmi KASA dan saluran Astro Awani  pada hari ini.

Webinar ini menampilkan Ketua Setiausaha KASA, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang yang bertindak selaku moderator dan dua orang ahli panel berkaliber, iaitu Pengerusi Bursa Malaysia Berhad, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Abdul Wahid Omar serta Profesor dan Pengarah Eksekutif Sunway Centre for Planetary Health, YBhg. Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood.

Menurut YBhg. Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood, beliau menyokong aktiviti yang dilakukan untuk mempergiat kesedaran dalam kalangan para pelajar. Beliau juga menekankan kepentingan media sosial dalam penyebaran kesedaran tentang alam sekitar. Beliau turut menegaskan bahawa aktiviti 3R, iaitu Recycle, Reuse dan Reduce perlu sentiasa diamalkan agar alam sekitar tidak dirosakkan akibat penggunaan bahan seperti plastik. Pihak swasta juga boleh memainkan peranan dengan inisiatif mengurangkan cap kaki karbon (carbon footprint) dalam aktiviti perniagaan mereka.

Dalam sesi webinar ini, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang pula menekankan kepentingan environmental, social and governance (ESG) dalam dunia perniagaan. ESG merupakan set kriteria yang digunakan untuk penentuan dalam pelaburan.

Ketua Setiausaha KASA, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang moderator program bersama-sama dengan ahli panel, Pengerusi Bursa Malaysia Berhad, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Abdul Wahid Omar serta Profesor dan Pengarah Eksekutif Sunway Centre for Planetary Health, YBhg. Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood.

Seterusnya, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Abdul Wahid menyatakan bahawa isu perubahan iklim perlu diambil berat supaya tidak memberikan kesan berterusan. Beliau turut menekankan sebarang aktiviti perlu difikirkan impaknya kepada alam sekitar.

Pengurusan yang cemerlang perlu dipraktikkan demi menjaga kepentingan menjaga hutan sebaik mungkin supaya segala bencana dapat dielakkan.

Demikian kenyataan daripada YBhg. Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood dan disambut baik oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Abdul Wahid Omar. Beliau menegaskan bahawa perlunya mekanisme memberikan ganjaran kepada pihak yang memelihara dan menjaga hutan dengan sebaik-baiknya.

Insentif yang disediakan oleh pihak kerajaan berkenaan dengan kelestarian perlu direbut oleh entiti perniagaan. Pihak kerajaan mempunyai pelbagai geran inovasi yang perlu diberikan perhatian bagi menggalakkan aktiviti inovasi kelestarian alam sekitar dalam perniagaan.

Tambah YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Abdul Wahid Omar lagi, gerakan kelestarian telah mendapat momentum yang besar dalam dunia perniagaan dan banyak sektor menyokong gerakan ini. Syarikat yang tidak mengambil endah berkenaan dengan aktiviti kelestarian akan menghadapi kesukaran untuk memasarkan produk mereka lebih-lebih lagi ke luar negara di samping terlepas beberapa peluang dalam bidang kewangan.

Selain itu, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Abdul Wahid Omar turut menyatakan bahawa tahap kesedaran sivik dalam kalangan rakyat Malaysia lebih rendah berbanding dengan masyarakat Eropah dari segi kepenggunaan. Masyarakat Eropah sentiasa menyokong mana-mana produk yang mengamalkan kelestarian alam sekitar dalam penghasilan produk mereka, namun kesedaran untuk kalangan rakyat Malaysia masih rendah berkenaan dengan isu kelestarian alam sekitar dalam proses penghasilan sesuatu produk.

YBhg. Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood mencadangkan agar perladangan komuniti dijalankan bagi mengatasi isu kekurangan bekalan dan nutrisi makanan. Beliau juga meminta masyarakat membuat refleksi akan kesedaran berkenaan dengan langkah kelestarian alam sekitar dalam diri sendiri dan ahli keluarga. Kerjasama daripada pihak pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat amat diperlukan bagi memastikan kelestarian alam sekitar dapat dipertingkat.

Webinar ini diakhiri dengan deklamasi puisi Pulihkan Bumi yang disampaikan oleh YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr Zaini Ujang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.