22 Julai 2022, 16:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Majlis Perpisahan Sanjungan Budi yang diadakan untuk meraikan pertukaran keluar Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Sirajuddin Hashim dihoskan oleh DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan DYMM Raja Perempuan Perlis, Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid di Mess Pegawai Kanan Polis DiRaja Malaysia, Jalan Raja Muda, Kangar malam semalam.

DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (kanan) dalam Majlis Perpisahan Sanjungan Budi yang diadakan untuk meraikan pertukaran keluar Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Sirajuddin Hashim (kiri).

Majlis yang diadakan ini membuatkan Dr. Sirajuddin Hashim begitu tersentuh dengan keprihatinan Duli-Duli Tuanku dan usaha daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada pesakit buah pinggang di negeri ini selepas melihat sebuah pusat dialisis dengan kapasiti yang begitu besar dibina di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.

Selaras dengan perkembangan kemajuan negara, infrastruktur kesihatan di negeri Perlis juga menerima suntikan arus pemodenan. Beberapa fasiliti baharu yang lengkap dengan peralatan perubatan terkini telah mula beroperasi di sini seperti Klinik Kesihatan Kampung Gial dan Klinik Kesihatan Chuping.

Menurut beliau, pelbagai projek sedang rancak pembinaannya dan dijangka akan beroperasi pada tahun hadapan seperti Klinik Kesihatan Padang Besar, Klinik Kesihatan Pauh dan Blok Sambungan Wad Rawatan Rapi di HTF. Sebagai tambahan, Klinik Kesihatan Beseri juga akan dibina bermula pada tahun hadapan dengan sebuah bangunan klinik setinggi empat tingkat bagi menggantikan bangunan klinik yang sedia ada.

Tambah beliau lagi, pelbagai peralatan perubatan dan aset turut ditambah baik serta dinaik taraf dari semasa ke semasa. Perolehan aset baharu seperti trak bergerak untuk kegunaan program dan promosi kesihatan serta sebuah bas yang akan menjadi klinik pergigian bergerak juga diharapkan mampu menjadi pembakar semangat untuk meningkatkan taraf perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

Sementara itu, melalui titah DYMM Raja Perempuan Perlis, baginda memaklumkan bahawa majlis tersebut diadakan khusus untuk menghargai jasa Dr. Sirajuddin Hashim yang telah menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan cemerlang untuk seluruh rakyat negeri Perlis dan berharap beliau akan terus maju dalam kerjayanya pada masa akan datang.

DYMM Raja Perempuan Perlis, Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

 

Tetamu kehormat yang hadir dalam Majlis Perpisahan: Sanjungan Budi ini.

Berangkat sama ialah DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Dr. Sirajuddin Hashim akan bertukar atas sebab kenaikan pangkat sebagai Pengarah Kesihatan Negeri Perak yang berkuat kuasa mulai 18 Julai 2022 dan akan melaksanakan amanah baharunya di Jabatan Kesihatan Negeri Perak mulai 25 Julai 2022.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.