28 Jun 2022, 18:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Seminar dan Bengkel Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2022 anjuran Nuklear Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka serta disokong oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka, Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), dan MajalahSains.com telah berlangsung di Hotel LaCrista, Melaka dan secara dalam talian, hari ini.

Profesor Madya Dr. Roosfa Hashim.

Dalam program ini, antara pengisian penting dalam ucaptama yang disampaikan oleh Pengarah IIUM Press Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr. Roosfa Hashim berkenaan dengan Strategi Wacana Penulisan Sains dan Teknologi di Malaysia membincangkan tentang isu yang terdapat pada penulisan sains dan teknologi.

Menurut beliau, berdasarkan kajian dan pandangan yang dilontarkan daripada pihak pembaca, memang banyak isu yang berlaku dalam penulisan sains dan teknologi. Antaranya adalah seperti penulisan sains dan teknologi di negara ini tidak terkini dan tidak bersifat semasa, liputannya juga terlalu sedikit, terbatas, dan tidak meluas. Hal ini dikatakan demikian kerana penulisan yang banyak pada masa ini adalah lebih kepada isu hiburan semata-mata.

Tambah beliau lagi, bentuk penyampaian penulisan sains dan teknologi juga tidak pelbagai. Hal ini berikutan penulisan tentang sesuatu topik itu kadangkala terlalu panjang, tidak jelas dan sukar difahami. Terdapat juga istilah yang digunakan dalam penulisan saintifik tidak diketahui oleh para pembaca. Bahan bacaan sains yang sedia ada juga tidak dibantu dengan gambar atau grafik yang menarik. Timbul juga isu penulisan sains dan teknologi ini tidak begitu meyakinkan pembaca kerana penulisan tersebut bukan ditulis oleh pakar yang berkaitan dengan bidang ini.

Walau bagaimanapun, penulisan dalam bidang sains dan teknologi ini sentiasa berkembang dengan pesat berikutan bidangnya yang begitu meluas. Oleh itu, beliau menyatakan bahawa strategi wacana penulisan sains dan teknologi perlu diambil perhatian dan tindakan segera supaya masyarakat dapat mengungkapkan ilmu sains itu dan menjadikan ilmu itu tersebar luas.

Mengulas dengan lebih lanjut tentang hal ini, beliau menyatakan beberapa strategi yang perlu dilakukan bagi meningkatkan mutu wacana penulisan sains dan teknologi di Malaysia, misalnya media massa di negara ini perlu berusaha meningkatkan jumlah terbitan bahan yang berasaskan sains dan teknologi dalam akhbar dan majalah sama ada dalam bentuk bercetak, elektronik ataupun penyiaran.

Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa majalah sains dan teknologi yang sedia ada di Malaysia perlu memperbaik persembahan dengan mempelbagaikan bentuk dan format wacana seperti ruangan berita, rencana, ulasan buku, surat pembaca, dan sebagainya. Kandungan majalah juga perlu memberikan tumpuan kepada ilmu sains yang bersifat Malaysiana. Kerjasama daripada pihak swasta dan syarikat perniagaan barangan dan perkhidmatan juga penting dalam membantu penerbitan majalah sains dan teknologi dengan membeli ruangan iklan, menaja rencana saintifik atau sebarang bentuk kerjasama, kolaborasi dan perkongsian pintar.

Pasukan editorial majalah sains dan teknologi sedia ada perlu mendapat latihan dan pendedahan kepada penulisan sains dan teknologi yang lebih baik dan berkesan. Pelbagai bentuk latihan dan bengkel tentang penulisan dan reka bentuk majalah perlu diadakan secara kerap, berkala dan berterusan kepada penulis, editor dan pereka bentuk majalah sains dan teknologi bagi menghasilkan sebuah penulisan yang berkualiti dan bermutu tinggi.

Pada masa yang sama, beliau turut mengharapkan pelbagai institusi yang berkaitan dengan kegiatan penyelidikan sains dan teknologi di Malaysia terlibat sama dalam usaha menerbitkan lebih banyak majalah dalam pelbagai cabang, terutamanya sains dan teknologi termasuklah melatih kakitangan mereka untuk menjadi penulis penulisan sains dan teknologi.

Dr. Thavamaran Kanesan.

Seterusnya, pembentangan kertas kerja Penerbitan Berimpak Tinggi yang dibentangkan oleh Pengasas dan Ketua Editor Proofreading by A UK PhD, Dr. Thavamaran Kanesan pula menekankan cara untuk menghasilkan sesuatu penerbitan yang berimpak tinggi.

Menurut beliau, sesuatu kajian itu perlu dikaji dengan baik, merangka satu persoalan kajian dan objektif kajian yang penting, tidak melakukan kajian secara bersendirian, menggunakan metodologi penyelidikan yang kukuh, menghasilkan sesuatu yang menakjubkan, membuat penulisan yang baik, dan memastikan tiada kesalahan selepas selesai menghasilkan sesuatu kajian.

