29 Jun 2022, 17:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  Majlis pelancaran program pendidikan sekolah di seluruh negara oleh Garnier Malaysia sebagai sebahagian daripada inisiatif hijaunya di bawah kempen “Green Beauty” telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Darul Ehsan, Selayang Baru, hari ini. Inisiatif ini merupakan antara komitmen Garnier Malaysia bagi memupuk generasi Hero Hijau melalui pendidikan.

Kempen “Green Beauty” adalah satu daripada inisiatif global Garnier Malaysia yang melibatkan pendekatan menyeluruh ke arah kelestarian. Sasaran komitmen ini menjelang tahun 2025 adalah untuk mengurangkan impak keseluruhan Garnier Malaysia terhadap alam sekitar secara menyeluruh. Inisiatif ini bagi mencapai matlamat untuk memastikan produk tidak dihasilkan daripada plastik baharu dan menukar bungkusan bagi membolehkan semua bahan boleh diguna semula, dikitar semula dan dikompos.

Garnier Malaysia juga komited dalam memastikan tapak industrinya bersifat neutral karbon menjelang tahun 2025. Garnier Malaysia juga berhasrat untuk memperkasakan 1000 komuniti melalui program Penyumberan Perpaduan.

Selain itu, bagi memperkukuh pelaksanaan inisiatif ini pada peringkat tempatan, Garnier Malaysia bekerjasama dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) untuk menjalankan program pendidikan sekolah yang bermatlamat mendidik 1000 orang guru dan beribu-ribu lagi pelajar tentang kitar semula, guna semula dan cara untuk menangani pencemaran plastik. Para pelajar turut digalakkan untuk mengamalkan pengetahuan kitar semula yang dipelajari melalui tong sampah kitar semula yang disediakan oleh Garnier Malaysia.

Inisiatif ini dimulakan dengan pameran bergerak jelajah yang bersifat interaktif, dipenuhi dengan pelbagai aktiviti dan bengkel pendidikan yang menyeronokkan di Sekolah Kebangsaan Subang Bestari 2 dan SMK Seksyen 4, Bandar Kinrara. Usaha ini telah menerima banyak respons yang positif daripada pelajar dan guru.

Menurut pengasas Garnier Malaysia, Chris Chan, pencemaran plastik terus menjadi isu di Malaysia. Melalui inisiatif ini, pihak Garnier Malaysia ingin memainkan peranan sebagai sebuah jenama kecantikan yang lestari dalam mewujudkan impak ke arah kesejahteraan alam sekitar dalam jangka masa panjang. Beliau percaya terhadap kuasa pendidikan dan program pendidikan di sekolah akan dapat memupuk pencinta alam sekitar yang akan menjadi generasi Hero Hijau dan seterusnya menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih bersih.

Garnier Malaysia sangat berbesar hati dapat berganding bahu dengan MNS untuk melaksanakan inisiatif ini memandangkan mereka mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas bagi mengukuhkan lagi pelaksanaan dan impak inisiatif ini sekali gus membolehkan kami bersama-sama mencapai matlamat yang ditetapkan.

SMK Darul Ehsan yang dikenali dengan pelaksanaan inisiatif hijau yang pelbagai dalam kalangan pelajar dan komuniti menjadi faktor utama pemilihannya sebagai tempat untuk diadakan majlis pelancaran inisiatif ini. Antara inisiatif hijau yang telah dilaksanakan di sekolah ini termasuklah membina rumah hijau, sistem tadahan air hujan, menyediakan kelas agrikultur dan hortikultur, dan hab pengumpulan untuk minyak masak serta fabrik terpakai. Sekolah ini juga dikenali dengan pelaksanaan “Eco-Brick”, yakni botol plastik diisi padat dengan sisa buangan plastik untuk digunakan sebagai bahan binaan bagi menghasilkan dinding penebat atau perabot luar.

Pelajar SMK Darul Ehsan bekerjasama dengan pelukis untuk mencipta karya seni yang diperbuat daripada bahan kitar semula.
Pengarah Eksekutif Persatuan Pencinta Alam Malaysia, I.S. Shanmugaraj Subramaniam.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persatuan Pencinta Alam Malaysia, I.S. Shanmugaraj Subramaniam menyatakan bahawa program pendidikan sekolah di seluruh negara ini bertepatan dengan matlamat ke arah mendidik pelajar bagi mewujudkan minat mereka terhadap kitar semula dan pengurusan sisa buangan plastik. Bengkel interaktif dan menyeronokkan ini adalah satu daripada cara untuk memperkenalkan topik sebegini kepada pelajar sekolah dan MNS berasa sangat gembira dapat bekerjasama dengan Garnier Malaysia untuk merealisasikan masa hadapan yang lestari dan alam sekitar yang lebih hijau.

Garnier Malaysia dan MNS juga dalam perancangan untuk melaksanakan aktiviti pembersihan di lima buah pantai terpilih di negara ini. Aktiviti pembersihan pantai yang pertama telah diadakan pada 25 Mei 2022 yang lalu di Pantai Remis, Kuala Selangor dengan penyertaan sebanyak 80 orang peserta.

Turut hadir dalam majlis pelancaran ini ialah Timbalan Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Puan Hajah Marpuaton Sastero dan Pengurus Besar Bahagian Produk Pengguna, L’Oréal Malaysia, Puan Hanane Saidi.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan dengan kempen “Green Beauty” ini, sila layari www.garnier.com.my/green-beauty atau ikuti Facebook atau Instagram rasmi Garnier Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.