28 Jun 2022, 13:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – “Penyampaian dan menyebarluaskan ilmu sains dan teknologi yang tinggi dalam kalangan rakyat adalah dengan menggunakan bahasa bangsa itu sendiri,” kata Ketua Pengarah Agensi Nuklear  Malaysia (Nuklear Malaysia), Dr. Abdul Rahim Harun dalam Majlis Perasmian Seminar dan Bengkel Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2022 pada pagi ini di Hotel LaCrista, Melaka.

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Abdul Rahim Harun semasa merasmikan Majlis Perasmian Seminar dan Bengkel Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2022 di Hotel LaCrista, Melaka.

Dalam ucapan perasmiannya, Nuklear Malaysia menyambut baik hasrat kerajaan dalam memperkasakan bahasa Melayu sesuai dengan saranan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob yang meminta nota percakapan dan dokumen rasmi kerajaan disediakan dalam bahasa Melayu apabila beliau mengadakan lawatan rasmi ke luar negara.

“Nuklear Malaysia berazam menjadikan sains dan teknologi sebagai sumber untuk menjana ilmu, terutamanya dalam penerbitan bahan ilmiah menggunakan bahasa Melayu. Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana banyak menerbitkan buku dalam bahasa Melayu. Kerjasama antara Nuklear Malaysia dengan DBP dalam penerbitan buku adalah usaha yang harus menjadi kebanggaan bersama.”

Sementara itu, beliau mengatakan penganjuran program Seminar dan Bengkel Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2022 yang mengangkat tema Menyemarakkan Penulisan dalam bidang Sains dan Teknologi adalah sangat relevan kerana tanpa penulisan, ilmu pengetahuan tidak dapat disampaikan kepada masyarakat umum.

“Sains menjadi teras kepada pembentukan tamadun manusia. Pembudayaan sains, teknologi dan inovasi untuk masyarakat memerlukan tindakan bersepadu daripada semua pihak dan penggunaan teknologi perlu dimanfaatkan sepenuhnya.”

Jelasnya lagi, perihal membudayakan sains dalam masyarakat seiring dengan tema yang diangkat oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada tahun 2022, iaitu Merakyatkan Sains dan Menginsankan Teknologi untuk mendekatkan sains dan teknologi lebih dekat dengan Keluarga Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran dalam ucap temanya dengan tajuk “Menyemarakkan Penulisan dalam bidang Sains dan Teknologi”, beliau menjelaskan bahawa dalam usaha untuk memasyarakatkan ilmu sains dan teknologi, terdapat keperluan untuk menentukan sasaran untuk membudayakan sains itu sendiri.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran semasa menyampaikan ucap tema dengan tajuk “Menyemarakkan Penulisan dalam bidang Sains dan Teknologi”.

“Penyampaian ilmu melalui penulisan dalam pelbagai bidang, termasuklah dalam sains dan teknologi perlulah lebih meluas dan tidak terhad kepada golongan ilmuwan semata-mata. Masyarakat umum seharusnya boleh memanfaatkan kajian dan penemuan oleh penyelidik di samping dapat menggunakan ilmu tersebut dalam kehidupan seharian.”

Tambah beliau, dalam membina khazanah ilmu dalam bidang sains dan teknologi, pihak DBP berusaha untuk menyediakan bahan bacaan yang bersifat lebih santai untuk golongan tertentu seperti kanak-kanak.

“Minat anak-anak untuk menguasai sains dan teknologi perlu dipupuk sejak dari awal usia. Golongan belia yang minat menulis juga boleh mula untuk menulis dengan penulisan cerpen dan novel, dan bentuk fiksyen”.

Ketua Pengarah DBP juga menyatakan bahawa selain menerbitkan bahan ilmiah dalam bentuk bercetak, DBP juga sedang mengusahakan penerbit digital dan dalam bentuk multimedia yang lebih mudah diakses oleh penyelidik dan masyarakat umum sesuai dengan perkembangan teknologi pada masa ini.

Seminar dan Bengkel Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2022 diadakan secara hibrid bermula 28 Jun hingga 30 Jun 2022 di Hotel LaCrista, Melaka dan aplikasi Zoom merupakan anjuran Nuklear Malaysia dengan kerjasama DBP dan disokong oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka, Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) dan MajalahSains.com.

Seminar ini membincangkan cabaran, hak cipta, keselamatan maklumat, pengurusan editorial, isu pemasaran serta masa depan penulisan dan penerbitan saintifik diikuti oleh  bengkel penulisan bagi memberikan peluang kepada para peserta untuk menguasai teknik dan kaedah penulisan saintifik serta mendapat peluang penerbitan.

Program tahunan ini terbuka kepada karyawan dari sektor awam, badan berkanun dan swasta yang terlibat dalam bidang penulisan dan penerbitan karya, khususnya penyelidik, pensyarah, pegawai penerbitan, pustakawan, dan mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam bidang penulisan dan penerbitan serta orang awam. Sejumlah satu ucap tema, tiga ucap utama, dan 10 kertas kerja akan dibentangkan oleh penceramah undangan dalam program ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.