4 Julai 2022, 08:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Pada 1 Julai yang lalu, fenomena awan berbentuk garis panjang yang dikenali sebagai garis badai telah dikesan berlaku di sekitar Putatan dan Kota Kinabalu, Sabah. Fenomena ini telah tular dalam media sosial sehingga mencetuskan kebimbangan masyarakat.

Menerusi siaran media sosial Jabatan Meteorologi Malaysia, garis badai ialah kelompok awan ribut petir aktif yang membentuk barisan di laut dan bergerak ke daratan. Panjangnya boleh mencapai hingga beratus kilometer dan tempoh hayatnya adalah hingga beberapa jam.

Pada kebiasaannya, fenomena ini berlaku pada musim monsun barat daya dan selalu terjadi pada waktu pagi dan waktu malam. Fenomena ini biasanya berlaku di kawasan bersempadanan dengan laut seperti pantai barat Semenanjung Malaysia, barat Sabah dan Sarawak.

Antara tanda kewujudan garis badai ialah kelihatan pembentukan awan jalur tebal, kumulonimbus yang naik meninggi dan datang dari laut dan udara, kelajuan angin yang meningkat secara mendadak menjadi langkisau semasa garis badai menghampiri serta suhu turun secara mendadak.

Fenomena ini boleh menyebabkan hujan lebat dan akhirnya mengakibatkan banjir kilat yang disertai dengan angin kencang, guruh dan petir. Selain itu, fenomena ini juga berbahaya kepada operasi penerbangan, kerosakan harta benda dan kemudahan awam, malah boleh menyebabkan kecederaan dan kehilangan nyawa. Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar berada di tempat yang selamat, pindah ke tempat yang lebih tinggi jika banjir kilat dijangka berlaku dan tidak mengambil risiko untuk meneruskan pemanduan jika fenomena ini sedang berlaku.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.