25 Julai 2022, 09:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tumpat – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah melancarkan Program Ruang Reka Sains, Tekonologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) Keluarga Malaysia yang keenam di Kampung Laut, Tumpat Kelantan semalam sebagai usaha mempergiat aktiviti STIE di kawasan luar bandar.

Ruang Reka STIE di Kampung Laut yang dibangunkan oleh MOSTI melalui Yayasan Inovasi Malaysia dengan sokongan Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan dan Universiti Malaysia Kelantan ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim.

Ruang reka STIE Keluarga Malaysia di Kampung Laut ini menampilkan sudut inovasi yang memberikan peluang kepada golongan B40 seperti ibu tunggal, belia dan golongan orang kelainan upaya (OKU) menerima latihan dan seterusnya menjana pendapatan isi rumah melalui modul latihan daripada pihak UMK

Timbalan Menteri MOSTI, YB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Beliau berkata dengan adanya Ruang Reka STIE di sini, masyarakat setempat berpeluang untuk berkumpul dan berinovasi dengan menggunakan teknologi sedia ada seperti pencetak 3D, robotik, dron dan lain-lain peralatan secara praktikal sekali gus boleh meningkatkan kualiti kehidupan, produktiviti serta ekonomi komuniti setempat melalui olahan idea dan kreativiti yang dapat dipasarkan

“MOSTI juga menyasarkan untuk mewujudkan suatu ekosistem dalam ekonomi yang diterajui oleh sains, teknologi dan inovasi yang akan memudahkan pembangunan teknologi tempatan dengan mewujudkan peluang ekonomi dan melahirkan bakat atau tenaga kerja dalam bidang kecerdasan buatan (AI), Internet Benda (loT) dan teknologi blok rantai melalui hab ruang reka ini,” katanya lagi.

Timbalan Menteri MOSTI merasmikan Ruang Reka STIE di Kampung Laut, Tumpat, Kelantan.

Tambahnya lagi, Ruang Reka STIE ini juga secara tidak langsung dapat membantu memperkembang pembangunan ekonomi, peningkatan kualiti hidup serta kesejahteraan masyarakat dalam usaha mencapai status negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.

Ruang Reka STIE merupakan sebuah Hab Reka Cipta Sains, Teknologi dan Inovasi yang lengkap bagi menggarap idea kreatif dan inovatif dalam menangani isu sosioekonomi serta komuniti setempat. Di samping itu, ruang ini juga merupakan usaha kerajaan dalam membudayakan STIE bagi melahirkan masyarakat yang berpengetahuan, berkemahiran, kreatif dan inovatif mellaui pendekatan Quintuple Helix, iaitu gabungan antara kerajaan, industri, akademia, masyarakat dan alam sekitar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.