4 Julai 2022, 08:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Iskandar Puteri – Program Campuses for Local Electric Vehicle Expeditious Roll-out (CLEVER) yang diterajui oleh NanoMalaysia Berhad (NMB) yang akan dilaksanakan di universiti terpilih mampu mempercepat pembangunan dan teknologi kenderaan elektrik (EV) tempatan.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Seri Dr. Adham Baba, program CLEVER mampu menjadi platform atau sandbox pengawalseliaan dan inovasi bagi membolehkan syarikat pemula dam inovator menjalankan ujian masa nyata berkaitan teknologi EV dalam persekitaran terkawal.

Hal ini meliputi mobiliti elektrik dua roda, stesen penukaran bateri, pembangunan penukaran kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada EV, penggunaan sistem autonomi dan pengecasan luar grid menggunakan tenaga boleh diperbaharui yang dilaksanakan di kawasan kampus.

Tambahnya, inisiatif CLEVER akan dimulakan di EduCity Iskandar, diikuti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

CLEVER menyokong sasaran Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 untuk menyediakan kira-kira lima ribu buah stesen mengecas EV bagi mengukuhkan infrastruktur EV yang seterusnya menggalakkan untuk memiliki dan menggunakan EV sebagai pengangkutan pilihan.

“Pelibatan NMB signifikan dalam mewujudkan ekosistem kondusif yang menggalakkan bakat tempatan untuk membangunkan kecemerlangan teknologi dan memasarkan pencapaian mereka,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran CLEVER.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif NMB, Dr. Rezal Khairi Ahmad, program CLEVER bukan sahaja dapat merancakkan penggunaan teknologi EV di kawasan kampus tetapi juga berupaya menangani isu seperti aspek mampu milik, bakat mahir tempatan serta sokongan teknikal, kekurangan infrastruktur terkemuka dan kebimbangan jarak melalui pendekatan terbaik.

“CLEVER juga akan memberikan pendekatan yang sangat bijak untuk Malaysia mencapai kedaulatan teknologi dan ekuiti komersial dalam sektor EV sama ada di peringkat tempatan mahu pun di peringkat serantau,” katanya lagi.

YB Datuk Seri Dr. Adham Baba merasmikan program CLEVER.

YB Datuk Seri Dr. Adham Baba melawat pameran yang diadakan bersempena dengan pelancaran program CLEVER.

 

(Sumber: Facebook MOSTI)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.