Dalam sesi pembentangan kertas kerja ini juga, beliau banyak berkongsi tentang cara untuk mencari sesuatu kajian atau penerbitan yang berimpak tinggi, iaitu sama ada melalui carian di laman sesawang dengan memasukkan kata kunci sesuatu kajian yang ingin dicari atau dengan menggunakan cara membandingkan sesuatu kajian yang dihasilkan dengan penerbitan orang lain.

Selain itu, beliau turut menjelaskan beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian dalam struktur kertas semakan. Antaranya ialah seseorang penyelidik atau penulis itu perlu menyelesaikan sesuatu kesamaran, memberikan gambaran menyeluruh tentang keadaan pengetahuan semasa, mengenal pasti keputusan sebelumnya yang tidak konsisten, menilai metodologi, membangunkan rangka kerja konsep sebagai penyelesaian (kertas konsep), dan menyelesaikan segala masalah yang terdapat pada sesuatu kajian atau penerbitan.

Ts. Dr. Fazleen Abdul Fatah.

Sementara itu, pembentangan kertas kerja yang seterusnya adalah berkaitan dengan Teknologi Terkini dalam Teknik Pengambilan, Pengumpulan dan Analisis Data Kajian yang dibentangkan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik, Universiti Teknologi MARA Cawangan Melaka (UiTM), Ts. Dr. Fazleen Abdul Fatah.

Beliau menyatakan bahawa dalam sesuatu pangkalan data, pencarian semula data merupakan proses mengenal pasti dan mengekstrak data daripada pangkalan data. Hal ini membolehkan pengambilan data daripada pangkalan data untuk dipaparkan pada monitor dan/atau digunakan dalam aplikasi.

Selain itu, bagi pengumpulan data pula, analisis pemboleh ubah data dan klasifikasi data adalah penting untuk memastikan keputusan sampel memenuhi tujuan yang dimaksudkan dan boleh digunakan untuk mendapatkan kesimpulan yang relevan, manakala analisis data merujuk proses mengumpul, memodelkan dan menganalisis data untuk mengekstrak pandangan yang menyokong pembuatan keputusan sesuatu sampel. Kaedah dan teknik untuk melakukan analisis ini bergantung pada industri dan tujuan penyiasatan.

Dalam pembentangan kertas kerja ini juga, beliau turut menerangkan tentang jenis data yang terbahagi kepada dua, iaitu data primer dan data sekunder. Data primer merupakan suatu data yang pertama kali dikumpul oleh penyelidik. Sumber data primer ini adalah daripada tinjauan, pemerhatian, eksperimen, soal selidik, dan temu bual peribadi. Proses pengumpulan datanya juga mengambil masa yang agak lama.

Data sekunder pula merujuk maklumat yang dikumpul atau dijana oleh pihak ketiga pada masa lalu. Antara sumber data sekunder adalah seperti dokumen kerajaan, laman sesawang, buku, artikel jurnal, rekod di Internet, dan sebagainya. Walau bagaimanapun, pengumpulan data sekunder ini lebih pantas dan mudah berbanding dengan pengumpulan data primer.

Beliau turut mengulas sedikit tentang jenis penyelidikan yang dilakukan dalam pengumpulan dan analisis data. Jenis penyelidikan yang dibuat melibatkan penyelidikan berbentuk kuantitatif dan kualitatif. Penyelidikan kuantitatif membolehkan data yang diperoleh dianalisis secara numerik. Kaedah pengumpulan datanya adalah melalui dalam talian, temu bual secara peribadi atau melalui telefon, melakukan tinjauan, eksperimen terkawal, data sekunder, dan sebagainya untuk menguji hipotesis dan data berangka. Dari segi analisis yang dilakukan pula melibatkan analisis statistik, laporan statistik dengan penemuan dan hubungannya yang signifikan. Pendekatan penyelidikan ini berbentuk deduktif dan pensampelan datanya adalah secara rawak (kebarangkalian). Antara perisian penyelidikan berbentuk kuantitatif adalah seperti SPSS, MATLABB, SAS, Eviews, Stata, JMuLTi, dan Excel.

Selain itu, penyelidikan berbentuk kualitatif melibatkan data bukan berangka yang menggambarkan kualiti, pendapat atau perasaan. Kaedah pengumpulan data yang digunakan dalam penyelidikan jenis ini merumuskan hipotesis dan mengumpul maklumat terperinci daripada kumpulan yang lebih kecil atau kumpulan fokus, data teks, audio dan visual serta soalan terbuka. Dari segi analisis datanya pula melibatkan analisis manual melalui pengelompokan tema, corak dan laporan naratif dengan penerangan kontekstual. Pendekatan yang digunakan ketika membuat penyelidikan ini adalah berbentuk induktif dan pensampelan datanya adalah secara bertujuan dan menilai (bukan kebarangkalian). Antara perisian yang digunakan dalam penyelidikan jenis kualitatif adalah seperti NVivo, ATLAS.ti, MAXQDA, dan Microsoft Word.

Sesi ini dipengerusikan oleh Pengarah Kanan, Program Pengurusan Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin dan disertai oleh karyawan dari sektor awam dan swasta.

Antara peserta yang mengikuti seminar secara dalam talian.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.